Khalid Jamlus Akhirnya Temui Pembeli Kasut Emas Dengan Nilai RM99,999 Selepas Ditipu Sebelum Ini

Khalid Jamlus sebelum ini sudah menyatakan hasratnya untuk melepaskan kasut emas miliknya kerana beliau memerlukan wang pada ketika ini.

Sebelum ini dikatakan ada pembeli menawarkan RM10,000 dan kemudian sekitar RM50,000. Dan terbaru Khalid Jamlus mengesahkan kasut emas yang menjadi antara simbol kebanggaan beliau telah dijual dengan nilai RM99,999.00.

Khalid menegaskan bahawa beliau sudah menemui kesepakatan dengan seorang individu untuk lelongan kasut emas yang dimenganinya pada 2002.

Di mana musim tersebut Khalid Jamlus muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Satu pada 2002. Khalid Jamlus meledak 17 gol dalam musim paling prolifik beliau dalam arena Liga Malaysia.

Rundingan dengan individu terbabit dibuat menerusi media sosial, tambah beliau lagi.

Bercakap kepada wartawan, Khalid Jamlus menyatakan: “Hari ini adalah penamatnya… dah ada orang membeli trofi Kasut Emas itu dengan harga RM99,999 dan beliau bersetuju dengan harga yang saya tetapkan.”

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan identiti mengenai pembeli berkenaan. Lagi pun beliau masih berada di luar negara dan hanya mahu dikenali sebagai Tuah Nice.”

“Saya difahamkan dia juga belum boleh balik ke negara ini tetapi memaklumkan akan mengambil trofi Kasut Emas ini sejurus pulang ke Malaysia nanti,” tegas beliau pada sidang media di Country Heights, Kajang semalam.”

Khalid Jamlus menegaskan beliau percaya dengan individu bernama Tuah Nice. Walaupun sebelum ini pernah ditipu oleh individu lain dalam urusan tersebut.

Atas alasan itulah Khalid Jamlus membuka semula bidaan untuk kasut emas tersebut.

 

Di mana Tuah Nice telah memberikan Khalid Jamlus jaminan, bahawa beliau akan mengambil kasut emas itu apabila balik ke Malaysia kelak.

“Walaupun saya tidak pernah berjumpa dengan Tuah Nice tetapi saya percaya kepada dia. Tuah Nice memberikan jaminan terhadap bidaan itu dan akan mengambil Kasut Emas saya itu bila pulang ke negara ini nanti,” jelasnya.

Khalid Jamlus merupakan penyerang sensasi negara pada satu ketika dahulu. Karier beliau sangat signifikan dengan Perak walaupun pernah bermain dengan pasukan seperti Selangor dan Kelantan.