Kerajaan Somalia Dikecam Kerana Hantar Anak Saudara Pak Menteri Pergi Acara Balapan

Kerajaan Somalia terutama sekali menteri sukan negara itu menerima kritikan teruk. Ianya selepas negara itu memutuskan menghantar atlet yang tidak pernah berlatih dengan latihan yang betul bertanding dalam kejohanan Sukan Universiti Dunia FISU 2023 di Chengdu, China.

Lebih mengejutkan, rupa rupanya atlet tersebut merupakan anak saudara kepada menteri Sukan. Dan ia telah menimbulkan kecaman.

Dia telah mencatatkan larian paling perlahan dalam sejarah pertandingan.

Nasra Ali Abukar berlari dalam masa 21.81 saat, menamatkan acara 100m kira-kira 10 saat di belakang pendahulu dan mencetuskan bantahan mengenai kemasukannya.

Video dia bertanding dalam pertandingan itu telah tular dengan lebih 19.8 juta tontonan sejak ia dikongsi di Twitter.

Ramai yang mempersoalkan mengapa seorang atlet yang kurang bersedia tanpa rekod sebelum bertanding dalam perlumbaan telah dipilih oleh Kementerian Belia dan Sukan di Somalia untuk mewakili negaranya.

Nasra malah kelihatan langsung tidak memiliki teknik larian yang betul, kondisi fizikal yang baik. Dan dia seperti sekadar datang untuk melancong – kata seorang netizen.

Elham Garaad menyatakan ia adalah aib untuk negara itu dan pada masa yang sama membuktikan bahawa kerajaan Somalia memang sarat dengan korupsi dan nepotisme.

Gadis itu adalah anak saudara kepada Presiden Olahraga Somalia Abdullahi Ahmed Tarabi dan bahawa kemasukannya dalam pasukan itu disebabkan oleh nepotisme.

Lebih panas, insiden itu berlaku di engah-tengah dakwaan penyelewengan kewangan melibatkan Abdullahi.

Elham Garaad, yang catatannya di Twitter menjadi tular dengan video itu, mempersoalkan kemasukan atlet itu.

Dia menulis: “Kementerian Belia dan Sukan harus berundur. Sungguh menyedihkan menyaksikan kerajaan yang tidak cekap seperti itu. Bagaimana mereka boleh memilih seorang gadis yang tidak terlatih untuk mewakili Somalia dalam acara pecut? Ia benar-benar mengejutkan dan mencerminkan keadaan negara kita di peringkat antarabangsa.”

Newsweek telah menghubungi Garaad dan Kementerian Belia dan Sukan Somalia, masing-masing melalui Twitter dan e-mel, untuk mengulas mengenai situasi itu.

Garaad membalas tweet: “Itu anak saudara kepada Presiden Persekutuan Olahraga Somalia. Apa yang anda jangkakan ? Nepotisme; kami mempunyai atlet yang bagus di Somalia tetapi apabila bercakap tentang wang dan kroni, adalah cerita yang berbeza.”

Garaad malah mendedahkan bahawa nama Nasra turut tersenarai dalam projek keluarga di negara tersebut.

Ia jelas menutup peluang mereka yang lebih berhak.

Persekutuan Olahraga Somalia telah berkata di TV Somalia bahawa akan ada siasatan terhadap pemilihan Abukar selepas penyertaannya dikutuk di seluruh dunia.

Mereka menegaskan bahawa tidak pernah tahu bahawa gadis itu ada pertalian kekeluargaan dengan pak menteri. Dan kalau ada mungkin secara kebetulan. Namun mereka akan menyiasat kes itu.

Ia bukan kali pertama Somalia menimbulkan kontroversi dengan pemilihan atlet wanita mereka.

Pada 2016, Maryan Nuh Muse mewakili negara pada 400 meter dalam Sukan Olimpik Rio walaupun dia mencatatkan masa yang amat perlahan. Ketika itu ada atlet lain di Somalia yang mencatatkan masa lebih baik daripadanya. Namun tak terpilih.

Garaad turut menyatakan bahawa, Somalia adalah negara yang melahirkan ramai pelari jarak jauh. Jadi tidak mustahil untuk melahirkan pelari pecut kalau kerajaan tidak korup.

Seorang lagi peminat sukan Somalia menyatakan, ianya perkara biasa untuk melihat anak saudara menteri menjadi atlet di negara itu. Salah satu tujuannya adalah untuk mendapatkan pelbagai insentif sukan daripada kerajaan dan melancong ke negara lain.