Kerana Terlalu Padu, Dua Mekanik Ducati Disebat Pasukan Lain

Ducati kekal tenang walaupun dua mekanik utamanya dirampas oleh pengeluar lain yang mahu menguatkan pasukan mereka.

Ianya bukan perkara baharu dalam motoGP. Malah ada mekanik mereka yang mengikut pelumba. Jika pelumba berhijrah, mereka pun akan ikut sekali.

Jadi benda ini ibarat asam garam dalam MotoGP dan setiap pasukan sudah bersedia dengannya.

Pengurus Besar Pasukan Ducati, Gigi Dall’Igna berpendapat ia adalah harga yang perlu dibayar apabila menjadi yang terkuat di atas litar.

Ducati tahun ini menjadi pengeluar paling berjaya dalam MotoGP selepas 15 tahun menunggu. Ducati akhirnya mampu menghantar pelumbanya menjadi juara dunia dalam kelas MotoGP utama.

Selain membantu Francesco Bagnaia merangkul gelaran dunia, Ducati juga yang terbaik dalam kedudukan pengeluar dan pasukan.

Pencapaian ini akhirnya menjadikan Ducati sebagai rujukan masa kini untuk mana mana pasukan terutama dari segi membangunkan motosikal untuk pengeluar lain.

Mereka banyak menerima pujian daripada pelumba lawan mereka termasuk Fabio Quartararo dan Marc Marquez yang seringkali memuji motosikal Ducati sebagai luar biasa.

Di sebalik kejayaan Ducati tahun ini, sudah tentu ada harga yang harus dibayar, salah satunya adalah mekanik Ducati yang menjadi sasaran pengeluar lain.

Salah satu pengeluar yang melihat mekanik Ducati ialah kilang KTM, di mana mereka telah merampas dua mekanik Ducati yang penting.

Dua mekanik mereka telah dirembat oleh pengeluar KTM dari  Austria. Mereka ialah Alberto Giribuola dan Christian Pupulin.

Giribuola adalah watak penting di Ducati dan juga orang lama. Dia adalah orang yang membantu Andrea Dovizioso menjadi naib juara sebanyak 3 kali bersama Ducati.

Musim ini, Giribuola menjadi tonggak utama di sebalik prestasi luar biasa Enea Bastianini di atas trek, hasil sentuhannya mampu membuatkan Bastianini menang empat kali.

Sementara itu, Pupulin adalah orang penting untuk Jack Miller di Ducati. Pupulin adalah orang yang menjadikan Miller berjaya menamatkan musim 2022 di tempat kelima.

Kini Pupulin telah memutuskan untuk menyertai KTM berikutan Miller yang juga memutuskan untuk kembali ke pangkuan KTM.

Walaupun begitu, bos Ducati itu tidak bimbang tentang perkara ini dan berkata ini adalah sesuatu yang mereka perlu bayar.

“Kami terima harga ini,” kata Dall’Igna kepada GPOne.

“Sejak ketibaan saya, saya telah mengikuti garis perkongsian maklumat yang jelas dengan semua orang di Jabatan Perlumbaan.”

Dall’Igna berkata bahawa jika mekanik terbaiknya pergi ke pengeluar lain, dia akan melatih orang lain untuk mengisi tempat mereka dengan segera.

Ini kerana prinsip Ducati ialah bekerjasama dengan bakat muda dan cuba menjadi yang terbaik dalam MotoGP.

Ini harus dibuktikan oleh Ducati musim depan, di mana dalam pasukan kilang mereka akan menempatkan dua pelumba muda iaitu Bagnaia dan Bastianini untuk meneruskan penguasaan Ducati dalam MotoGP.

“Jurutera kami yang paling berbakat meninggalkan kami? Kemudian kami melatih orang lain.”

“Ini adalah falsafah projek kami, untuk memberi tumpuan kepada bakat muda dan menjadikan mereka juara dunia, tidak kira sama ada mereka pemandu atau jurutera.”