Kejohanan Kelab Asean (AFF) 2020, Bukan ‘Level’ Pasukan Liga Super Malaysia?

Seawal hujung Disember 2019, Thai Premier League mengumumkan menghantar 2 pasukan ke kejohanan kelab Asean Football Federation (AFF).

Liga terbaik Asean ini memberi sokongan kepada kejohanan serantau yang kembali dipertandingkan selepas kali terakhir dimainkan pada tahun 2005.

Pada edisi pertama, menyaksikan Perak menjadi pasukan dari Malaysia bermain di kejohanan ini. Menjuarai peringkat kumpulan, tewas di separuh akhir dan penentuan tempat ke-3.

Selepas itu giliran Pahang pergi ke kejohanan ini dan menjadi naib juara pada edisi ke-2.

Walaupun diberi 2 slot kerana Liga Super Malaysia berada di kedudukan ke-3 liga terbaik di Asean, namun tiada pasukan yang dihantar.

Thai League 1 dan V-League 1, sebagai liga pertama dan ke-2 terbaik di Asean akan menghantar Chiangrai United (Juara Liga), PT Prachuap (Naib Juara Piala Liga), Hanoi FC (Juara Liga dan Piala Vietnam) dan Ho Chi Minh City (Naib Juara Liga).

Chiangrai United juga akan bermain di pertandingan Liga Juara Asia yang akan bermula pada pertengahan minggu depan.

Ketika semua negara memberi sokongan kepada kejohanan serantau, Malaysia dilihat tidak berminat membantu meningkatkan platform ini.

Sejarah menunjukan Thailand akan bermula awal, Malaysia akan masuk selepas platform sudah besar

Sebelum Asian Champions League menjadi besar seperti hari ini, kejohanan ini juga melalui tempoh yang sukar.

Dikenali sebagai Asian Club Championship. Selepas dijenamakan semula, kelab-kelab dari Thailand sering menghantar pasukan untuk bermain di kejohanan tersebut.

Tidak kira bermula di peringkat kelayakan atau mendapat terus slot ke peringkat kumpulan.

Pada ketika itu sistem kriteria liga atau sistem kedudukan liga terbaik masih belum diperkenalkan lagi.

Pencapaian pasukan dari Asean di Liga Juara Asia masih lemah, hanya ke suku akhir melalui kelab Thailand

Selepas 18 tahun, Thailand sudah biasa dengan pertandingan kelab tertinggi di Asia ini. Kini memegang status liga ke-4 terbaik di Asia Zon Timur mengatasi A-League.

Liga M bukanlah satu liga yang sibuk

Malaysia hanya mempunyai 22 perlawanan liga, 1 perlawanan awal Piala FA dan 6 perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

29 perlawanan minima bagi pasukan semua pasukan di Liga M.

Sementara itu Thailand mempunyai 30 perlawanan liga, 1 perlawanan awal Piala FA dan 1 perlawanan awal Piala Liga. 32 perlawanan minima bagi semua pasukan.

Melihat di Vietnam, mereka mempunyai 27 perlawanan minima.

Pasukan dari Malaysia dan Thailand akan mempunyai tambahan 6 perlawanan peringkat kumpulan di Asian Champions League. Manakala Ho Chi Minh City akan bermain di Piala AFC.

Tempoh jadual Liga Super Malaysia antara yang terpendek di Asean + Jepun dan Korea Selatan kerana mengasingkan pertandingan Piala ke-3, Piala Malaysia

Rumusan kepada kalendar domestik di 3 liga terbaik Asean ini menunjukan jumlah perlawanan di Malaysia tidak terlalu kritikal.

Jadual Asean Club Championship sesuai dengan suasana semasa tetapi tidak untuk Malaysia

Kejohanan ini akan bermula pada 9 Mei. Seterusnya perlawanan peringkat kumpulan berlaku pada 29 Mei, 24 Jun, 11 Julai dan 5 Ogos 2020.

Secara rutin, liga M akan tamat pada pertengahan Julai iaitu 3 bulan lebih awal dari Thai League dan V-League. 

Ini kerana untuk memberi laluan kepada pertandingan Piala ke-3 iaitu Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

Ketika Asean Club Championship mahu membuka tirai, Malaysia agak sibuk dengan penentuan kejuaraan liga.

Struktur jadual di Malaysia tidak sesuai disebabkan tempoh liga yang sangat pendek.

Situasi pasukan yang bermain di Asian Champions League dan AFC Cup adalah sama.

Hadiah Asean Club Championship mampu menampung hadiah domestik yang sedikit

Melihat kepada keseluruhan hadiah pertandingan di domestik ianya tidak terlalu tinggi.

Apabila Asean Club Championship menawarkan hadiah yang lumayan, ia seharusnya dijadikan rebutan untuk dibawa pulang ke Malaysia dan menyuntik kepada pendapatan pasukan di Malaysia.

Juara pada kejohanan ini akan meraih $400 ribu, naib juara $300 ribu dan pasukan terkandas di separuh akhir akan menerima $200 ribu.

Pasukan yang gagal mara ke separuh akhir akan menerima $140 ribu.

Melihat kepada rekod 2 kejohanan lepas, pasukan dari Malaysia mampu berada di separuh akhir dan perlawanan akhir bukanlah sesuatu yang sukar dicapai.

Bermakna sekurang-kurangnya $500 ribu mampu dibawa pulang dan disuntik ke dalam bola sepak Malaysia.

Minit perlawanan untuk pemain

Merujuk kepada amalan di barat, pasukan besar disana akan mengutamakan pertandingan liga. Kejohanan eropah menjadi medan ke-2 yang diutamakan.

Namun pada peringkat awal pertandingan benua atau Piala, kelab besar akan menggunakan pemain simpanan atau pemain muda.

Apabila layak ke peringkat yang lebih tinggi seperti suku akhir, mereka mula menggunakan pemain utama.

Pasukan di Asean masih belum mempunyai jadual yang mencabar seperti Eropah yang menghadapi 50 perlawanan dengan hanya 25 pemain

Asean Club Championship sebenarnya mampu dijadikan platform untuk pemain simpanan dan pemain muda terutamanya di peringkat kumpulan.

Tambahan 6 perlawanan yang baik bagi pemain-pemain yang kurang mendapat peluang bermain.

Apa sebab Malaysia tidak menghantar 2 pasukan yang diberikan

Hanya pihak terlibat mempunyai sebab mengapa Malaysia tidak mahu menghantar 2 pasukan yang diberikan oleh AFF.

Hanya Malaysia dan Timor Leste tidak mempunyai pasukan pada kejohanan kali ini.

Adakah ia datang dari keputusan stakeholder atau veto dari pihak Malaysia tidak mahu beraksi di kejohanan ini.

Apa perasaan Malaysia jika negara mahu menganjurkan Pesta Bola Merdeka dan semua negara Asean menolak?

Ia sekadar contoh persahabatan Asean harus ditampilkan dalam kejohanan ini. Asean Club Championship mungkin lebih dari bola sepak.

Persahabatan, membangunkan kejohanan serantau, minit permainan kepada pemain, tambahan wang pendapatan dan perkongsian kemajuan antara pasukan di Asean.

Terutamanya dari Thailand yang lebih kedepan berbanding megara lain.

Baca yang lain