Kerana Messi, Instagram PSG Tambah 20 Juta Pengikut & Ligue 1 Beri Pengecualian Khas Jersi 30

PSG mengumumkan bahawa Lionel Messi adalah pemain baharu mereka. Pemenang 6 Ballon d’Or dan 4 UCL itu akan memakai jersi 30.

Messi menyertai PSG selepas gagal mendapatkan kontrak dengan Barcelona kerana dihalang oleh FFP La Liga.

Messi menerima kontrak lumayan di PSG dengan gaji mencecah EUR30 juta semusim termasuk semua bonus prestasi.

Durasi kontrak adalah 2 musim dengan opsyen untuk lanjutan setahun lagi.

Kehadiran Lionel Messi memang dijangka akan memberikan publisiti yang besar kepada PSG dan Ligue 1.

Jadi, Ligue 1 selepas ini akan menerima lebih banyak audien tambahan dengan adanya Messi dan skuad PSG yang serba bintang termasuk Donnarumma dan Sergio Ramos yang baru menyertai mereka.

Messi akan membentuk gandingan dengan Kylian Mbappe dan Neymar di serangan PSG.

Kehadiran Messi turut memberikan impak kepada instagram PSG yang meningkatkan jumlah pengikutnya sebanya kira kira lebih 20 juta dalam masa yang singkat.

Sebelum dikaitkan dengan Messi, instagram PSG cuma ada 19.1 juta pengikut. Namun sejak beberapa media berpengaruh termasuk koresponden Fabrizio Romano melaporkan bahawa Messi akan PSG, dan kemudian Messi sah ke PSG, instagram tersebut meningkatkan jumlah pengikut kepada lebih 40 juta.

Nota Editor: Pada pukul 7 pagi waktu Malaysia, angka itu sudah menjadi 41.6 juta.

Itulah kekuatan Lionel Messi.

Pengecualian khas

Ligue 1 merupakan liga yang sangat tegas dalam soal nombor jersi pemain. Di mana ada beberapa nombor dikhaskan kepada penjaga gol dan tidak boleh dipakai oleh pemain outfield termasuk jersi 30.

Kes Donnarumma

Dengan kehadiran Donnarumma ke PSG, kelab itu kini memiliki 9 penjaga gol profesional di dalam kelab mereka.

Gianluigi Donnarumma sah menyertai PSG secara percuma dari AC Milan. Namun hasrat pemain itu untuk memakai jersi 99 tidak kesampaian dan dilarang sama sekali.

Kemudian Donnarumma disahkan memakai jersi no.50. Sebenarnya agak rumit peraturan di Ligue 1 ini. Bukan sahaja menghadkan nombor jersi, namun turut menetapkan nombor khas untuk penjaga gol.

Berbeza di beberapa liga sebelum ini, hanya mengetatkan had nombor jersi tapi penjaga gol boleh bebas memilih mana mana nombor dari kalangan nombor tersebut.

Nombor 99 merupakan nombor kegemaran Donnarumma di peringkat kelab. Dia memakai jersi itu sejak debut dengan AC Milan pada usia 16 tahun lagi.

Alasan Donnarumma memakai jersi 99 kerana nombor itu menandakan tahun kelahirannya.

Di Ligue 1, mereka melarang Donnarumma memakai jersi yang dianggap memiliki nombor fancy. Malah sebelum ini pernah melarang Mario Balotelli daripada memakai jersi 45 ketika di Nice dan Marseille.

Ligue 1 menetapkan jersi penjaga gol haruslah bernombor 1, 16 dan 30. Dan ketiga tiga nombor itu sudah menjadi milik Keylor Navas, Sergio Rico serta Alexandre Letellier.

Jadi, Ligue 1 memberikan dua pilihan kepada Donnarumma sebagai alternatif iaitu nombor 40 ataupun nombor 50 — yang dikatakan sebagai pengecualian khas selepas 3 nombor utama ada pemiliknya.

Dipetik daripada Balls.ie: Peraturan LFP #670: “Setiap pemain Ligue 1 dan 2 perlu mendaftarkan nombor mereka sekurang kurangnya 72 jam sebelum sepak mula pertandingan.”

“Senarai tersebut tidak boleh melebihi 30 nama dan nombor 30 adalah nombor terakhir dalam senarai. Dan ianya perlu dikemaskini setiap kali ada berlaku aktiviti keluar masuk pemain.”

“Jika sesebuah kelab memiliki lebih 30 pemain profesional yang masih berkontrak, lembaga LFP akan memberikan pengecualian khas.”

“Nombor 1, 16 dan 30 secara eksklusif adalah untuk penjaga gol. Dan nombor 40 boleh digunakan jika perlu.”

