Kisah Cikgu Park Dan VFF Merevolusikan Bola Sepak Vietnam Yang Rosak

“Misi saya adalah mahu melihat Vietnam berada dalam ranking 100 teratas FIFA,”

Itulah kata kata Park Hang Seo yang sudah cukup membuatkan beberapa media Vietnam ketika itu menyindir dan menggelakkannya. Kerana bagi mereka Park Hang Seo hanyalah seorang jurulatih lagi yang datang dan memberikan ayat retorik sedap didengar.

Namun apa yang berlaku selepas itu memang benar benar luar biasa. Park Hang Seo benar benar membawa Vietnam menuju ke ranking tersebut.

Kerja kerasnya semakin dihargai oleh peminat. Dia merevolusikan bola sepak Vietnam bukan sahaja di atas padang, malah bermula dari dalam pengurusan.

Pada Mei 2021, Vietnam berada di ranking ke-92. Menjadikan mereka ketika itu satu satunya negara Asia tenggara berada di ranking 100 teratas.

Baru baru ini pada November 2021, Vietnam jatuh sedikit ke ranking 99 dunia. Namun apa yang pasti, untuk sesebuah negara Asia tenggara itu berada di 100 ranking teratas, bukanlah perkara yang mustahil.

Seterusnya, Vietnam turut mara sehingga ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia. Walaupun tidak mencatatkan keputusan yang baik, namun mereka tetap berada di sana.

Sejarah ringkas

Sejarah bola sepak Vietnam sangat unik. Mereka malah pernah berpecah kepada 2 pasukan kebangsaan pada era 1950-an sehinggalah 1976 mereka bergabung semula menjadi 1 pasukan.

Perkembangan bola sepak Vietnam kemudian menjadi lebih pesat pada 1991. Pada 1996, bunga bunga kebangkitan bola sepak Vietnam mulai kelihatan dengan kejayaan menamatkan kempen Piala Tiger pertama mereka di tangga ketiga. Kejohanan yang dikenali Piala AFF Suzuki pada hari ini.

Perlantikan Karl Heinz Weigang pada masa itu benar benar memberikan impak kepada pasukan kebangsaan Vietnam.

Kemudian beberapa lagi jurulatih asing dilantik. Henrique Calisto menjadi jurulatih pertama yang membantu Vietnam menjuarai Piala AFF 2008.

Selepas itu bola sepak Vietnam agak merosot. Sehinggalah VFF memutuskan bahawa sudah tiba masanya mereka merevolusikan semula bola sepak Vietnam.

Ambil B-23 sekali

Park Hang Seo merupakan bekas pembantu kepada Guus Hiddink ketika Hiddin menjadi ketua jurulatih Korea Selatan pada Piala Dunia 2002.

Beliau sentiasa berterima kasih kepada Guus Hiddink yang digelarnya sebagai mentor. Hiddink sendiri ada sejarah unik seringkali mencipta keajaiban bersama negara negara kerdil dalam bola sepak. Mungkin sebab itu DNA itu sebati dalam diri Park Hang Seo.

Kehadiran Park Hang-seo membawa sebuah revolusi sepak bola di Vietnam.

Oleh kerana bola sepak Vietnam yang tak seragam di peringkat pasukan belia dan pasukan utama, beliau meminta untuk menguruskan sekali skuad B-23. Ini kerana kedua dua pasukan itu ketika itu tidak bermain dan bercakap bahasa bola sepak yang sama. Satu pasukan main 4-2-3-1 dan satu lagi bermain 4-3-3 sebagai contoh.

Langkah pertamanya adalah membantu memberikan kefahaman tentang DNA bola sepak terutama sekali di peringka B-23. Beliau berjaya membantu skuad B-23 Vietnam mara ke final Piala AFC U-23 2018, prestasi luar biasa yang membanggakan untuk negara di Asia Tenggara.

Prestasi mereka dalam Piala Asia B-23 pada masa itu menjadi titik tolak kepada banyak perkara. Rakyat Vietnam dan para pemain mereka mulai yakin bahawa mereka bukanlah negara yang teruk dalam bola sepak, cuma tak dilatih dan diuruskan dengan cara yang betul.

Pada 2018, Vietnam menamatkan penantian kemarau kejuaraan 10 tahun mereka dalam Piala AFF untuk bergelar juara.

Ini diikuti kejayaan memenangi emas dalam Sukan SEA 2019. Era Park Hang Seo menjadikan Vietnam sebagai raja Asia Tenggara yang baru, mengambil alih dari Thailand.

Pembentukan DNA

Park Hang Seo ataupun Cikgu Park kini merupakan individu yang sangat penting dalam pembentukan DNA taktikal di Vietnam.

Ideanya adalah untuk menyeragamkan corak permainan dalam 2 peringkat penting. Peringkat B-23 adalah peringkat terakhir untuk transisi kepada pasukan utama. Dan ramai pemain sekitar usia 20-an menjadi pemain utama dalam skuad kebangsaan di mana-mana negara.

Daripada dua peringkat ini ianya akan menjadi satu blueprint kepada bola sepak Vietnam secara total – di semua peringkat.

