Kejayaan Orton Muncul Juara Dunia Kali Ke-14 Timbulkan Persoalan Dalam Kalangan Penggusti Lain

Acara WWE Hell In a Cell minggu lalu telah memberikan impak dan pelbagai persoalan kepada para peminat serta kepada para penggusti sendiri.

Dalam acara utama, Drew McIntyre telah bertarung dengan Randy Orton dalam pertarungan dalam neraka untuk merebut sabuk kejuaraan dunia WWE miliknya.

Selepas menewaskan the Viper dalam dua acara PPV sebelum ini, kebanyakkan pihak menganggap Juara dunia itu akan meninggalkan gelanggang dengan membawa kembali sabuk kejuaraan miliknya.

Tetapi sayangnya hal tersebut tidak terjadi, sebaliknya, Orton yang pulang dari acara Hell In a Cell sebagai Juara Dunia WWE kali yang ke-14.

Pertarungan mereka berdua boleh dikatakan antara perlawanan paling epik pada tahun ini dengan kedua-dua mereka bertarung dengan aksi ganas sehingga lebih dari setengah jam.

McIntyre dan Orton bertarung dari dalam gelanggang, luar gelanggang dan mereka berdua turut bergumpal di atas puncak pagar neraka tersebut.

Ketika kedua-dua penggusti itu bertarung di atas puncak pagar neraka, Juara Dunia WWE itu telah terjatuh di atas meja pengulas dari ketinggian yang agak membahayakan.

Bermula dari situ lah detik Orton mendominasi perlawanan dan melancarkan serangan penyudahnya, RKO lalu menamatkan perlawanan sebagai Juara Dunia baru WWE.

Dalam sekelip mata Orton berjaya muncul Juara Dunia WWE untuk kali yang ke-14 menyamai rekod milik rakan sekongkolnya dari Evolution, Triple H.

Orton kini semakin hampir untuk memecahkan rekod milik John Cena dan Ric Flair yang mencatatkan rekod memenangi 16 kali gelaran Juara Dunia WWE sepanjang karier mereka.

Namun keputusan perlawanan tersebut mencetuskan kebingungan dari kalangan penggusti lain di bawah jenama RAW.

Menurut sumber laporan dari Fightful Select, kebanyakkan penggusti lain keliru apabila Orton sah bergelar Juara Dunia WWE, terutama sekali selepas melihat kekecewaannya tewas dalam dua PPV berturut-turut sebelum ini.

Beliau sebelum ini telah berseteru dengan penggusti seperti AJ Styles, Kofi Kingston dan terbaru Drew McIntyre.

Namun Orton kini dilaporkan bakal berseteru dengan penggusti handalan dari Smack Down Live, Roman Reigns di acara PPV Survivor Series.

Sementara The Viper bakal mengalihkan perhatiannya kepada bintang tertinggi SmackDown itu, ianya menjadi tidak jelas siapa yang akan menjadi lawannya untuk sabuk kejuaraan dunia WWE itu di acara RAW.

Ada kemungkinan perseteruan antaranya dengan McIntyre akan diteruskan, terutama sekali selepas mereka berdua dilihat bertarung di tepi gelanggang ketika dalam acara mingguan RAW yang lalu.

Namun sebelum mereka bertarung, Randy Orton terlebih dahulu terlibat dalam satu segmen bersama Alexa Bliss di atas gelanggang.

Sepertinya ianya adalah permulaan untuk membina perseteruan antara Orton dengan The Fiend dan dengan watak serta pengaruh Bray sekarang, tidak mustahil beliau akan menjadi Juara Dunia WWE sekali lagi.

McIntyre menyerbu gelanggang dan membelasah Orton sebelum the Viper itu melarikan diri untuk kembali ke bilik persalinan.

Namun, dengan tiba-tiba ‘the fiend’ muncul dibelakang beliau dan Orton kembali ke gelanggang dan terjadi lagi pertarungan antaranya dengan McIntyre di tepi gelanggang.

Jadi adakah lawan Orton seterusnya masih Drew McIntyre atau The Fiend akan kembali berseteru dengannya dan merampas sabuk kejuaraan dunia WWE miliknya?