Kerana Cakap Besar Anggap Haaland ‘Masalah Kecil’, Pemain Ini Saksi Depan Mata Gol Kungfu Haaland

Pengarah sukan Borussia Dortmund Sebastien Kehl dan bek tengah Nico Schlotterbeck sama-sama memperlekehkan dan memperkecilkan ancama Erling Haaland.

Mereka malah menganggap Haaland sebagai ancaman paling kurang bahaya dari Manchester City. Kenyataan itu dikeluarkan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Etihad.

Perlawanan di Stadium Etihad adalah kali pertama Haaland berdepan Dortmund sejak meninggalkan kelab Bundesliga itu pada musim panas untuk menyertai City.

Keputusan Pep Guardiola untuk membeli pemain Norway itu nampaknya membuahkan hasil setakat ini dengan pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan 13 gol dalam hanya lapan perlawanan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Walaupun prestasi menjaringkan golnya telah mendapat pujian di seluruh landskap bola sepak, kedua-dua Kehl dan Schlotterbeck pula tidak begitu kagum atau gerun dengan Haaland. Sebaliknya mereka lebih memikirkan pemain lain.

Kehl berkata: “[Ia] bukan sahaja mengenai Erling Haaland. Man City adalah pasukan yang sangat kuat secara keseluruhan, adalah pasukan pilihan dalam kumpulan. Mungkin pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.  Tetapi tiada sebab untuk kita tidak perlu membuat kejutan di sana.”

Sementara itu, Schlotterbeck membuat ramalan yakin sebelum perlawanan. Dia berkata: “Dalam perlawanan itu [Freiburg 2-1 Dortmund, 2021], saya menyedari betapa bagusnya saya.”

“Saya tahu bagaimana untuk menghentikan Erling Haaland. Kami perlu menghentikan Manchester City secara keseluruhan, Erling adalah masalah yang paling kecil untuk saya fikirkan.”

Komen itu sangat berbeza dengan komen Jude Bellingham yang menegaskan bahawa dia tidak tahu cara untuk menghentikan Haaland. Sambil menyatakan bahawa mereka harus bertahan sebagai satu pasukan.

Agak ironi kerana sebelum kemasukan Schlotterbeck, Haaland berjaya didiamkan oleh pemain pemain lain.

Schlotterbeck dimasukkan pada minit ke-78, ketika Dortmund sedang mendahului dan melakukan beberapa aksi melengahkan perlawanan. Sehingga ada pemain mereka dilayangkan kad kuning kerana time wasting.

Selepas kemasukan Schlotterbeck, City menjaringkan 2 gol. Dia turut menjadi saksi depan mata gol Haaland yang sangat memukau. Selepas hantara kelas dunia menerusi trivella oleh Joao Cancelo.

Schlotterbeck kena balik dengan penyokong City yang mengusiknya dengan banter.

Akibat cakap besar memperlekehkan ancaman Haaland, Schlotterbeck mungkin harus berehat daripada media sosial pada hari ini.

Ramai mengingatkan Schlotterbeck agar lebih menghormati lawannya terutama sekali bekas pemain yang banyak berjasa kepada kelabnya ketika ini. Haaland merupakan bekas pemain Dortmund yang pernah menjadi idola di Signal Iduna Park.