Ketika Sedang Meng-City-kan DNA Chelsea, Maresca Pun Masuk

Enzo Maresca sudah pun memulakan projeknya di Chelsea. Banyak keraguan sama ada Maresca adalah orang yang tepat mengendalikan skuad The Blues itu?

Ini 4 perkara yang diperhatikan dalam perlantikan Maresca di Chelsea.

1. Pembangunan bola sepak moden

Ketika Chelsea melantik Tuchel, mereka sudah menekankan aspek permainan  bola sepak moden. Namun Tuchel berdepan banyak kekangan untuk meletakkan taktikal moden yang stabil.

Itulah sebabnya mereka melantik pengurus seperti Tuchel, Graham Potter dan Pochettino. Di mana ketiga tiga mereka dianggap memiliki kemampuan mengendalikan bola sepak dengan gaya moden.

Namun sehingga ke hari ini, Chelsea masih bergelut untuk membina DNA itu. Dan mereka beralih kepada protege Guardiola iaitu Enzo Maresca.

Chelsea banyak menandatangani pemain baharu yang mereka percayai boleh menjadi asas penting kepada permainan moden. Perlantikan Sam Jewell sebagai ketua rekrut pemain secara global juga banyak memantau bakat di kalangan pemain yang boleh bermain high pressing.

Seterusnya mereka juga melantik Bernardo Cueva sebagai jurulatih setpis. Mirip kepada apa yang dilakukan Arteta di Arsenal sebelum ini. Ianya perkara perkara yang penting dalam bola sepak moden.

2. Pembangunan bakat muda

Enzo Maresca dianggap sesuai untuk membangunkan bakat muda. Pochettino bukanlah gagal total di Chelsea walaupun tak ada piala atau layak ke UEL sekalipun.

Pochettino menunjukkan bahawa Chelsea yang ada membangun dengan sangat baik selepas Disember 2023, dengan pemain pemain muda mulai mencipta keserasian dan kematangan.

Ramai bakat muda yang berbakat besar termasuk Cole Palmer, Enzo Fernandez, Moises Caicedo, Christopher Nkunku, Reece James, Levi Colwill, Malo Gusto, Romeo Lavia, Nicolas Jackson, Benoit Badiashile, Carney Chukwuemeka, Djorde Petrovic dan Wesley Fofana,

Ini ditambah dengan bakat remaja seperti Andrey Santos, Kendry Paez and Estevao Willian yang boleh menyertai pasukan ini di masa akan datang.

Mudry dan Madueke juga antara dua pemain yang benar benar menunjukkan peningkatan dalam EPL. Dan projek ini harus diteruskan bukannya di-reset untuk projek baharu.

Chelsea masih dikaitkan dengan beberapa pemain lain termasuk  Benjamin Sesko, Michael Olise/Eberechi Eze, dan Tosin Adarabioyo untuk meningkatkan lagi kekuatan mereka.

3. Pengurusan pasukan

Enzo Maresca merupakan pengurus yang sangat tegas dalam isu disiplin dan latihan. Dia juga sangat tegas dalam mempertahankan prinsip bola sepaknya. Jika pengurus seperti Pochettino dan Tuchel lebih terbuka untuk memaafkan pemain yang tidak mengikut arahan taktikal, Maresca mirip Guardiola.

Dia sangat sensitif tentang isu taktikal. Latar belakangnya yang bermain di bawah kendalian Ancelotti, Marcelo Lippi dan Zico antara yang membantuk keperibadiannya yang pelbagai.

Dia menjadi protege Guardiola yang perfectionist. Lippi yang lebih menekankan aspek kestabilan dan Ancelotti pula lebih menekankan aspek keharmornian pasukan untuk membentuk unit yang sangat kuat.

Ramai jurulatih cuba menjadi pembantu utama Guardiola namun Maresca hanya golongan elit yang terpilih. Dia antara orang yang mengawasi latihan taktikal Guardiola di City bersama Arteta.

Dia kemudian menyertai Leicester kerana keberanian untuk keluar dari zon selesa. Sama seperti Arteta. Mereka menerima tugas besar pada usia muda – bagi seorang pengurus – dan berjaya memberikan impak.

Maresca membawa Leicester naik ke EPL dengan catatan 97 mata sebagai juara Liga Kejuaraan. Filosofi yang dia pegang adalah permainan dominan dan juga berintensiti tinggi.

4. Struktur Chelsea

Chelsea ketika ini sudah melantik beberapa bekas pegawai Man City. Selain daripada ketua rekrut yang dinyatakan di atas, mereka juga melantik Joe Shield dan Stewart Thompson yang menjadi ketua pemantau bakat akademi di City sebelum ini.

Dengan pengaruh 3 orang bekas staf City ini, Maresca juga bekerjasama dengan pemain seperti Cole Palmer dan Romeo Lavia yang pernah menjadi anak muridnya di akademi.

Selain itu Chelsea turut melantik dua orang lagi dari Brighton dalam staf kejurulatihan mereka iaitu  Paul Winstanley dan Sam Jewell. Dua watak penting yang membantu Roberto De Zerbi membentuk bola sepak hampir sama seperti Guardiola ketika di Brighton. Dua orang ini penting untuk menjadi perhubungan kepada pengurus asing dengan pemain Inggeris terutamanya.

Cabaran

Di atas kertas segalanya nampak cantik. Di mana perlantikan pengurus ini adalah atas satu analisis yang jelas bahawa Chelsea mahu membentuk pasukan mirip kepada Manchester City dari segi falsafah bola sepak.

Siapa yang paling sesuai membawa Chelsea selepas set up yang mereka buat sepanjang beberapa tahun ini? Pastinya seseorang dari kalangan ‘clan’ Guardiola. Dan Maresca adalah pilihan terbaik ketika ini, memandangkan Arteta sudah di Arsenal dan Ten Hag sudah di United.

Segala alatannya sudah ada, pemain pemain muda yang berbakat, staf yang sesuai, sokongan unit scouting yang sesuai, dan kini, Enzo Maresca harus beradaptasi segera dengan sistem ini.

Maresca harus ingat bahawa Chelsea bukannya pasukan yang sabar dengan pengurus mereka. Kerana sejak era Abramovich lagi, peminat Chelsea sudah disemai dengan mentaliti, dalam apa jua keadaan, kelab ini harus memenangi sesuatu setiap musim.

Itu cabaran besar yang dia harus sahut.

Seterusnya, dia juga akan mengendalikan bukan sekadar pemain muda, namun pemain muda yang ‘mahal’. Ia berbeza dengan ketika dia mengendalikan pemain muda di Leicester sebelum ini.