Kenali Skuad TCH Sejak 4 Tahun Lepas

Setiap pasukan akan mengalami perubahan bergantung kepada prestasi, kecederaan dan umur. Skuad Malaysia bimbingan Tan Cheng Hoe juga tidak terkecuali dari transisi perubahan pemain. Sebagai contoh, senarai pemain England di Piala Eropah 2020 sudah berubah lebih 50% sejak 2019.

Dalam tempoh tersebut siapakah pemain yang masih berada dalam perancangan Tan Cheng Hoe. Disini kami senaraikan 11 (+11) pemain yang kerap digunakan oleh jurulatih kelahiran Kedah itu.

PENJAGA GOL

GK. Farizal Marlias (JDT)

Karier Khairul Fahmi Che Mat seakan berakhir selepas tugasan Malaysia di Piala AFF 2018. Bermain 3 kali di peringkat kumpulan, penjaga gol ini tidak lagi dipanggil dalam sebarang perlawanan kelayakan Piala Dunia. Kali terakhir Khairul Fahmi beraksi adalah ketika Malaysia tewas kepada Vietnam (0-2).

Farizal Marlias menjadi penjaga gol tetap Malaysia sebelum akhir-akhir ini Khairulazhan diberi peluang. Bagaimanapun Farizal tampil 9 kali dari 15 perlawanan kompetitif tidak termasuk perlawanan persahabatan. Bakinya 3 kali untuk Khairul Fahmi, 2 kali untuk Khairulazhan dan 1 kali untuk Ifwat Akmal.

Hafizul Hakim Nizam, Zharif Irfan Hashimuddin dan Haziq Nadzli antara 3 nama yang pernah dipanggil.

Pemain kedua: Khairulazhan Khalid (Selangor)

PERTAHANAN SISI

Matthew Davies (JDT) dan Lavere Corbin Ong (JDT)

Syahmi Safawi merupakan pertahanan kanan dalam perjalanan Malaysia menjadi naib juara Piala AFF. Dalam kelayakan Piala Dunia Tan Cheng Hoe lebih kerap menggunakan Matthew Davies yang ketika merupakan pemain kunci Pahang.

Bagaimanapun tempat Syahmi tidak pernah terjejas, pertahanan Selangor ini terlibat secara terus ketika Malaysia menumbangkan Indonesia (2-0) dan Thailand (2-1). Ia merupakan 2 perlawanan terakhir Malaysia, perlawanan yang mendapat pujian peminat Malaysia dan terus membuka peluang untuk mengintai potensi berada di kelayakan akhir Piala Dunia.

Tan Cheng Hoe hanya pernah memanggil 3 pertahanan kanan. Davies, Syahmi dan Khairul Azahan. Disebabkan kemampuan Davies dan Syahmi agak baik, Khairul Azahan hilang tempat secara total selepas Piala AFF.

Isu Lavere Corbin Ong agak menarik. Pernah satu ketika, Tan Cheng Hoe mengedarkan senarai pemain yang dipanggilnya kepada wartawan. Dalam senarai tersebut terdapat nama Corbin Ong namun namanya ‘hilang’ ketika diumumkan kepada umum.

Walaupun ia agak misteri, panggilan seterusnya nama Corbin Ong akhirnya timbul. Ia menggembirakan ramai penyokong Malaysia kerana kualiti yang dimiliki oleh pemain berambut kembang ini cukup baik. Dalam proses kelayakan Piala Dunia, Corbin hanya terlepas 1 perlawanan. Perlawanan yang tidak begitu penting menentang Timor Leste. Pada ketika itu Malaysia sudah mempunyai agregat besar (7-1).

Tempatnya diberikan kepada Syazwan Andik, pertahanan kiri utama dalam kempen Piala AFF. Disebabkan kemampuan besar Corbin Ong, Tan Cheng Hoe tidak perlukan pertahanan kiri kedua yang tetap. Hanya Syazwan Andik dan Nazirul Che Naim yang pernah dipanggil.

Pemain kedua: Syahmi Safari (Selangor) dan Syazwan Andik Ishak (JDT)

PERTAHANAN TENGAH

Aidil Zafuan (JDT) dan Shahrul Saad (JDT)

Pada hari ini posisi ini menjadi perbualan hangat oleh peminat bola sepak negara. Siapakah pemain yang tepat untuk berada disitu. Nama Dions Cool mungkin menjadi pilihan utama untuk bergandingan dengan Aidil Zafuan.

Pada masa lepas, Shahrul Saad merupakan pemain paling kerap ‘bekerja’ dalam peranan tersebut. Malahan lebih kerap dari Aidil Zafuan dan mana-mana pemain di posisi lain.

Shahrul Saad tampil dalam kesemua 8 perlawanan AFF dan 7 perlawanan kelayakan Piala Dunia tanpa terlepas 1 minit. Selepas menyertai JDT terdapat persoalan dimana pemain ini akan bermain dan bagaimana tempatnya dalam skuad Malaysia.

Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Dominic Tan antara 3 nama lain yang dipanggil sejak 2018 untuk perlawanan kompetitif. Nama seperti Juniors Eldstal dan Dions Cool merupakan nama baru yang dipanggil.

Pemain kedua: Adam Nor Azlin (JDT) dan Irfan Zakaria (KL City)

PEMAIN TENGAH

Akram Mahinan (KL City), Syamer Kutty (JDT) dan Azam Azih (Sri Pahang)

Kenapa tiada nama Brendan Gan?

Ini adalah senarai pemain paling kerap dipanggil Tan Cheng Hoe. Ia bukanlah senarai semasa pemain negara. Brendan Gan mula dipanggil pada September 2019 selepas Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Brendan Gan memberi impak besar Indonesia 2 kali dan Thailand. Situasi tersebut menyingkirkan terus nama Akram Mahinan. Sementara itu Azam Azih mejadi ahli tetap dalam 7 perlawanan kelayakan dan Syamer Kutty kembali diberi peluang.

Dari sini bermula lah kisah Tan Cheng Hoe menggunakan pemain tengah tulen berbanding mengunakan penyerang seperti yang dilakukan dalam kejohanan Piala AFF.

Terdapat 5 nama yang pernah berada dalam skuad Malaysia iaitu Halim Shaari, Kenny Pallraj, Afiq Fazail, Danial Amier Norhisyam, Azzizan Nordin dan Baddrol Bakhtiar. Selain dari Kenny, Halim dan Afiq bakinya tidak pernah bermain.

*Pemain kedua: Brendan Gan (Selangor), Halim Shaari (Selangor) dan Kenny Pallraj (Perak)

PENYERANG

Safawi Rashid (JDT), Mamadou Sumareh (JDT) dan Norshahrul Idlan (Sarawak Utd)

Sejak 4 tahun lepas Safawi Rashid dan Mamadou Sumareh tidak pernah kehilangan tempat sebagai pemain utama pasukan. 2 penyerang sisi ini telah meyumbang 6 gol dan 5 darinya dalam kelayakan Piala Dunia.

Akhyar Rashid merupakan pemain simpanan utama kepada Safawi dan Sumareh. Syazwan Zainon, Hadin Azman, Faiz Nasir dan Faisal Halim antara nama yang pernah dipanggil namun gagal mengenepikan Akhyar. Sama seperti kes Shahrul Saad, penyertaan Sumareh ke JDT akan dilihat.

Dimana tempatnya disana kerana peluang untuk diserapkan kedalam skuad negara akan dinilai dari sana.

Tan Cheng Hoe melakukan perubahan besar di posisi penyerang tengah. Beliau perlu mengenepikan salah seorang (Norshahrul atau Zaquan Adha) kerana faktor usia. Ia juga perlu kerana kesinambungan posisi ini tidak putus.

Shahrel Fikri, Shafiq Ahmad dan penyerang kurang minit Hazwan Bakri berada dalam skuad Piala AFF. Agak sukar untuk mengatakan peluang itu patut diberikan kepada Hazwan kerana perkembangannya di JDT agak teruk.

Shafiq Ahmad perlu terus berada dalam perancangan Tan Cheng Hoe sementara itu Shahrel perlu terus mengekalkan prestasinya di saingan domestik. Buat masa sekarang Shahrel cedera dan hanya bermain tahun depan.

Kemasukan Guilherme De Paula bukanlah pelan jangka masa panjang kerana pemain juga terlalu tua dan perlu ditransisikan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Pemain kedua: Syazwan Zainon (Kedah), Hadin Azman (KL City) dan Faisal Halim (Terengganu)

RUMUSAN

Senarai diatas merujuk kepada kekerapan mereka bermain bersama pasukan Malaysia. Terdapat nama yang sudah kehilangan tempat atas beberapa faktor.

Dions Cool, Arif Aiman dan beberapa nama lagi antara prospek untuk menjadi pemain utama dalam panggilan tugasan antarabangsa. Setiap nama baharu akan mengenepikan nama lama.

Farizal Marlias (JDT); Matthew Davies (JDT), Lavere Corbin Ong (JDT), Aidil Zafuan (JDT), Dions Cool (Midtjylland); Azam Azih (Pahang), Liridon Krasniqi (JDT), Syamer Kutty (JDT); Safawi Rashid (JDT), Mamadou Sumareh (JDT), Guilherme De Paula (JDT) mungkin kesebelasan utama pada hari ini.