Tetapi Ligue 1 memberikan pengecualian khas kepada Lionel Messi. Asalkan dia bahagia. Sebab Messi akan memberikan lebih banyak manfaat kepada Ligue 1 dalam menarik audien.

Messi sebelum ini dikatakan akan memilih sama ada memakai jersi 30 atau 19. Dua nombor pertama ketika kariernya bersama skuad senior Barcelona.

Peranan Messi dalam jenama Barcelona sebelum ini

Sebelum ini Brand Finance menganggap Messi adalah satu jenama yang kuat berdiri dengan sendiri. Jadi Messi akan menjadi elemen yang kuat dalam membantu menaikkan publisiti dan pendapatan kelab.

Pemergian Messi akan membuatkan Barcelona kehilangan sekurang kurangya €274 juta atau RM1.34b. €137M dari segi nilai jenama. €17 juta dari pendapatan hari perlawanan. €43 juta bonus jualan jersi, €77juta dari segi keuntungan pernigaan.

Impak lain termasuk publisiti, persepsi daripada penaja dan bakal penaja yang mahu melabur di masa akan datang.

Brand Finance mengulas tentang peranan Messi ketika di Barcelona dalam memberikan publisiti serta tarikan tambahan kepada kelab itu. Di mana Barcelona dijangka akan merasai kehilangan besar wang daripada publisiti yang dijelmakan oleh Lionel Messi.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Sukan Brand Finance, Hugo Hensley berkata:

“Messi sangat sinonim dengan jenama Barcelona dan menjadi orang penting dalam kelab sejak 15 tahun kebelakangan ini. Kehadirannya dalam kelab, tanpa ragu telah membolehkan Barcelona menarik lebih ranai penyokong, lebih ramai pemain bintang yang mahu bermain dengannya,” kata Hugo sambil merujuk kepada pemain pemain seperti Sergio Aguero yang terang terang menjadikan Messi sebagai antara sebab utama mereka mahu ke Barcelona.

“Selain itu, Messi juga mampu menarik pengurus yang bagus datang dan juga membantu kelab mendapatkan kontrak mega serta trofi. Pemergian Messi akan memberikan kesan yang besar dan boleh memberikan impak yang ‘menyakitkan’ pada nilai jenama kelab yang akan merosot.”

Penasihat Perkhidmatan Sukan di Brand Finance, Ben Baigire menjelaskan apakah kesan pemergian Messi ini kepada Barca. Beliau menyatakan bahawa, Messi itu sendiri satu jenama yang sangat besar dan kuat.

“Tak perlu diperkenalkan lagi, Messi adalah bintang besar di peringkat global. Ada beberapa aspek penting di mana pemain Argentina ini membantu Barcelona menjana nilai mereka.”

“Pertamanya, nilai komersial; Messi merupakan atlet yang sangat kuat tarikannya kepada penaja koporat. Kehadirannya di kelab, tanpa keraguan, membantu Barcelona membawa pulang tajaan yang lebih lumaya.”

“Messi ada 240 juta pengikut di Instagram, lebih dua kali ganda daripada akaun rasmi Barcelona [99.5 juta]. Ianya satu data yang menunjukkan populariti dan nilai yang dia boleh bawakan kepada mana mana pasukan hanya dengan popularitinya sahaja.”

“Nilai jenama mereka kini berisiko kehilangan €77 juta berkaitan dengan nilai komersial selepas ini.”

“Keduanya, prestasi atas padang dan hari perlawanan: Ramai yang tidak boleh meramalkan prestasi Barcelona selepas pemergian Messi. Namun dia memberikan impak yang sangat besar kepada prestasi pasukan dalam beberapa musim ini menerusi prestasi individunya. Messi menjaringkan lebih 30 gol semusim sejak 2008/09 dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman.”

“Barcelona masih ada beberapa nama bintang dalam pasukan mereka, namun akan mengambil masa untuk mendapatkan prestasi teerbaik mereka tanpa bintang utama mereka. Ketiadaan Messi di atas padang boleh membuatkan kelab kehilangan €17 juta dari segi nilai jenama.”

“Ketiganya, penjualan jersi dan cenderamata: Ketika kamu berjalan di mana mana tempat di seluruh dunia, kamu akan dapat melihat orang memakai jersi ikonik no.10 Messi.”

“Penjualan jersi Messi dilaporkan bernilai €200 juta. Di mana kelab mendapat bahagian sekitar 10-15% [sekitar €30] juta hanya menerusi bonus penjualan jersi Messi. Pembuat jersi Nike menikmati keuntungan berlipat ganda daripada penjualan jersi Messi.”

“Pemergian Messi akan membuatkan Nike kehilangan sekitar €200 juta daripada penjualan jersi Barcelona dengan nama Messi. Barcelona juga akan mengalami susut nilai jenama €43 juta lagi.”