Khairul Azman: Kisah Di Sebalik Kelegendaan, Rasuah, Kebangkitan Dan Legasi

Saya berasa bertuah kerana yang empunya badan sanggup meluangkan sedikit masa dengan menggunakan platform media sosial untuk membantu dalam menghasilkan artikel ini.

Jadi sama sama kita ikuti perjalanan salah seorang penjaga gol paling lengkap pernah dilahirkan di negara kita.

Khairul Azman Mohamed

Ada sesetengah pemain bola sepak memang dilahirkan dengan fizikal terbaik untuk bermain sesuatu peranan. Khairul Azman merupakan salah seorang daripadanya.

Beliau salah seorang penjaga gol yang dikurniakan dengan susuk fizikal semula jadi dengan ketinggian beliau, sasa dan memiliki tangan yang kuat dan panjang.

Memang tidak dinafikan ada penjaga gol berbadan kecil juga boleh berjaya dalam posisi ini. Iker Casillas, David De Gea, di negara kita, daulu ada Azmin Azram dan kini Izham Tarmizi antara contoh.

Khairul Azman Mohamed boleh dikatakan ada pakej yang lengkap dari segi fizikal. Beliau memiliki saiz sepasang tangan dan depaan yang agak jarang dimiliki oleh penjaga gol tempatan kita termasuk di Asia.

Khairul Azman turut dikurniakan dengan ketangkasan dan refleks yang sangat kuat. Beliau kerap melakukan aksi meyelamat point blank save.

Sangat kompeten di udara dan ada pakej tambahan dengan suara yang vokal di dalam padang sebagai pemimpin.

Ketika usianya masih muda, beliau menjadikan penjaga gol lagenda, Peter Schmeichel adalah role model dalam karier beliau sebagai penjaga gol.

Khairul Azman Dan Piala Malaysia

Jika ada Anugerah Oscar, kategori hero terbaik sepanjang zaman dalam sejarah Piala Malaysia, Khairul Azman mungkin salah seorah calon utama kategori ini.

Sepanjang karier beliau di peringkat domestik, beliau muncul sebanyak 5 kali dalam di final Piala Malaysia. 2 kali dengan pasukan Pahang dan 3 kali dengan pasukan Sabah.

Daripada 5 final tersebut, Khairul Azman hanya berjaya menjulang kejuaraan itu sekali iaitu dengan Pahang pada 1992.

Namun begitu, Khairul Azman tetap dikecewakan sebanyak 4 kali dalam final Piala Malaysia untuk menjadi Naib Juara, sekali dengan Pahang pada 1994 dan 3 kali Naib Juara bersama Sabah pada 1996, 2002, dan 2003.

Karier Awal

Pada awalnya, Khairul Azman menceritakan ibu dan bapa beliau tidak begitu merestui minat beliau yang serius ke atas bolasepak kerana ia dikhuatiri tidak akan menjamin masa depan beliau.

Namun, segalanya berubah setelah Khairul Azman dipilih mewakili pasukan remaja Pahang. Inilah antara titik tolak terpenting beliau mendapat restu daripada orang tua beliau untuk menjadikan bola sepak sebagai potensi karier beliau.

Khairul Azman cemerlang ketika bersama-sama dengan skuad remaja Pahang dan mencapai tahap yang tertinggi dalam karier beliau apabila terpilih beraksi dengan Pahang untuk kejohanan sekolah sekolah sukan Asia Tenggara.

Menyertai Skuad Tok Gajah

Beliau diserap masuk ke dalam pasukan Senior Pahang pada 1985 ketika baru berusia 17 tahun. Pada tahun 1992 beliau membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia. Ia kejayaan terbesar pertama beliau.

Selang setahun selepas itu Pahang mara ke final sekali lagi pada 1994 namun gagal menjuarainya.

Menjadi legenda di Sabah.

Khairul Azman berhijrah ke Sabah selepas final Fandi Ahmad 1994.

Ramai yang membuat spekulasi liar dan tidak berasas ketika beliau membuat keputusan berhijrah ke Sabah dengan mengaitkan ia ada kaitan dengan isu rasuah yang melanda bola sepak negara kita pada ketika itu.

Penjelasan Tentang Skandal Rasuah

Saya amat berbesar hati menerima mesej peribadi daripada lagenda Khairul Azman yang menjelaskan isu ini secara eksklusif. Beliau tahu ramai pihak terlalu spekulatif tentang isu ini.

Sebelum beliau meninggalkan pasukan Pahang bersama seorang lagi bintang tengah yg mungkin antara yg terbaik pernah ada di era 90-an Mubin Mokhtar telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Menurut Khairul Azman:

“Pada 1994 majoriti pemain yg disyaki telah ditahan utk membantu kes siasatan pasal rasuah.”

“Saya dan Mubin turut dipanggil utk membantu siasatan. Kemudiannya, saaya dgn Mubin didapati tidak bersalah dan dibebaskan.”

“Tidak ada pertuduhan yang dikenakan ke atas kami.”

“Atas nasihat arwah ayah, saya pun berpindah ke Sabah untuk meneruskan karier bola sepak saya, ia antara pilihan terbaik ketika itu.”

“Manakala Mubin pula membuat keputusan untuk berhijrah ke Selangor.”

“Dalam bab ini ramai sangat peminat bola sepak yang salah faham, sehingga ada yang membuat cerita yang bukan-bukan ke atas saya.”

