Kerajaan AS Desak Facebook Jual Instagram & WhatsApp Kerana Bersifat Anti Persaingan

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Facebook sekali lagi menimbulkan isu panas. Kali ini kerajaan AS mengarahkan Mark Zuckerberg – pemilik Facebook – agar dia mesti menjual WhatsApp dan Instagram.

Ini kerana dua aplikasi tersebut adalah gambaran bahawa Facebook menggunakan ‘skim haram’ untuk mengatasi pesaingnya.

Facebook membeli Instagram pada 2012, dan dua tahun kemudian membeli WhatsApp.

Satu surat tuntutan perundangan  difailkan ke atas Facebook pada 9 Disember lalu oleh Federal Trade Commission dan Peguam Negara AS daripada 46 negeri.

Surat tersebut menuduh bahawa IG dan WhatsApp mencabuli privasi rakyat Amerika dan banyak lagi.

Menurut Buzzfeed, Peguam Negara Letitia James berkata:

“Hampir sedekad, Facebook telah menggunakan dominasi dan monopolinya untuk menghancurkan seterunya yang kecil dan menyingkirkan mereka daripada persaingan dengan menggunakan data pengguna harian mereka.”

“Dengan menggunakan sebahagian besar data dan wang, Facebook telah menyekat atau menghalang mana mana seteru mereka yang dianggap berpotensi.”

Letitia menambah bahawa ‘skim haram’ Facebook ini telah mengurangkan pilihan untuk pengguna dan telah ‘merosakkan perlindungan privasi berjuta-juta rakyat Amerika’.

Misalnya mereka mengambil alih Instagram dan WhatsApp – ia adalah contoh tingkah laku anti persaingan.

Jadi, dengan tuntutan perundangan tersebut, Letitia berkata, kerajaan berharap dapat menghentikan sikap jelik Facebook.

Dan kerajaan mendesak agar mahkamah memaksa syarikat gergasi media sosial itu menjual beberapa aset utamanya, termasuk Instagram dan WhatsApp, dan untuk meminta persetujuan mahkamah untuk pengambilalihan selanjutnya bernilai sekurang-kurangnya $10 juta.

Ian Conner, pengarah Biro Persaingan FTC, berkata:  “Tindakan Facebook untuk memperkukuh dan mengekalkan monopolinya telah menafikan faedah persaingan kepada pengguna.”

Ian juga mengatakan bahawa tujuannya adalah untuk ‘menghentikan tingkah laku anti persaingan oleh Facebook’ dalam usaha untuk memulihkan persaingan.

Sementara itu, Jennifer Newstead, naib presiden dan penasihat umum Facebook, telah mendakwa bahawa kerajaan AS ‘sekarang mahukan perubahan’.

Dia berkata:

“Instagram dan WhatsApp menjadi produk luar biasa seperti sekarang kerana Facebook melabur berbilion-bilion dolar, dan bertahun-tahun inovasi dan kepakaran, untuk mengembangkan ciri baru dan pengalaman penggunaan yang lebih baik bagi jutaan pengguna yang menikmati produk tersebut.”

“Fakta terpenting dalam kes ini, yang tidak disebutkan oleh Suruhanjaya dalam rungutan 53 halamannya, adalah bahawa ia pengambilalihan ini sudah berlaku bertahun-tahun yang lalu.”

“Dan sekarang kerajaan mahukan perubahan. Ini adalah satu amaran mengerikan yang dihantar kepada perniagaan Amerika bahawa penjualan sesuatu produk itu tidak pernah muktamad.”

Newstead menambah bahawa mereka ‘menantikan hari mereka di mahkamah’ dan bahawa mereka ‘yakin bukti akan menunjukkan bahawa Facebook, Instagram dan WhatsApp dimiliki bersama, bersaing dengan produk yang hebat’.