Keputusan Penuh PPV Survivor Series 2020

PPV Survivor Series baru sahaja berakhir dan pelbagai perlawanan menarik yang dapat disaksikan dalam acara kedua terbesar WWE yang dilangsungkan pada awal pagi tadi.

PPV Survivor Series pada tahun ini juga dijadikan sebagai acara untuk meraikan ulang tahun ke-30 The Undertaker serta hari secara rasminya The Deadman itu bersara dari dunia gusti.

Telah berlangsung beberapa perlawanan yang melibatkan dua jenama besar WWE iaitu RAW dan SmackDown.

Kesemua Juara dari kedua-dua jenama telah dipertemukan dalam acara ini untuk menentukan siapa lebih hebat dari yang terhebat.

Selain itu, terdapat juga perlawanan klasik Survivor Series yang menemukan lima penggusti dari jenama RAW dan lima dari SmackDown.

1) Perlawanan pra-acara: Dual-Brand Battle Royal

Perlawanan battle royal ini membuka acara Survivor Series pada tahun ini dengan membariskan 15 orang penggusti dari kedua-dua jenama.

Penggusti seperti The Miz, John Morrison, Dominic Mysterio, Rey Mysterio, Shinsuke Nakamura, Jeff Hardy dan beberapa lagi penggusti lain telah bertarung dalam perlawanan battle royal ini.

Penggusti yang dikeluarkan dari gelanggang melalui tali paling atas dikira tewas dan The Miz berjaya memenangi perlawanan ini selepas menyingkirkan peserta terakhir, Dominic Mysterio.

2) Perlawanan Penyingkiran Survivor Series 5-lawan-5 Lelaki:

Pasukan RAW diwakili oleh AJ Styles, Sheamus, Keith Lee, Braun Strowman dan Riddle manakala SmackDown pula diwakili oleh Kevin Owens, Jey Uso, King Corbin, Seth Rollins dan Otis.

Jay Uso dan AJ Styles memulakan aksi dalam perlawanan ini dan penggusti pertama yang tersingkir dari perlawanan ini adalah Seth Rollins.

Rollins menyerah diri dengan melutut dan mencabar Sheamus untuk melakukan penyudah Brogue kick dan the Celtic warrior itu melakukan teknik penyudahnya lalu menindan The Messiah untuk menyingkirkan penggusti pertama dari SmackDown Live itu.

Kevin Owen kemudiannya menjadi penggusti kedua dari jenama biru yang tersingkir selepas ditindan oleh AJ Styles dan seterusnya King Corbin pula disingkirkan oleh Riddle.

Braun strowman kemudiannya menyingkirkan Otis sebelum Keith Lee menyingkirkan Jay Uso untuk memberi kemenangan bersih kepada Team RAW.

3)Perlawanan Juara Regu RAW menentang Juara Regu SmackDown:

Pasangan Juara regu dari RAW, The New Day yang dianggotai oleh Xavier Woods dan Kofi Kingston telah bertemu
Juara regu SmackDown, Street Profit yang diwakili oleh Angelo Dawkins dan Montez Ford.

Perlawanan ini merupakan antara yang terbaik dalam acara PPV pada kali ini walau Street Profit pada awalnya nampak gugup dan tidak bersedia untuk perlawanan besar.

Kedua-dua pasangan regu mempamerkan persembahan menarik dan sangat lincah, Street Profit akhirnya berjaya memenangi perlawanan ini selepas Angelo Dawkins menindan Xavier Woods.

Selepas tamat perlawanan, kedua-dua pasangan regu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan saling berpelukan sebagai tanda tiada permasalahan antara mereka.

4) Perlawanan Juara Amerika Syarikat bertemu menentang Juara Antara Benua

Bobby Lashley mewakili jenama RAW sebagai Juara Amerika Syarikat manakala Sami Zayn pula mewakili SmackDown Live sebagai Juara Antara Benua.

Sami Zayn kerap terganggu dengan kehadiran anggota kumpulan The Hurt Business dan Lashley dilihat lebih dominan dalam perlawanan ini.

Ada satu ketika, Zayn cuba untuk melarikan diri namun kakinya tersadung dan terjatuh, beliau cuba menyalahkan MVP namun pengadil mengabaikan tuduhannya.