Era Emas The Rhinos (Piala FA & Liga Perdana *Kini Liga Super)

Khairul Azman menyertai Sabah pada 1995. Beliau diraikan oleh peminat Sabah sebagai pemain berprofil tinggi.

Ketika di sana beliau sekali lagi menjadi magnet perlawanan akhir apabila membantu Sabah menjuarai Piala FA pertama dan terakhir untuk Sabah setakat ini.

Pada 1996, beliau membantu Sabah menjuarai Liga Perdana kali ini tanpa pemain berpengaruh Matlan Marjan. Ia adalah era kegemilangan Sabah dalam Liga Malaysia. Mereka mulai digeruni di negara ini.

Boleh dikatakan kira-kira 50% daripada sejarah perlawanan final pasukan Sabah dalam cup competition setakat ini, nama Khairul Azman ada di sana.

Pada 1996, Khairul Azman dan rakan-rakannya mara ke perlawanan akhir untuk menentang pasukan Selangor. Ia adalah pertembungan 2 pasukan yang menemukan kelompok antara pemain terbaik pada era tersebut.

Antaranya Khairul Azman, Suharmin Yussof, Scott Ollerenshaw, Harun Laban, Jelius Ating, Mehmet Durokovic, Azman Adnan, Shahril Arsat, Mubin Mokhtar dan ramai lagi.

Perlawanan di Stadium Shah Alam berkesudahan dengan 0-0 dan Selangor menang penentuan sepakan penalti.

Namun anugerah penjaga gol terbaik perlawanan akhir dirangkul oleh Khairul Azman selepas aksi luar biasa sepanjang perlawanan.

Ke Final Lagi

Pada 2002, Khairul Azman berpeluang membalas dendam ke atas Selangor pada Final Piala Malaysia. Namun sekali lagi pasukan beliau tewas dengan peraturan golden goal hasil jaringan Amri Yahyah.

Magnet final ini mara lagi ke final bersama-sama pasukan beliau Sabah pada 2003. Ia adalah perlawanan yang mempertemukan Sabah dengan pasukan pakej kejutan MPPJ.

Ramai yang meramalkan pasukan Sabah akan mengakhiri badi final Piala Malaysia mereka pada kali ini. Namun mereka dikejutkan oleh Bruno Martelotto dan rakan-rakan dengan kekalahan 3-0.

Karier Antarabangsa

Nama Khairul Azman sentiasa menjadi bualan peminat setiap kali tugasan kebangsaan. Kerana konsistensinya di arena domestik.

Pada tahun 1991, beliau sudah pun telah dipilih untuk mewakili Malaysia. Beliau turut turun menentang England dan Malaysia tewas 2-4 menentang gergasi dunia.

Perlawanan yangg menyaksikan lagenda Matlan Marjan menyumbat 2 gol ke gawan Three Lions.

Pada 1993, beliau merangkul gelaran antarabangsa beliau iaitu Pesta Bola Merdeka dengan menewaskan Korea Selatan di final.

Beliau membantu skuad kebangsaan menjadi naib juara Piala Tiger (Kini AFF Suzuki) 1996. Pada 1997, Khairul turut menjadi penjaga gol utama dalam temasya Sukan SEA yang mahu dilupakan ramai pihak.

Menggantung Sarung Tangan

Pada 2005 Khairul Azman mengumumkan persaraan selepas gagal pulih daripada kecederaan tendon dan ligamen beliau amat serius dan berterusan kerana tidak dibedah pada peringkat awal.

Siapa sangka beliau sebenarnya banyak menahan sakit itu selama bertahun-tahun di dalam padang. Beliau mendedahkan kecederaan ini tetap akan berulang jika tidak dibedah dengan kos yang agak besar.

Beliau nekad untuk melakukan pembedahan tersebut untuk kembali ke padang sebagai jurulatih.

Kejurulatihan

Beliau menyertai pasukan kejurulatihan Sabah sebaik sahaja persaraan. Beliau berkhidmat di sana sehingga 2009.

Pada 2013, beliau mendapat tawaran istimewa daripada bekas rakan dan lawan istimewa beliau Fandi Ahmad untuk turut serta dalam projek TMJ di Larkin. Fandi dilantik menjadi ketua jurulatih JDT ketika itu.

Beliau teruja dan berkata:

“Saya ke Johor kerana ingin mencari pengalaman yang baru dengan coachFandi Ahmad pada 2013.”

Beliau berjasa di JDT dan berehat seketika kira kira setahun sebelum disahkan menjadi jurulatih penjaga gol pasukan Kedah bermula Disember 2020.

Ketika ditanya sama ada beliau ada perancangan untuk menjadi ketua jurulatih, lagenda berimej rockers ini menjawab

“Buat masa ini tidak ada cita-cita lagi nak jadi chief coach. Saya mahu tumpukan lebih perhatian kepada isu untuk mendidik atau mengajar penjaga gol sekarang denga pengalaman yang saya ada.”

Sepanjang karier beliau, Khairul Azman hanya ada 2 pasukan sahaja iaitu Pahang dan Sabah. Beliau mungkin akan menjadi 1 man club jika tidak kerana isu spekulasi skandal rasuah 1994.

Atas nasihat arwah ayah beliau, Khairul Azman berhijrah ke Sabah dan mencipta episod gemilang untuk bola sepak Sabah yang masih kekal sebagai kapten terbaik untuk generasi terbaik dalam sejarah The Rhinos.

Beliau juga pernah diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik Asia dalam karier beliau.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Khairul Azman Mohamed.

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari