Koresponden ESPN, Mark Odgen mendedahkan bagaimana Erik Ten Hag kehilangan jawatan impiannya di Old Trafford.
Ten Hag dikatakan terlalu banyak konflik dengan staf dan pemain di Man United. Membuatkan dia tidak dapat mengoptimumkan keharmornian dalam bilik persalinan.
Pada latihan pra musim di Oslo, dia telah memarahi staf Man United kerana rumput terlalu panjang di stadium Ullevaal. Dan dia meminta staf United mendapatkan penjelasan kenapa rumput lebih panjang daripada yang sudah mereka tetapkan.
Pihak stadium memberitahu hujan di kawasan tersebut membuatkan rumput sedikit lebih panjang daripada sepatutnya.
Erik Ten Hag seorang yang teliti dalam soal rumput. Dia terus menyerahkan butiran rumput yang dia mahukan untuk Old Trafford sebaik sahaja dia dilantik menjadi pengurus. Butiran itu melibatkan panjang rumput dan beberapa butiran lain untuk membantu United bermain hantaran rendah yang laju.
Dia juga mendapatkan dana sebanya £200 ribu untuk mereka semula pusat analisis video untuk stafnya. Ini termasuk rekaan dalaman seperti jubin lantai dan dilengkapi dengan skrin besar.
Untuk persiapan hari perlawanan dia mengubah rutin di Old Trafford, meminta pemain tiba di pusat latihan 4 jam lebih awal sebelum perlawanan menggunakan kenderaan sendiri. Dia turut mengubah kedudukan tempat duduk di bilik persalinan.
Seterusnya, Ten Hag menukar tradisi Sir Alex Ferguson tentang kerusi teknikal tepi padang. Di mana dia mahu Man United berada di tempat duduk pasukan lawan sebelum ini. Dia diberitahu bahawa, itu akan memakan kos kerana kerusi untuk pasukan pelawat tidak sama dengan kerusi pasukan tuan rumah yang lebih selesa. Ten Hag tidak peduli kerana menurutnya, kedudukan itu lebih baik untuk dia dan staf melihat perlawanan di atas padang.
Sebelum dia tiba di Man United, pegawai di kelab United sudah menghubunginya agar tidak membawa peralatan atau pakaian yang ada logo kelab lain. Hanya pakaian rasmi kelab. Ini kerana dia ada kes di Ajax pada 2017, ketika dilantik kelab itu, dia dengan selamber membawa beg yang ada logo kelab lamanya FC Utrecht dan membawa beberapa cenderamata dari kelab lamanya ke pejabat di Ajax.
Dia tidak peduli dengan teguran pegawai di Ajax kerana alasan dia, dia suka dengan beg tersebut. Man United sudah diingatkan oleh bekas pegawai yang pernah bekerja dengan Ten Hag tentang kedegilan pengurus itu kalau dia mahu membuat sesuatu yang dia suka.
Ten Hag kemudian mendapat sokongan yang dia mahukan di Old Trafford. Terutama sekali dari segi kewangan dan juga keputusan tentang kontrak pemain bintang. Dia mendapat dana perpindahan sangat besar, dan kelab sentiasa berada di belakangnya ketika konflik dengan bintang seperti Ronaldo dan Sancho.
Namun malangnya, prestasinya dalam EPL tidak menunjukkan tanda tanda United akan menjuarai EPL di bawah kendaliannya selepas beberapa musim dia di sana. Ten Hag diakui seorang pengurus yang tidak pernah tunduk dengan mana mana pemain. Namun kelab kecewa kerana hasil di atas padang tidak sesuai dengan janjinya. Lebih lebih lagi dia beberapa kali menyatakan bahawa kelab itu masih jauh di belakang City atau Liverpool, walaupun dia sudah mendapatkan pemain dia mahukan.
