Khalid Jamlus: Penyerang Lagenda Yang Hadiahkan 2 Kejuaraan Liga Kepada Perak

Ketika Khalid Jamlus diserap ke dalam pasukan projek Olimpik 2000 pada tahun 1998, Perak mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Jaringan V.Saravanan meletakkan Perak terikat 1-1 ketika bertemu Terengganu dan kemudian menang melalui sepakan penaltik 5-3.

Sementara itu skuad projek Olimpik 2000 gagal melepasi pusingan kelayakan awal apabila hanya mencatat 3 kemenangan dari 8 perlawanan peringkat kumpulan yang dikuasai Jepun.

Khalid Jamlus pemain Presiden Perak yang diserap masuk kedalam skuad Projek Olimpik 2000

 

Khalid kembali ke Perak dan pasukan ini bakal meraih pencapaian tertinggi dalam kancah saingan domestik dalam era profesional bola sepak negara.

Musim pertama Khalid di Perak, pasukan yang diketuai oleh kapten lagenda Ahmad Shahrul Azhar tidak memenangi apa-apa. Namun skuad ini berubah pada tahun-tahun berikutnya.

Tahun 1998 hingga 2005 merupakan tempoh masa terbaik pasukan ini dalam sejarah bola sepak mereka.

Perak memenangi 5 kejuaraan utama. 2 kejuaraan liga, 2 Piala FA dan 1 Piala Malaysia dalam tempoh 7 musim.

Musim 2000, Perak sekali lagi muncul di pentas akhir Piala Malaysia. Kali ini V.Saravanan sekali lagi menjadi penjaring gol di perlawanan akhir.

Kali ini jaringan Khalid melengkapkan kemenangan 2-0 Perak keatas N.Sembilan. 2 penyerang ini akhirnya memacu kejayaan seterusnya buat Perak.

Juara Liga Perdana 1 2002 dan 2003

Sejak liga mula memasuki era profesional pada 1994, prestasi Perak hanya berkisar di kedudukan 7 hingga 10 selam 6 musim.

Musim 2000 merupakan pencapaian terbaik apabila meraih tempat ke-3 bibelakang Pulau Pinang dan Selangor.

  • 1994: ke-10
  • 1995: ke-7
  • 1996: ke-8
  • 1997: ke-8
  • 1998: ke-7
  • 1999: ke-9
  • 2000: ke-3
  • 2001: ke-7

Tony Netto dilantik menjadi jurulatih Perak pada awal musim 2002, dan beliau terus membawa pasukan ini menjuarai Liga Perdana 1 (Kini dikenali sebagai Liga Super)

Lebih menakjubkan jurulatih dari Brazil ini mengulanginya sekali lagi pada musim berikutnya.

Khalid Jamlus penjaring utama 2002 (25 gol)

Tahun 2002, bekas pemain Olimpik ini berada di musim ke-3 dalam skuad utama Perak, ketika itu dia berusia 25 tahun.

Khalid menjaringkan 25 gol dalam semua pertandingan. 17 gol liga, 6 di Piala FA dan 2 di Piala Malaysia.

Khalid meraih anugerah kasut emas pada tahun dimana Perak menewaskan persaingan dari Selangor untuk meraih kejuaraan liga pertamanya.

Statistik penjaring gol Perak pada tahun 2002 dan 2003

Pada tahun itu juga Perak mara ke perlawanan akhir Piala FA namun tewas kepada Pulau Pinang dengan keputusan tipis 0-1.

Kempen Piala Malaysia pula, Perak juga tidak kurang hebatnya apabila mara ke separuh akhir sebelum ditumbangkan oleh Sabah dengan agregat 3-4.

Dalam perjalanan pasukan ini menjuarai liga, 5 kemenangan Perak dihadiah terus oleh Khalid melalui semua jaringannya.

  • LP1-2: Terengganu (1-0)
  • LP1-6: Sarawak (1-0)
  • LP1-9: Kelantan (1-0)
  • LP1-12: Pahang (2-0), 2 gol Khalid
  • LP1-18: Melaka (3-0), hatrik Khalid

Ahmad Shahrul Azhar melakukan 3 kali dan V.Saravanan 2 kali. Bermakna 10 kemenangan dari 19 dicatat oleh Perak adalah datang secara terus oleh 3 pemain ini.

Khalid akan diingati ketika Perak melakar sejarah menjulang kejuaraan liga, dia adalah penyerang utama pasukan, dia adalah penjaring utama pasukan dan dia adalah penjaring terbanyak liga.

Dia mungkin menjadi lagenda sebaris dengan dengan Ahmad Shahrul.

Mungkin untuk mengulangi kejuaraan liga, Perak perlu menunggu lebih lama, sehingga kini rekod ini sudah berusia 17 tahun.

Indra Putra Mahayuddin hanya menyumbang 5 gol di liga tetapi mempunyai 12 gol di pertandingan piala.

V.Saravanan mengumpul 10 gol secara dalam semua pertandingan.

