Kelab Ada Masalah Kewangan, Atalanta Tamatkan Impian Invincible Treble Bayer Leverkusen

Atalanta telah menamatkan impian Bayer Leverkusen untuk menamatkan musim ini sebagai juara invincible treble.

Bayer Leverkusen tak kalah dalam kesemua aksi domestik di Jerman. Mereka menjulang Bundesliga dan Piala DFB sebelum ini.

Mereka sudah mencipta sejarah untuk menamatkan musim dengan rekod tanpa kalah terpanjang di eropah musim ini.

Namun usaha untuk melanjutkan lagi rekod itu tidak kesampaian. Hatrik oleh Ademola Lookman membuatkan Bayer Leverkusen gigit jari di pentas akhir UEL.

Lookman menganggap ini sudah pastinya menjadi malam terbaik di dalam kariernya setakat ini atau mungkin dalam kariernya sepanjang masa.

Pengurus Atalanta, Gasperini akhirnya membantu kelab itu menamatkan kemarau trofi sejak 1963. Dan ini merupakan piala kedua kelab itu sejak penubuhannya 116 tahun lalu.

Piala pertama mereka adalah Coppa Italia 1963.

Atalanta turut menjadi pasukan Itali pertama menjuarai UEL sejak 1999. Oleh sebab itu Gasperini berseloroh menyatakan bahawa UEL ibarat satu sumpahan dan suwey untuk bola sepak Itali.

Gasperini akui bangga dengan pemain pemainnya. Ini kerana kelab tidak memiliki sumber kewangan yang stabil seperti kelab lain. Namun pemain pemain yang ada benar benar berjuang demi kelab dan peminat.

“Saya benar benar berbangga sebagai rakyat Itali. Kerana trofi ini dianggap ‘suwey’ di negara kami. Memenanginya bersama Atalanta mungkin salah satu kisah dongeng dalam bola sepak.

“Ini memberikan harapan baharu kepada meritokrasi dalam bola sepak. Kamu boleh tunjukkan kesungguhan kamu kepada pasukan lain tanpa bil dan perbelanjaan yang besar.

“Ayuh nikmati dulu kemenangan ini sebelum memikirkan seberapa jauh kita boleh pergi musim depan. Pasukan ini akan membangun melalui keputusan ini. Kami akan melakukannya, dalam pada kami berusaha memastika bahawa buku akaun kami seimbang atau meraih keuntungan dan itu elemen paling mustahak untuk kelab ini.

“Biasanya kelab yang memenangi piala akan bergelut untuk mengawal kos perbelanjaan mereka selepas ini. Atalanta berjaya memenangi trofi ketika kelab tidak stabil secara kewangan dan ini adalah luar biasa,” tegas pengurus itu.