Korang masih ingat dengan pasukan Olympique Lyon pada 2005/06?
Pada ketika itu, jika pasukan anda diundi menentang Lyon, ianya bukan perkara yang membuatkan anda senang hati.
Berbeza dengan hari ini. Ada pasukan yang ‘berdoa’ mahu bertemu dengan Lyon di pentas UCL. Sebab dah hilang taringnya.
Lyon dahulu era Juninho Pernambucano bukanya kaleng kaleng. Mereka hampir memungut mata penuh dalam peringkat kumpulan UCL 2005/2006 namun mereka seri 1-1 di Bernabeu.
Lyon ketika itu dianggap antara pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak Eropah yang agak malang kerana gagal menjuarai UCL. Dalam kempen UCL 2005/06 – perlawanan peringkat kumpulan – di Lyon, mereka menewaskan gergasi Real Madrid dengan 3-0.
Mereka turut membelasah PSV secara aggregat 5-0 pada peringkat 16 pasukan terakhir. Pasukan PSV Eindhoven bukan calang-calang ketika itu.
Dibimbing oleh Guus Hidink dan dibarisi bintang Haurelho Gomes (prestasi terbaik), Alex, Cocu, Vennegoor Of Hasselink, Farfan serta ramai lagi.
Namun di peringkat suku akhir mereka ditewaskan oleh AC Milan yang ketika itu dianggap antara pasukan terbaik di dunia. Itulah kali ketiga berturut-turut mereka tumpas di peringkat suku akhir. AC Milan terlalu gah untuk ditentang oleh Lyon.
Peningkatan Lyon
Pada era tersebut semakin ramai peminat bola sepak mengikuti perkembangan Lyon dengan lebih dekat. Ramai bintang mereka yang meningkat naik. Dan ada peminat terus menyokong pasukan Lyon sehingga ke hari ini.
Mereka menjulang kejuaraan Ligue 1 ke-5 dalam sejarah mereka. Ia juga kejuaraan kelima berturut-turut dalam sejarah kelab mereka.
Pasukan yang sama menjadi asas kepada Lyon untuk menjuarai Ligue 1 ke-6 dan ke-7. Ia juga kejuaraan ketujuh secara berturut-turut.
Pada musim 2005/06, mereka memiliki penyerang ‘target man’ yang tajam iaitu Carew. Beliau diapit oleh Malouda dan Wiltord dalam sistem 4-3-3.
Di tengah mereka ada maestro Juninho, Mahamadou Diarra dan Tiago. Claudio Cacapa dan Cris sebagai ‘jantung’ pertahanan. Manakala penjaga gol no.1 Perancis, Gregory Coupet di gawang.
Di bangku simpanan mereka, Lyon kerap meletakkan nama-nama seperti Sidney Govou, Fred dan Hatem Ben Arfa hanya dapat membuat bangku simpanan.
Selepas kejayaan mereka kecapi dalam beberapa musim, pada 2007, Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas mulai menuntut agar Gerard Houllier menjuarai UCL.
Houllier: Aulas nak UCL tetapi kedekut
Berlaku konflik di antara Aulas dan Houllier. Houllier kecewa dengan Aulas yang tidak memberikan beliau dana mencukupi untuk menambahkan kekuatan pasukan. Aulas gagal untuk mencari penaja dan dana yang lebih besar.
Houllier gagal untuk meyakinkan pemain supaya kekal kerana tawaran gaji yang rendah berbanding dengan tawaran dari kelab lain. Seterusnya sikap Aulas yang lebih gemar menjual pemain berbanding cuba mengekalkan mereka dalam mengejar cita-cita besar.
Aulas hanya pandai bercita-cita namun tidak dapat menterjemahkannya dalam aspek pengurusan. Ramai pemain menolak untuk melanjutkan kontrak.
Mereka terpaksa dijual. Antara pemain penting yang dijual termasuk Malouda, Abidal dan Tiago, semuanya berprofil tinggi dengan kelab Eropah.
Houllier kemudiannya digantikan dengan Alain Perrin untuk musim 2007 sehingga 2009. 2 musim di Lyon, Perrin berjaya membentuk Lyon menjuarai Ligue 1. Namun taring mereka di peringkat Eropah semakin kurang.
Lyon mulai menjadi feeder club
Feeder club di sini bukan merujuk kepada pasukan pembangunan. Ianya istilah dalam bola sepak merujuk kepada kelab yang lebih selesa menjual pemain berbanding dengan membeli.
Lyon yang dahulu masih sama dengan mereka yang ada dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mudah gelap mata dengan tawaran besar daripada pasukan luar. Ini yang membuatkan cita-cita UCL mereka masih gagal terlaksana.
Pada 2009, mereka melepaskan Benzema ke Real Madrid. Juninho pula mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang beliau sayangi.
Pada 2010 mereka berjaya mara ke separuh akhir UCL. Tetapi selepas itu, kisah Lyon dengan skrip yang sama.
Mereka terus menjadi kelab penjual kepada kelab elit. Pemain seperti Hugo Lloris, Miralem Pjanic sehinggalah ke Lacazette. Lyon terus menjadi pembekal kepada kelab elit.
Itulah kisah kehebatan Lyon sekitar 2000-2008. Mereka adalah pasukan elit di Eropah pada ketika itu tetapi gagal menjuarai UCL.
Selepas itu, berlaku revolusi mega di PSG yang menunjukkan cita-cita lebih besar dengan kuasa duit. Pasukan Lyon pula masih bergelut untuk menjadi pasukan elit eropah sekali lagi.
Kenapa pasukan legenda Lyon ini digelar era Juninho?
Ini kerana kegemilangan Lyon adalah bermula sama dengan tahun Juninho menyertai mereka pada 2001 sehinggalah pemain itu meninggalkan kelab tersebut pada 2009.
Selepas 7 tahun dominasi mereka dalam bola sepak Perancis dari 2001-2008. Selepas itu kelab ini tidak pernah menjuarai Ligue 1 lagi sehingga ke tarikh artikel ini ditulis.
Namun ada sesuatu untuk mereka banggakan pada musim 2019/20 selepas menamatkan kempen UCL sebagai semifinalist sekali lagi selepas sedekad tidak mara sejauh itu.
Tetapi ia tetap tidak menafikan hakikat bahawa mereka terlepas tempat untuk beraksi di Eropah pada musim 2020/21 buat pertama kalinya sejak 1997.
Ini seperti untuk menamatkan liga di tangga ketujuh.