Kisah Bagaimana Bola Sepak China Yang Dibunuh Politik

Selepas berlaku skandal rasuah dalam CSL yang sebelum ini disebut Liga Jia-A  dari 1994-2003, Jawatankuasa Pembangunan Dan Reformasi China telah melancarkan pelan jangka panjang untuk pemerkasaan bola sepak China bermula pada 2016.

Dan ianya adalah perancangan yang mahu memastikan matlamat utama dicapai pada 2050, untuk menjadikan China kuasa besar / superpower dalam bola sepak dunia.

Pada 2011, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan hala tuju dan matlamat bola sepak China yang berpaksikan 3 matlamat utama:

1. Bermain di Piala Dunia

2. Menganjurkan Piala Dunia

3. Menjadi Juara Piala Dunia.

Hasrat itu termaktub dalam projek jangka panjang yang digelar: Perancangan Jangka Panjang 2016-50.

Ianya sebahagian daripada kempen berbaur politik daripada kerajaan China yang mahu menjadikan negara itu sebagai kuasa dalam semua bidang.

China sudah menjadi kuasa ekonomi. Di arena sukan mereka adalah kuasa dalam sukan Olimpik. Dan kini mereka mahu menguasai sukan no.1 di dunia iaitu bola sepak.

China bermula dengan agresif. Pada tahun 2020, China sudah membina 20,000 sekolah atau akademi bola sepak dengan 70,000 padang bola sepak berkualiti tinggi turut dibina.

Ini bagi mencapai matlamat kerajaan yang mahukan ada 30 sehingga 50 juta pelajar terlibat dalam bola sepak menjelang tahun 2030. Pada tahun tersebut dijangka sebanyak 50,000 akademi dan sekolah bola sepak sudah wujud di negara tersebut.

Mahu menjadi gergasi bola sepak dunia

Xi Jinping turut meletakkan sasaran pada 2030, China akan berada di kedudukan antara yang tertinggi di Asia dan di dunia untuk bola sepak lelaki.

Oleh itu, pada 2050, China berhasrat untuk menjadi kuasa bola sepak sebenar, berada dalam 20 pasukan terbaik dunia dalam ranking FIFA. Sambil menjadi penganjur Piala Dunia dan menjadi juara Dunia.

Selepas pengumuman kerajaan tersebut, kelab kelab di China mulai terlibat aktif dalam bola sepak. Syarikat syarikat besar mulai melabur dalam membeli kelab.

Menurut agensi berita China Xinhua, perbelanjaan menjelang musim 2016 adalah lebih tinggi daripada mana-mana liga bola sepak lain di dunia pada tahun itu.

Pada jendela perpindahan 2016/17, Liga Super China berbelanja lebih besar daripada EPL. Di mana mereka membelanjakan sekitar EUR388 juta berbanding EUR278 juta oleh EPL. Serie A masa itu hanya berbelanja EUR98 juta. Seterusnya, Bundesliga dan La Liga masing masing dengan perbelanjaan EUR55 juta dan EUR42 juta.

Rekod perpindahan terbesar dilakukan pada masa itu adalah ketika Shanghai SIPG membeli Oscar dari Chelsea dengan nilai perpindahan EUR68 juta ataupun GB60 juta.

Pada 2020, penyerang Argentina Carlos Tevez, bermain untuk kelab CSL Shanghai Shenhua dilaporkan telah dibayar gaji $41 juta untuk aksi yang kurang bersemangat dan seringkali meminta cuti bersama keluarga.

Ini telah menjadikan dia pemain dengan bayaran tertinggi di dunia. Bukannya Tevez memberikan liga itu penarafan bertaraf dunia, dia malah tanpa segan silu menyifatkan CSL sebagai “percutian.”

Dengan kuasa bintang seperti Tevez, dan lain-lain seperti bintang Brazil Alex Teixeira Santos dan Oscar dos Santos Emboaba Jr. kehadiran semakin bertambah dan CSL telah menjadi tumpuan di seluruh dunia.

CSL terlalu bertumpu kepada aspek komersial. Namun tidak kepada pembangunan bola sepak sebenar.

Terbabas daripada landasan

Pada 2022, China gagal untuk melayakkan diri ke Piala Dunia di Qatar. Malah ketika artikel ini dihasilkan pada 12/10/2022, China berada di ranking ke-78 dunia. Sedangkan musuh serantau mereka, Korea Selatan berada di ranking ke-18 dunia.

Ianya menunjukkan bahawa bola sepak China sedang di luar landasan yang sepatutnya. Beberapa tahun lalu, kerajaan mulai mengawal had perbelanjaan pasukan dan gaji pemain.

Sebelum ini China percaya untuk berjaya dalam bola sepak mereka harus berbelanja besar. Namun perbelanjaan mereka lebih kepada berbelanja kepada pemain bintang. Yang secara tak langsung mengehadkan peluang pemain tempatan mereka beraksi dalam pasukan elit.

