Kelab Hukum Nainggolan Yang Selamber Hisap Vape Di Bangku Simpanan Secara Live

Pemain Belgium berdarah Indonesia, Radja Nainggolan telah digantung oleh kelabnya Royal Antwerp untuk tempoh yang tidak ditentukan kerana masalah disiplin yang serius.

Dia ditangkap menghisap rokok elektrik di bangku simpanan pemain semasa perlawanan Liga Belgium.

Sepanjang kariernya, Radja Nainggolan seringkali melakukan kontroversi termasuk beberapa insiden melibatkan rokok.

Misalnya ketika Euro 2016, Nainggolan meminta bilik khas dengan ada ruang merokok. Pengurus Belgium ketika itu Marc Wilmots mengesahkan perkara itu dan dia sudah memberikan izin kepada pemain itu.

Namun di bawah kendalian Roberto Martinez, pengurus itu memutuskan untuk melarang Nainggolan merokok sama sekali dalam kem kebangsaan. Dan ianya membuatkan Nainggolan mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.

Ketika di Inter, dia pernah bergaduh dengan peminat Inter kerana kantoi merokok di kelab malam ketika dia dalam fasa pemulihan kecederaan. Antonio Conte kurang gembira dengan disiplin Nainggolan kemudian tidak mahu pemain itu berada dalam pasukannya lagi.

Kini satu lagi episod kontroversi Nainggolan merokok. Radja tertangkap kamera sedang menghisap rokok elektrik di bangku simpanan sebelum bermain sebagai pemain gantian ketika Royal Antwerp menentang Standard Liege dalam Liga Belgium pada Ahad lalu.

Sebelum itu, Radja juga pernah melakukan kesalahan kerana disaman akibat kesalahan memandu dalam keadaan lesen memandunya tamat tempoh.

Hanya beberapa hari selepas berita disaman trafik, dia buat hal lagi, menghisap vape di bangku simpanan.

Perkara itu benar benar membuatkan kelab marah. Ini kerana badan penyiar rasmi telah memberikan amaran kepada kelab itu bahawa siaran langsung bola sepak adalah untuk tontonan umum.

Kelabnya memutuskan untuk menggantung pemain itu daripada tugasannya sehingga diberitahu kelak – bila dia akan kembali beraksi.

“Persetujuan jelas juga telah dibuat mengenai apa yang kelab kami lakukan dan tidak jangkakan daripada pemain itu,” kata Royal Antwerp dalam satu kenyataan rasmi kelab.

Menerusi Instagramnya, Radja Nainggolan berkata beliau amat kesal dengan perbuatannya itu.

“Kelab telah membuat keputusan yang hanya saya boleh terima, walaupun saya fikir ia mungkin terlalu berat untuk saya. Tetapi saya akan cuba menyumbang dalam satu cara atau yang lain,” kata pemain itu.