9 gol Khalid Jamlus pada 2003

Mungkin ia merupakan jumlah jaringan yang sangat sedikit. Khalid hanya menjaringkan 8 gol liga dan bakinya di perlawanan Piala FA.

Pemain ini tidak menjaringkan sebarang gol dalam kempen Piala Malaysia.

Namun 8 gol itu masih mampu menjadikan Khalid sebagai penjaring terbanyak pasukan bersama-sama V.Saravanan.

V.Saravanan menjadi penjaring terbanyak secara keseluruhan dengan 12 gol. 8 di liga dan 4 di Piala Malaysia.

Catatan peribadi tidak begitu bermakna jika pasukan tidak mencapai apa-apa kejuaraan, 8 gol masing-masing dari Khalid dan Saravanan kekal meletakan Perak sebagai juara liga.

Perak menjadi pasukan yang pertama yang meraih kejuaraan 2 kali berturut-turut. Selepas itu ia disusuli Kedah (2007-2008), Selangor (2009-2010), dan Kelantan (2011-2012).

JDT akhirnya memadam kejayaan ini dengan meraih 6 kejuaraan liga berturut-turut (2014-2019).

Juara Piala FA 2004: Khalid menyamai pencapaian V.Saravanan

Pada tahun 2004, Perak gagal mempertahanan kejuaraan liga. Kebangkitan Pahang selepas Liga Perdana 1 ditukar menjadi Liga Super sukar dikekang.

Pahang menjadi juara dengan kelebihan 9 mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor Public Bank. Sementara itu Perak berada di tangga ke-4 dibelakang Perlis.

Namun skuad kendalian Netto ini masih mempunyai kejayaan untuk diperkatakan apabila menjadi juara Piala FA. Ia menjadi trofi ke-3 Netto selepas 3 musim disana.

Pada 2 perlawanan akhir Piala Malaysia (1998 dan 2000), V.Saravanan tampil sebagai penjaring gol. Perlawanan akhir Piala FA kali ini melihat Khalid menjaringkan 2 gol menewaskan Terengganu 3-0.

Perak dan  Terengganu terikat 0-0 selepas 90 minit permainan. Luciano Goux menjaringkan gol pertama Perak pada minit 103 dan seterusnya Khalid memusnahkan harapan Terengganu dengan jaringan bergandanya pada minit ke-107 dan 110.

Jaringan itu mengulangi pencapaiannya ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2000 dan menjadi sebaris dengan V.Saravanan (2 kali final, 2 kali jaring gol)

Khalid ke Selangor (2005), menewaskan Perak di perlawanan akhir Piala FA.

Pada musim berikutnya, Khalid dan V.Saravanan meninggalkan pasukan dengan menyertai Selangor dan UPB/Myteam.

Menariknya pada musim itu, Perak sekali lagi mara ke perlawanan akhir Piala Fa, namun kali ini sudah pasti tanpa Khalid.

Perak bertemu Selangor dan Khalid bermain untuk Selangor.

Selangor menang 3-0, gol pembukaan Selangor dijaringkan oleh Khalid sebelum Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes menamatkan cabaran Perak.

Khalid dikeluarkan pada minit ke-72 dan adakah pemain ini menjadi pemusnah Perak? Dalam koleksi peribadi, Khalid sudah mengumpul 6 kejuaraan, 4 di Perak dan 2 bersama Selangor.

Khalid Jamlus (2 dari kiri, berdiri) bersama Selangor menewaskan Perak pada perlawanan ahir Piala FA 2005

Khalid kembali ke Perak selepas semusim bersama Selangor dan membantu Perak meraih tempat ke-3 (2006) dan naib juara (2007) liga.

Rumusan

Secara ringkas 1998 hingga 2005 merupakan tempoh terbaik dalam sejarah bola sepak Perak.

2002 dan 2003 merupakan klimaks kepada kemuncak generasi yang dipimpin oleh lagenda bola sepak negeri ini, Ahmad Shahrul Azhar.

Dalam kisah kejuaraan liga itu Khalid Jamlus merupakan penyerang utama pasukan. Kejuaraan pertama melihat Khalid merekod 17 jaringan, penjaring terbanyak Liga Perdana 1.

Kejuaraan ke-2 juga menyaksikan Khalid menjadi penjaring utama pasukan bersama-sama V.Saravanan.

2 dari 3 kejuaraan Piala pula, Khalid dan V.Saravanan menjadi penjaring gol pada perlawanan akhir.

Selepas berhijrah ke Selangor Khalid membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana dan lebih menakjubkan dia menjaringkan gol di pentas final kali ke-3, menewaskan Perak.

Pemain ini digambarkan seorang pemain yang agak malas di atas padang, namun apa yang dilakukanya sukar dicapai oleh ramai pemain.

Menjadi penyerang utama sesebuah pasukan dalam fasa terbaiknya.

Mengikut statistic dan pencapaiannya, adakah pemain ini boleh diletakan sebaris dengan Ahmad Shahrul sebagai pemain lagenda Perak.

Ya.

 

 

Baca yang lain