Kehadiran INEOS memang sudah memberikan isyarat yang besar bahawa kedudukan Ten Hag bakal terancam. INEOS musim lalu mahu memecatnya setelah United menamatkan liga di tangga kelapan. Kedudukan terburuk mereka pada era Premier League. INEOS juga menegaskan apa sahaja keputusan dicapai dalam Piala FA, di mana United mara ke final, tidak akan mempengaruhi keputusan mereka.
Namun INEOS membuat U-turn setelah gagal mendapat kesepakatan dengan beberapa calon lain. Ini ditambah dengan populariti Ten Hag mulai meningkat di kalangan peminat kerana memberikan piala domestik kedua.
Beberapa bulan lalu Ole Gunnar Soslkjaer pernah berkata: “Kejayaan kamu memenangi pertandingan piala kadangkala tidak menggambarkan keadaan sebenar pasukan kamu.”
Menurut Ole kelab seperti United harus sentiasa dinilai berdasarkan kedudukan liga mereka. INEOS melanjutkan kontrak Ten Hag yang menjadi punca mereka terpaksa membayar £17 juta pampasan pemecatannya. Dia dipecat setelah dia terus bergelut mengeluarkan United daripada kelompok pertengahan liga.
Selepas kekalahan di tangan Brentford pada Ogos 2022, beberapa pemain dikatakan sukar berhubung dengan Ten Hag. Kemudian ada beberapa pemain sukar memahami arahan taktikalnya dan kadangkala terjemahannya yang tidak dapat difahami. Beberapa pemain mendedahkan Ten Hag sukar dijangka. Dia boleh menjadi pengurus yang sangat ramah dan mesra pada hari ini, dan esoknya dia menjadi sangat tegas.
Ten Hag dikenali sebagai pengurus yang tegas dalam mendisiplinkan pemain. Ramai pemain senior United sukakannya, kerana ada antara mereka mendakwa, isu disiplin di United mulai merosot di bawah Rangnick yang lebih santai.
Ten Hag vs CR7
Malangnya, pada satu tahap Ten Hag dianggap terlalu gila kuasa. Terutama sekali cara dia mengendalikan Ronaldo. Hampir semua pemain United setuju bahawa Ronaldo bersalah kerana enggan masuk sebagai pemain gantian pada aksi menentang Spurs. Namun mereka juga terkejut dengan cara Ten Hag mengendalikan pemain itu dengan hukuman dianggap melampau.
Ronaldo diarahkan berlatih berasingan daripada pasukan utama, diarahkan berlatih dengan pasukan pembangunan. Ketika Ronaldo mahu masuk ke bilik persalinan untuk mengambil kasutnya, namun dihalang oleh staf kelab yang sudah diarahkan Ten Hag agar melarang sama sekali pemain itu masuk ke bilik persalinan. Ronaldo menjelaskan dia nak mengambil kasutnya sahaja dan pergi, namun staf itu menegaskan arahan Ten Hag jelas, dia tidak dibenarkan masuk.
Ronaldo dikatakan terpaksa meminta bantuan pemain akademi yang membantunya masuk ke bilik persalinan dan mengambilkan kasutnya. Beberapa pemain menganggap tindakan itu agak keterlaluan.
Ronaldo kemudian nekad mendedahkan perangai Ten Hag kepada umum menerusi wawancara dengan Piers Morgan. Dia menegaskan, hubungan dia dengan Ten Hag mulai retak apabila pengurus itu mendesak dia untuk kembali berlatih dan bermain ketika dia dan pasangannya kehilangan anak mereka. Ronaldo berkata: “Sampai bila bila saya tak akan hormat Ten Hag kerana dia langsung tak menghormati saya.”
Ronaldo malah menyindir, penyokong Liverpool yang ‘bencikan’ United dan tidak suka dengannya, turut memberikan solidariti di Anfield selepas berita kematian anaknya.
“Apa yang mereka lakukan di Anfield itu, saya akan kenang sampai saya mati,” tegas Abang Do.
Seterusnya, Jadon Sancho seorang lagi bintang yang dilayan teruk oleh Ten Hag. Kelab pernah berhempas pulas mendapatkan pemain itu dari Dortmund dan mahu menjadikan dia pemain masa depan kelab. Namun dia juga tidak disukai Ten Hag.
Sekali lagi pemain pemain United lain setuju bahawa Sancho bersalah ketika dia menggunakan media sosial membidas Ten Hag. Namun hukuman Ten Hag ke atas pemain itu dianggap keterlaluan. Ini termasuk melarang dia menggunakan fasiliti pasukan utama, dilarang menggunakan parkir pemain utama. Ten Hag menuntut permohonan maaf daripada pemain itu. Dengan rakan rakan Sancho juga meminta pemain itu agar meminta maaf sahaja demi pasukan. Kerana mereka yakin Sancho pemain yang penting untuk kelab.
Sancho enggan meminta maaf dan dia dipinjamkan ke Dortmund dengan Ten Hag menyatakan pemain itu tiada dalam perancangannya. Kemudian Sancho kembali semula setelah Dortmund enggan membayar yuran perpindahan tetap yang diminta United. Dan beberapa pasukan lain juga tak setuju dengan permintaan United sekitar £45 juta untuk pemain itu.
Walaupun Sancho masih tidak meminta maaf, namun Ten Hag memberitahu dia dan Sancho dah ok. Tetapi tetap juga pemain itu disisihkan dan akhirnya dipinjamkan ke Chelsea.
Pemain pemain United pernah mempersoalkan intensiti latihan oleh Ten Hag. Namun ramai juga yang percaya Ten Hag sedang membantu mereka dengan kepakarannya. Malangnya, isu kecederaan terus melanda United. Membuatkan United terpaksa menggunakan pemain pemain muda.
Menurut ESPN, Ten Hag akan memberikan latihan tambahan setiap kali United kalah atau tidak mencapai keputusan memuaskan. Namun beberapa pemain merasakan tindakan ini adalah ‘counterproductive’. Di mana pemain keletihan untuk aksi berikutnya dengan jadual yang padat. Dan lepas kalah mereka kena buat latihan tambahan lagi.
Ten Hag memberitahu pemainnya, intensiti di EPL sentiasa intensif. Jadi setiap pemain harus menerimanya. Dengan jumlah kekalahan demi kekalahan dialami United, maka pemain semakin penat.
Ten Hag bukanlah kehilangan kawalan sepenuhnya ke atas bilik persalinan seperti Mourinho. Kerana ada ramai pemain sentiasa percaya dengan apa yang dia lakukan. Namun kemudian hari demi hari, pemain pemain ini mulai beralih arah.
Selepas INEOS mendapat pegangan saham 27% di kelab itu, Sir Jim Ratcliffe berurusan terus dengan Ten Hag. Dia mendengar Ten Hag merungut tentang kecederaan dan terpaksa bergantung kepada pemain akademi, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho.
Ten Hag dan perpindahan
Dia juga kecewa kerana kelab terlepas peluang mendapatkan Frenkie de Jong (yang terus kekal di Barcelona), Alexis Mac Allister (menyertai Liverpool), Federico Valverde (yang melanjutkan kontrak dengan Real Madrid) serta Harry Kane (memilih ke Bayern Munich).
Di sini Ratcliffe mulai merasakan Ten Hag meletakkan sasaran perpindahan tidak realistik. Sebelum INEOS tiba, Ten Hag meminta kawalan penuh untuk perpindahan pemain membuatkan kelab menamatkan kontrak Rangnick yang sebelum itu dilantik sebagai penasihat perpindahan pemain.
Rangnick juga terkilan kerana Ten Hag hanya berhubung dengannya menerusi panggilan telefon berbanding menetapkan tarikh pertemuan bersemuka untuk membincangkan tentang perpindahan.
Sasaran utama Ten Hag adalah Antony, selepas dia mengawal perpindahan dengan kuasa dia ada. Ketika bercakap dengan INEOS, Ten Hag menyalahkan Man United yang meletakkan harga tak masuk akal sebanyak €100 juta untuk membeli pemain itu, yang memberikan tekanan kepadanya.