MVP kemudian menolak Zayn masuk ke gelanggang lalu Lashley terus mengunci Juara antara benua itu dan pengadil memberhentikan perlawanan serta memberikan kemenangan kepada wakil RAW itu.

5) Perlawanan Juara Wanita Raw menentang Juara wanita SmackDown

Juara wanita RAW, Asuka bertemu dengan Juara wanita SmackDown, Sasha Banks untuk menentukan Juara wanita terhebat dalam WWE.

Kedua-dua penggusti wanita itu telah menyajikan aksi yang cukup hebat dalam perlawanan ini.

Tidak dinafikan perlawanan antara kedua-dua penggusti wanita ini boleh dikatakan yang terbaik dalam acara PPV kali ini dengan kelincahan yang ditunjukkan oleh mereka.

Sasha Banks berjaya memenangi perlawanan ini secara bersih selepas melakukan tindanan ke atas Asuka.

6) Perlawanan Penyingkiran Survivor Series 5-lawan-5 Wanita:

Pasukan RAW diwakili oleh Shayna Baszler, Nia Jax, Lana, Lacey Evans dan Peyton Royce manakala SmackDown pula diwakili oleh Bayley, Bianca Belair, Natalya, Ruby Riott dan Liv Morgan.

Bayley memulakan perlawanan ini bertemu Lacey Evans dan ketika perlawanan sedang berlangsung, penggusti dari RAW telah mengarahkan Lana untuk sekadar berdiri di tangga dan menyaksikan perlawanan.

Bayley yang juga ketua pasukan SmackDown menjadi penggusti pertama tersingkir selepas beliau disingkirkan oleh Peyton Royce.

Sebaik menyingkirkan Bayley, Peyton Royce telah disingkirkan oleh Natalya yang mana tidak lama selepas itu beliau sendiri pula telah disingkirkan oleh Lacey Evans.

Ruby Riot telah disingkirkan oleh Shayna dan selepas itu giliran Lacey Evans pula disingkirkan oleh Liv Morgan.

Nia Jax kemudiannya berjaya menyingkirkan Liv Morgan dan meninggalkan Bianca Belair menjadi wakil tunggal dari jenama Smackdown.

Shayna kemudiannya telah melakukan gerakan mengunci Bianca namun selepas wakil SmackDown itu sudah mencapai tali, beliau masih tidak mahu melepaskan kuciannya.

Oleh kerana ingkar dengan arahan pengadil, beliau telah disingkirkan atas keputusan dari pengadil.

Nia Jax kemudian bertarung dengan wakil tunggal SmackDown, Bianca Belair dan kedua-dua mereka tersingkir serentak selepas gagal masuk semula kedalam gelanggang dalam kiraan 10 dari pengadil.

Oleh kerana itu, Lana telah dinobatkan sebagai sole survivor yang memenangi perlawanan ini secara automatik memberikan kemenangan kepada jenama RAW.

Jadi berguna juga lah dia walau sekadar lepak tepi gelanggang kan?

7) Perlawanan Juara Dunia WWE menentang Juara Universal WWE

Drew Mcintyre mewakili jenama RAW sebagai Juara Universal manakala Roman Reigns pula menjadi wakil SmackDown sebagai Juara Dunia WWE.

Kedua-dua mereka telah mempamerkan persembahan yang sungguh hebat dan perlawanan ini selayaknya diberikan slot sebagai acara main event.

Drew membuktikan kemampuannya dengan beberapa kali juga mendominasi Reigns, namun serangan balas dari bekas anggota The Shield itu juga tidak kurang hebatnya.

Setelah menghempas Drew di atas meja pengulas, Reigns telah melancarkan gerakan spear ke atas Drew yang menyebabkan pagar penghadang runtuh.

Selepas kedua-dua penggusti melancarkan gerakan penyudah masing-masing, masih tiada pemenang dalam perlawanan ini hinggalah Jay Uso tampil ikut campur dalam perlawanan ini.

Roman kemudiannya mengunci Drew McIntyre sehingga pengadil memberhentikan perlawanan dan memberikan kemenangan kepadanya.

Acara PPV yang agak menarik cuma perlawanan lima lawan lima kategori lelaki sedikit mengecewakan dengan RAW dilihat terlalu mudah memenangi perlawanan tersebut.

Baca yang lain