Kejiranan Di Itali Menyanyi Menerusi Tingkap Ketika ‘Lockdown’ Kerana Koronavirus

Koronavirus di Itali ketika ini sudah dikira agak kritikal berbanding dengan beberapa negara Eropah yang lain.

Beberapa tempat di Itali diarahkan berkurung / lockdown. Tersebar satu footage dari bandar Siena di Itali yang memaparkan satu kejiranan menyanyi dari dalam rumah mereka ketika lockdown.

Mereka menyanyi menerusi tingkap rumah mereka antara satu sama lain. Video tersebut telah tular di seluruh dunia.

Video tersebut juga telah membuatkan ramai terharu dan tersentuh hati. Mengingatkan kita semua pentingnya kesatuan dalam komuniti ketika dalam krisis yang sukar seperti ini.

Kejiranan tersebut telah menyanyi lagi Canto della Verbena (And While Siena Sleeps). Satu lagu popular di kalangan masyarakat di Siena.

Ianya adalah lagu tradisional yang menjadi siulan masyarakat di Siena terutama sekali ketika mereka sedang berhimpun bersama.

Video tersebut dikongsikan oleh seorang penulis bernama David Allegranti, yang berkata:

“Di Siena, di bandar yang sangat dekat dengan saya, kamu berkurung di dalam rumah, namun kamu menyanyi bersama – sama seolah olah kamu berada di lorong jalanan. Saya terharu.”

Memang ramai yang tersentuh melihat video tersebut termasuk figura awam.

Ini gambaran betapa istimewa dan terbukanya masyarakat di Itali.

Ada juga yang menyatakan: “Bayangkan, seluruh dunia menyanyi dari rumah masing masing seperti ini. Tiada kebencian, tiada apa, hanyalah kesatuan untuk sekali. Suka melihatnya.”

Di Itali, negara tersebut terkesan dengan virus yang bermula dari Wuhan, China itu.

Menurut BBC, seramai 15,000 orang di Itali dijangkiti wabak koronavirus melibatkan sekitar 20 wilayah di Itali.

Perintah berkurung ini telah membuatkan 16 juta penduduk di Itali dikuarantin.

Kedai kedai banyak yang ditutup, kecuali pasaraya besar, farmasi dan juga beberapa kedai untuk stok makanan.

Kerajaan melarang sebarang perhimpunan awam buat masa ini. Semua aktiviti sukan telah digantung sementara.

Sekolah dan Universiti juga ditutup sementara sehingga 3 April akan datang.

Semoga pihak perubatan akan menemui penawar ataupun vaksin kepada koronavirus ini. Ianya memberikan impak yang sangat besar kepada dunia pada ketika ini.

Ianya juga sedang melanda di negara kita walaupun belum ada kes kematian setakat ini.

Pada 13 Mac Kementerian Kesihanat Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sehingga 13 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 39 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan.

Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya. Dengan pertambahan 39 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 197 kes.

Daripada kes baharu ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu (1) kes dari kalangan kontak rapat.

Sehingga kini, sebanyak empat (4) kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

Sumber: Unilad