Kerosakan Manchester United Kerana Glazer

Manchester United adalah salah sebuah francais sukan paling ikonik di dunia. Tetapi mereka masih tidak memenangi Liga Perdana Inggeris dalam hampir sedekad, dan kumpulan pemilikan kelab telah mengambil lebih daripada $1 bilion dari akaun kelab sambil membebankan kelab dengan hutang yang tinggi.

Keluarga Glazer bukanlah orang baru dalam pemilikan sukan—mereka membeli Tampa Bay Buccaneers NFL pada tahun 1995.

Selepas menjana keuntungan di AS mereka melengkapkan pengambilalihan Manchester United pada tahun 2005.

Tetapi daripada menggunakan gabungan tunai & hutang yang sihat, keluarga Glazer sebaliknya membiayai pembelian berbilion dolar itu melalui pengambilalihan dengan hutang yang dianggap tidak sihat. Mereka meletakkan hutang itu atas nama Manchester United selepas pengambilalihan tersebut.

Itu menjerumuskan kelab ke dalam hutang $1.2 bilion. Daripada bebas hutang pada 2005, Manchester United menanggung hutang $1.2 bilion pada 2006.

Masalahnya adalah, Glazers tidak menggunakan hutang sebagai modal pertumbuhan — untuk membiayai stadium baharu atau menyokong akademi belia mereka secara kewangan. Ini memberikan impak kepada pembangunan kelab secara keseluruhannya sebagai sebuah pasukan bola sepak.

Ini termasuk aspek lain dalam bola sepak moden seperti bahagian scouting, analisis dan pelbagai aspek lagi yang tidak dibangunkan seperti mana pasukan seteru mereka yang lain seperti Manchester City dan Liverpool.

Kesannya Manchester United tidak memenangi Liga Perdana hampir sedekad, dan stadium bersejarah mereka sedang rosak.

Keadaan menjadi lebih teruk, walaupun Manchester United bergelut di atas padang, keluarga Glazer masih lagi menang di tepi padang kerana mereka berterusan mengambil wang daripada kelab.

Keluarga Glazer telah menjual hampir $700 juta saham sejak IPO kelab itu pada 2012.

Manchester United membayar dividen, dan memandangkan Glazers masih memiliki kira-kira 70% daripada kelab, mereka juga membawa pulang kira-kira $20 juta dalam pembayaran dividen tahunan.

MUFC adalah satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris yang membayar dividen pemegang saham. Bukan itu sahaja, apabila Glazer menambahkan pembayaran faedah, pembayaran balik hutang, yuran lembaga pengarah dan yuran pengurusan yang kesemuanya ditanggung oleh akaun kelab, dianggarkan Glazers telah telah memgambil kira-kira $1.3 bilion dari kelab itu. Ianya disifatkan satu ‘pencurian’ oleh peminat.

Walaupun membelanjakan satu bilion dolar untuk pembayaran faedah sepanjang  lebih 15 tahun yang lalu, jumlah hutang MUFC hampir sama dengan jumlah hutang MUFC pada tahun 2006.

Hutang MUFC
2005: £0
2006: £604 juta
———
2022: £596 juta

Jadi, secara tak langsung, mereka dahulu menyusun strategi agar Manchester United itu sendiri membelikan mereka Manchester United. Penjelasannya, Glazer tidak mengeluarkan modal untuk membeli kelab itu. Mereka berhutang dan kemudian meletakannya atas nama kelab. Hutang yang sama masih kekal sehingga ke hari ini.

Dan saham mereka turun daripada harga IPO 2012.

Jadi sementara Manchester City, Chelsea, dan Aston Villa telah melihat pemilik mereka secara kolektif melabur lebih daripada $2 bilion wang peribadi ke dalam kelab mereka, Manchester United pula telah melihat sebaliknya, dengan Glazers mengambil kira-kira $1.3 bilion daripada kelab itu.

Dan pastinya, Man United telah membelanjakan lebih daripada $1.5 bilion untuk pemain sepanjang dekad yang lalu, tetapi mereka tidak memenangi liga atau UCL, infrastruktur kelab semakin rosak.

Nisbah kejayaan dan pelaburan kelab mereka adalah rendah. Ini kerana ketidakcekapan sistem mereka dalam pembelian pemain. Dengan penilaian harga yang tidak munasabah serta gaji yang tak masuk akal.

Sebab itulah pentingnya melabur dalam bidang pembangunan bola sepak termasuk aspek pentadbiran yang lebih kompleks.

Jadi beribu-ribu peminat memprotes, dan khabar angin mula tersebar bahawa Glazers mungkin menjual kelab itu. Adakah mereka benar benar mahu menjualnya?

Manchester United bernilai $5 bilion pada hari ini, yang merupakan harga tertinggi yang pernah dibayar untuk pasukan sukan.

Tetapi memandangkan keluarga Glazer sudah membuat ratusan juta dolar sementara masih mengekalkan pegangan pemilikan ~70%, nampak gayanya, Glazer kelihatan tak mungkin akan menjual kelab itu.

Apa yang pasti, Manchester United akan sentiasa menjadi jenama ikonik, dan Glazers tahu itu — tetapi peminat mereka berhak mendapat yang lebih baik.

Paling menarik, ketika Roman Abramovich menjual Chelsea, dia telah meletakkan klausa anti Glazer. Untuk mencegah pemilik baharu meletakkan beban hutang pada kelab sebelum mereka melabur wang mereka sendiri.

Selain itu, Chelsea juga meminta agar pemilik baharu mereka melabur dalam aspek akademi, pembangunan bola sepak, scouting dan sebagainya. Sangat ironi!

Sumber: Joel Pampliano

Baca yang lain