Dan dia menyatakan bahawa United terlalu lambat membeli Antony, dengan harga lebih rendah pada musim panas 2022. Kem Ajax sebenarnya tidak mahu menjual Antony, namun mendengar United sedia membayar €100 juta, mereka tak fikir panjang, kerana nilai itu jauh daripada nilai pasaran sebenar Antony.
Pembelian Antony dan Casemiro dilaporkan dibuat secara panik selepas United kalah di tangan Brighton dan Brentford. INEOS kemudian melantik Ashworth dan, Jason Wilcox untuk mengetuai pembelian pemain. Ianya menimbulkan satu lagi ketegangan. Kerana Ten Hag menganggap Wilcox tidak pandai dalam urusan jual beli pemain. Ketika United menawarkan kontrak baharu kepadanya, Ten Hag meminta kuasa veto dalam perpindahan.
Dia menjelaskan dia tak mahu peristiwa: dia mahukan Harry Kane, namun kelab berikan dia Rasmus Hojlund, pemain yang muda yang dianggap masih perlu digilap.
Ten Hag sebelum ini juga meminta kelab mendapatkan Antony, Lisandro Martínez dan Casemiro yang memiliki karakter yang boleh mencorakkan semula bilik persalinan United. Agak pelik kerana beberapa bulan seleapas itu Ten Hag mendakwa, Casemiro bukan pemain sasarannya tetapi pilihan kelab. Membuatkan kelab mencari seorang lagi no.6 berkelas dunia. Dan baru baru ini mereka mendapatkan Ugarte dari PSG.
Martinez menjadi penyokong tegar Ten Hag di bilik persalinan. Di mana pemain pemain lain tidak berani membawang Ten Hag di bilik persalinan bila ada Martinez. Namun pemain itu lama berehat kerana kecederaan. Dan ini juga menjadi punca beberapa pemain mulai menguatkan pengaruh mereka untuk menentang Ten Hag.
Ten Hag seorang yang protective
Dari segi melindungi pemain pemainnya, Ten Hag sangat protective. Ini kerana menurutnya ada sesetengah pemain gagal memberikan respon sepatutnya ke atas tekanan media atau tekanan orang ramai.
Misalnya, selepas menang menerusi penentuan penalti di separuh akhir Piala FA menentang Coventry. Dia mengurung semua pemainnya berjam lamanya dalam bilik persalinan. Tidak mahu wartawan mengganggu pemainnya dan mempersoalkan kenapa mereka boleh diheret sehingga ke penentuan penalti.
Pemain Coventry dilaporkan beratur lama di luar bilik persalinan Man United mahu bertukar jersi. Malangnya, ketika pemain United keluar mereka dikawal oleh petugas keselamatan yang memagari mereka.
Dia juga orang yang menentang kelab daripada memberikan jersi no.7 kepada Garnacho kerana tidak mahu tekanan ke atas pemain itu daripada media dan peminat. Dia memutuskan untuk memberikan jersi itu kepada Mason Mount.
Ten Hag juga sentiasa berani berhadapan media walaupun dia dalam tekanan kuat. Dia menolak cadangan agar pembantunya Steve McClaren berdepan sidang media ketika dia dihujani kritikan.
Ten Hag menolak untuk wawancara dengan Robin van Persie, yang dijemput terbang ke Old Trafford untuk sesi khas. Alasannya, wawancara itu ‘clash’ dengan jadual kerjanya. Ketika itu, INEOS merasakan Ten Hag bukan pengurus yang sesuai untuk United.
Ten Hag meninggalkan United sebagai pengurus keempat United yang memenangi trofi untuk dua musim berturut turut selepas Ernest Mangnall, Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson. INEOS menyesal kerana kejayaan Piala FA dianggap mengaburi mata mereka tentang kedudukan United dalam liga musim lalu.