Selain itu Liga Super China tidak dapat mengaut untung yang lebih besar walaupun sudah berbelanja luar biasa. Sebagai perbandingan, liga di Eropah seperti EPL dan La Liga memiliki nilai komersial yang tinggi berbanding dengan CSL yang hanya menjadi tempat pemain mengangkut duit keluar dari China.

Beberapa kelab kemudian berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal. Ditambah dengan musim covid yang melanda.

Musim ini bola sepak China kembali dibuka. Namun ianya masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan untuk menjadikan CSL sebagai pemangkin kepada projek menjadikan China kuasa dunia dalam bola sepak.

Pakar permerhati sukan, Mark Dreyer berkata: “Budaya bola sepak di China telah dimusnahkan dalam beberapa tahun ini. Kamu sudah tidak teruja dengan CSL lagi.”

“CSL jelas belum mencapai matlamatnya untuk menjadi liga yang berjaya yang menyumbang secara positif kepada bola sepak China secara keseluruhan,” kata penulis bola sepak China, Cameron Wilson, editor pengasas Wild East Football.

China gagal membentuk jiwa bola sepak

Sebahagian daripada masalahnya ialah banyak input pelaburan adalah daripada syarikat hartanah. Pada musim 2018, sembilan daripada enam belas pasukan dimiliki oleh pemaju hartanah swasta. Ini mungkin sesuatu yang positif apabila ledakan hartanah China sedang berjalan.

Tetapi apabila ledakan itu berdepan kemelut pada tahun 2021, kelab bola sepak menderita. Ada yang muflis sama sekali.

Walaupun sebahagian daripada mereka berminat dengan bola sepak namun ramai juga yang mahu menjadikan syarikat mereka menjadi sebahagian daripada syarikat yang diiktiraf Xi Jinping untuk memudahkan mereka mendapatkan tender atau kelebihan lain di masa akan datang. Semuanya berunsurkan politik dan perniagaan.

“China mempunyai kemampuan yang besar. Mereka boleh meletakkan bola sepak di sekolah-sekolah dan mengajak orang terlibat dengan lebih serius,” kata Mark Dreyer.

Pada 2018, pasukan lelaki kebangsaan China gagal mara ke Piala Dunia. Begitu juga dengan Piala Dunia 2022. Walaupun bola sepak lelaki menerima pelaburan jauh lebih tinggi berbanding wanita.

CSL telah musnah dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila kelab-kelab utama goyah dan ada yang tersandung.

China sebenarnya menumpukan aspek pembangunan namun melupakan tentang aspek kajian tentang budaya. Misalnya Argentina, mereka berjaya kerana rasa persaingan dengan jiran tetangga mereka seperti Brazil. Argentina kemudian cuba menerapkan apa yang Brazil lakukan. Termasuk mengeksport seramai mungkin pemain mereka ke Eropah sejak usia muda.

China tidak pernah mengiktiraf sama sekali bola sepak Korea dan Jepun. Dan mereka penuh dengan rasa ego tidak dapat menerima bahawa 2 negara tersebut memiliki projek pembangunan yang sangat baik untuk orang Asia.

Penerapan budaya bola sepak mengambil masa yang sangat lama. Sedangkan di China, bola sepak masih dilihat sebagai model perniagaan semata mata ataupun hanya hobi.

Jika tiada budaya yang kuat tentang bola sepak, segala akademi dan sekolah bola sepak yang wujud hanyalah sia sia.

Bola sepak China masih jauh daripada memiliki jiwa. Rakyat mereka tidak ada keghairahan untuk memainkan bola sepak sama seperti sukan lain. Mereka tidak banyak bermain di jalanan ataupun kanak kanak tidak ramai bermain bola sepak di padang kecil.

Di Brazil dan Argentina, kanak kanak mereka ramai memiliki bola sendiri. Malah tidur dengan bola itu. Di China, budaya itu tidak wujud sama sekali.

Selain itu Cameron Wilson turut menganggap bola sepak China lebih bersifat pemecahan berbanding penyatuan. Ini kerana ianya dipegang oleh ahli politik. Seterusnya, FA China tidak memiliki kuasa yang kuat dalam kata akhir dalam polisi bola sepak mereka. FA China seolah olah hanya boneka parti PKC.

“Liga ini tidak dapat beroperasi seperti liga bola sepak biasa kerana ia dikendalikan oleh ahli politik, bukan oleh orang yang memahami bola sepak,” kata Cameron Wilson dari Wild East Football.

“Jadi, ia sentiasa dilemahkan dan direndahkan oleh dasar yang tiada kaitan dengan bola sepak.”

“Bola sepak China masih belum merdeka,” tambah Cameron Wilson. Di mana ahli politik masih menguasai jawatankuasa bola sepak di China.

Mark Dreyer mengakui, sebenarnya ada kelompok peminat bola sepak China yang benar benar memiliki semangat dan keghairahan ke atas sukan itu. Namun mereka semakin hari semakin hilang optimistisme terhadapn cita cita kerajaan mahu menjadikan China kuasa bola sepak dunia.

Baca yang lain