Kerana Mulut Bini, PSG Mungkin Tak Ingin Icardi

Wanda Nara adalah faktor kenapa Mauro Icardi sebelum ini tidak berada dalam perancangan Antonio Conte.

Ini selepas Wanda Nara dilaporkan memanipulasi kertas tawaran kontrak Inter Milan dan didedahkannya kepada Real Madrid untuk meminta gaji lebih besar daripada yang ditawarkan.

Dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa suaminya mendapat tawaran daripada Inter Milan.

Mauro Icardi kemudian dilucutkan jawatan dari kapten di bawah kendalian Spalletti. Dan beliau pula mogok tak nak bermain selepas hilang jawatan kapten.

Icardi digantung dari kompleks Inter Milan. Dan beliau memfailkan saman bernilai £1.4 juta ke atas Inter Milan kerana melarangnya datang ke pusat latihan.

Perubahan di tampuk pengurusan, menyaksikan Icardi menjadi nama pertama yang mahu disingkirkan oleh Conte.

PSG datang mendapatkan Icardi secara pinjaman dengan adanya klausa pembelian tetap.

Namun kontroversi sekali lagi timbul apabila Wanda Nara dengan terbuka menyatakan Icardi mahu bermain di Itali sekali lagi.

Icardi baru sahaja mendapatkan semula prestasinya di PSG dengan menjaringkan 17 gol daripada 26 penampilan dalam Ligue 1 dan UCL musim ini.

Beliau menjadi pilihan utama PSG untuk menggantikan Edinson Cavani yang bakal meninggalkan kelab.

Namun komen Wanda Nara membuatkan PSG merasakan mereka perlu melakukan sesuatu.

Wanda Nara menegaskan bahawa Icardi masih lagi sayangkan Inter Milan dan pada masa yang sama mahu bermain di Itali dengan kelab lain – jika Inter tak nak menerimanya kembali.

Berdasarkan keadaan ketika ini, jelas sekali Antonio Conte tidak berminat untuk menyerap Icardi di dalam pasukannya.

Antara kelab yang mulai menujukkan minat ke atas Icardi adalah Napoli. Malah Napoli dijangka akan mengemukakan bidaan rasmi untuk pemain itu pada jendela perpindahan akan datang.

Malah Atletico Madrid juga dikaitkan dengan Mauro Icardi, jika mereka gagal untuk mendapatkan Edinson Cavani.

PSG masih berminat dengan Icardi. Namun mereka mahukan jaminan daripada pemain itu bahawa beliau mahu terlibat dalam projek mereka untuk jangka masa panjang.

PSG tidak mahu, selepas mendapatkan Icardi, pemain itu pula tertarik dengan tawaran dari kelab di Itali.

Wanda Nara adalah ejen Icardi. Jadi segala kenyataan beliau dianggap sebagai kenyataan seorang ejen dan bukannya seorang isteri.

Icardi merupakan antara penggempur yang berbakat. Namun malagnya beliau kerap terlibat kontroversi di luar padang.

Masalah disiplin inilah yang membuatkan beberapa pasukan besar berfikir dua tiga kali mahu mendapatkan beliau.

Seterusnya, karenah Wanda Nara juga kerapkali meletakkan Icardi dalam situasi yang sukar. Misalnya ketika dengan Inter Milan sebelum ini.

Wanda Nara kerapkali membuat kenyataan yang mengundang kritikan dan rasa tak puas hati daripada majikan suaminya itu.

Icardi merupakan pemain kebangsaan Argentina. Dan beliau baru sahaja berusia 27 tahun.