Kisah Benitez Menjadikan Valencia Digeruni Namun Dibunuh Oleh Polisi Orang Atasannya

Jika La Liga ada menggunakan terma big 4 ataupun big 6 seperti di England, Valencia dengan mudah berada dalam senarai tersebut.

Malah mereka dianggap kelab ketiga terbesar di Sepanyol selepas Real Madrid dan juga Barcelona berdasarkan sejarah dan pengaruh mereka. Malang sekali hari ini, dalam beberapa tahun ini mereka kerap mengisi ruangan berita kerana masalah hutang yang tinggi.

Kehadiran Peter Lim beberapa tahun lalu seolah olah memberikan harapan dan mereka menjadi juara Copa Del Rey. Tetapi apa dah jadi selepas itu? Peter Lim gagal untuk memimpin Valencia dengan lebih baik.

Pada hari ini Valencia bahkan dianggap lebih kecil daripada Atletico Madrid.

Baiklah, kita imbas kembali saat kelawar Mestalla ini menjadi pasukan yang digeruni pada era Rafa Benitez. Ianya adalah detik terbaik di dalam sejarah mereka.

Era Benitez (2001-04)

Deretan nama pemain legenda membarisi kelab mereka pada masa itu. Santiago Canizares, Roberto Ayala, Ruben Baraja, David Albelda, Vicente dan Pablo Aimar sebagai perancang utama, Valencia berjaya menjadi juara Sepanyol sebanyak dua kali.

Rafa Benitez dilantik menggantikan Hector Cuper. Benitez turut membawa Mista dari kelab lama yang diuruskannya iaitu Tenerife. Dan terus menjadi bintang penting di Mestalla.

Dan mereka turut menjulang UEFA Cup yang hari ini digelar Europa League. Valencia menjadi pasukan yang sangat digeruni dan seronok sekali untuk ditonton. Malah mereka menjadi tunjang kepada pasukan kebangsaan Sepanyol pada masa itu.

Rafa Benitez adalah mastermind dengan formasi popular beliau di Valencia iaitu 4-2-3-1. Sebenarnya formasi ini telah menjadi salah satu asas formasi moden. Pada masa itu masih banyak pasukan menggemari sistem dengan dua penyerang utama ataupun 4-3-3 terus. Tetapi Valencia menggunakan sistem yang sesuai dengan mereka.

Benitez membuatkan Valencia menjadi pasukan dengan pemain yang saling bergantung antara satu sama lain di atas padang. Pemain pemain berbakat mereka diberikan kebebasan mengekspresikan diri mereka di atas padang. Dan rakan mereka akan cuba melengkapi mereka.

Pablo Aimar adalah genius. Beliau boleh mengubah gaya permainan, malah jenis hantaran ketika berlaku pertukaran pemain di hadapannya. Maka tak hairanlah dia menjadi idola Lionel Messi.

Aimar sangat lincah. Benitez membiarkan Aimar bermain dengan seronok. Tiada sekatan. Aimar pemain yang kreatif dan lincah.

Benitez tidak mengambil masa lama untuk menunjukkan kualitinya. Dia terus membawa Valencia menjadi juara La Liga musim 2001/02. Sebenarnya tak ada beza sangat Liga Sepanyol masa tu dengan sekarang ini. Dominasi Real Madrid dan Barcelona sangat kuat.

Jadi korang boleh bayangkan, apabila pasukan selain dua pasukan itu juara, maka ianya dianggap sangat besar dan hebat.

Benitez dilantik memang kena dengan pasukan Valencia. Hector Cuper bukan pengurus yang teruk. Malah dia membina pasukan yang baik di Valencia. Dengan Benitez yang masuk ke dalam pasukan yang sarat dengan set pemain berbakat yang sesuai dengan taktikalnya. Ianya memudahkan kerja beliau.

Itulah pertama kalinya Valencia menjulang La Liga selepas 31 tahun menunggu. Di mana mereka juara dengan 7 mata mengatasi Deportivo La Coruna.

Secara kesluruhan Valencia hanya menjaringkan 51 gol pada masa itu, berbanding Deportivo 65 gol, Real Madrid 69 gol, Barcelona 65 gol, Celta Vigo 64 gol. Kuncinya, mereka mampu untuk menang demgan 1-0 kerana organisasi pertahanan dan penjaga gol mantap.

Benitez menerapkan gaya permainan yang reaktif. Bila hilang bola, 8 hingga 9 pemain akan segera turun ke bawah.

Mereka memiliki Ruben Baraja dan David Albelda yang berada dalam prestasi ranum. Malah dianggap salah satu gandingan tengah terbaik dalam generasi mereka.

Kedua duanya adalah double pivot dengan Baraja lebih box to box. Sistem yang sama diterapkan Benitez di Liverpool dengan Gerrard dan Alonso ataupun Alonso – Mascherano.

Di zon serangan mereka memiliki pemain yang mencipta flair permainan. Mereka ada Vicente, Rufete/Jorge Lopez, Aimar dan Mista.

Pada musim 2002/03 Valencia gagal mempertahankan gelaran La Liga. Berada di tangga kelima dengan 18 mata di belakang juara masa tu, Real Madrid. Dan musim itu juga Benitez menikmati kempen UCL pertama.

Mereka mara sehingga ke separuh akhir. Namun dikalahkan Inter Milan. Pada masa itu, kelab Itali memang sangat digeruni. Bahkan bintang bintang dunia merasakan karier mereka akan lengkap kalau bermain di Serie A. Masa tu la.

Selepas kegagalan pada 2002/03, Valencia memperbaiki prestasi mereka pada musim 2003/04. Valencia kali ini lebih ofensif. Perubahan corak permainan itu sangat menjadi. Di mana mereka berjaya menjuarai double – La Liga dan UEFA Cup.

Valencia menjadi juara liga dengan lima mata di atas Barcelona. 71 gol mereka jaringkan, di mana ianya jauh lebih banyak daripada musim juara mereka pada 2001/02.

Ketika final UEFA Cup mereka menewaskan Marseille menerusi gol Vicente dan pemain yang dibawa Benitez bersamanya dahulu iaitu Mista. Paling menarik, Mista menamatkan musim itu sebagai penjaring terbanyak Valencia dengan 24 gol di semua pertandingan.

Pada Jun 2004, Benitez mengundurkan diri daripada Valencia. Ianya selepas dia tidak sebulu lagi dengan pengarah urusan kelab, Jesus Garcia Pitarch.

Di mana Benitez tidak dapat mengawal perpindahan pemain secara penuh. Dia kemudian bengang kesemua pemain yang dia mahukan tidak dapat. Benitez melihat pengurusan tertinggi cuma acuh tak acuh untuk pemain sasarannya. Tetapi berusaha sedaya upaya untuk pemain yang mereka nakkan.

Benitez kemudian mempersoalkan kuasanya sebagai pengurus. Lalu dia meletak jawatan.

Benitez berkata: “Korang bayangkan, saya nakkan sebuah sofa, tetapi mereka berikan saya lampu”

Benitez masa itu mahukan seorang pemain pertahanan namun kelab memberikannya attacking midfielder iaitu Fabian Canobbio).

Selepas meninggalkan Valencia, Benitez terus direkrut oleh Liverpool.

Itulah kisah Valencia era 2001-04 yang menjadi pasukan digeruni, dibina oleh Rafa Benitez. Namun akibat pengurusan tertinggi yang teruk dan menghadkan kuasa pengurus, mereka kemudian jatuh.

Tidak lama selepas itu Valencia bergelut untuk mendapatkan semula kegemilangan itu