Antara pencapaian penting Cikgu Park bersama skuad B-23 adalah kejayaan menjadi naib Juara Piala Asia B-23 yang dilangsungkan pada 2017. Mereka menewaskan pasukan seperti Australia di peringkat kumpulan.

Cikgu Park yang tegas

Ketika mulai menggalas tugas jurulatih Vietnam, misi utama beliau adalah menjadikan Vietnam negara yang berada di kelompok 100 teratas dalam ranking dunia. Media di Vietnam ada yang kurang yakin dengan cita-cita beliau dan menganggap ianya retorik biasa oleh mana-mana jurulatih baharu.

Lagipun dalam sidang media yang sama beliau memberitahu beliau tidak begitu kenal dan tahu akan bola sepak Vietnam terutama sekali kualiti gedung bakat yang beliau ada.

Beliau berkata: “Saya tidak tahu sangat tentang bola sepak Vietnam sebelum ini. Namun selepas itu saya melakukan beberapa kajian dan menonton aksi perlawanan Vietnam. Misi saya adalah membantu Vietnam memanjat sehingga ke 100 teratas dalam ranking FIFA – dalam tempoh kontrak saya.”

Kontrak penggal pertama Cikgu Park berakhir pada Oktober 2019. Dan hasilnya, kurang daripada 11 bulan daripada tempoh akhir kontrak beliau Vietnam sudah pun berada di 100 teratas dalam ranking FIFA yang diumum pada akhir November tahun tersebut.

Ianya adalah ranking tertinggi pasukan Asia Tenggara dan ke-17 di Asia untuk akhir November 2018. Kali terakhir Vietnam berada di ranking 100 teratas adalah pada Jun 2011 iaitu di kedudukan ke-99. Ranking tertinggi Vietnam dalam sejarah adalah di tangga ke-84 pada Septembar 1998.

Peningkatan mendadak itu berlaku hanya selepas 13 bulan Cikgu Park menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Vietnam dan skuad B-23.

Cikgu Park sentiasa percaya bahawa dalam bola sepak, nasib memainkan peranan sangat kecil dan kejayaan itu biasanya dikecapi mereka yang kuat berusaha dan sanggup melakukan latihan tambahan.

Park Hang Seo mencorakkan bola sepak Vietnam

Pada awalnya pendekatan Park Hang Seo dikritik oleh beberapa media dan pundit di Vietnam. Ada di antara mereka mengutuk taktikal Park Hang Seo yang dianggap sebagai membosankan, tidak moden dan defensif.

Namun Park Hang Seo menyatakan bahawa, Vietnam tidak perlu menjadi negara tiki taka atau total football. Kerana pemilihan taktikal itu harus sesuai dengan sumber bakat yang mereka ada. Berdasarkan set pemain yang tersedia untuk mereka pilih dari kalangan kelab.

Beliau awalnya tidak mendapat kerjasama daripada beberapa kelab dan jurulatih kelab kerana Park Hang Seo menurut mereka terlalu beriya iya. Sedangkan bola sepak Vietnam itu hanyalah hiburan rakyat.

Seterusnya sikap Park Hang Seo yang terlalu jujur kekadang membuatkan ramai pihak yang tak sukakannya. Biasalah, sentimen, orang luar cakap lebih kat negara aku.

Dalam bola sepak, aspek taktikal moden , ofensif ataupun defensif itu jika dimainkan dengan betul akan memberikan kejayaan. Park Hang Seo berkeras dengan apa yang beliau lakukan dan memberitahu pemain bahawa mereka perlu percayakan apa yang sedang mereka lakukan.

Bagi Park Hang Seo beliau mahu pemain tidak terasa rendah diri untuk bermain taktikal sedang mainkan.

Membentuk pemain cerdas dan pintar

Apa yang paling penting mereka perlu meningkatkan aspek berfikir dan kecerdasan di atas padang – untuk membentuk pasukan yang saling memahami antara satu sama lain.

Oleh itu, para pemain disuapkan dengan pelbagai informasi yang berkaitan sebelum beraksi di atas padang. para pemain mulai dusuapkan lebih banyak statistik dan maklumat intelektual berkaitan bola sepak.

Beliau juga mahukan pemain agar sentiasa percaya kepada diri mereka. Informasi yang lebih teknikal dan taktikal ini membuatkan pemain dilatih untuk berfikir lebih tajam. Ia secara tak langsung menajamkan lagi pemikiran bola sepak (footballing minded).

“Kita semua ada peluang untuk menang. Kita tidak tahu apa keputusan perlawanan sebelum datang bertanding. Oleh sebab itu kita semua perlu bersiap sedia untuk menang.

Misalnya sebelum aksi berdepan Malaysia dalam Piala AFF 2020, Park Hang Seo menyatakan dia dan kejurulatihannya sudah ada data scouting dan analisis teperinci tentang pasukan Malaysia yang dianggap pencabar kejuaraan.

Oleh sebab itu di meja kejurulatihannya, Park Hang Seo dan pegawai pegawainya sudah bekerja keras dalam persiapan perlawanan ini. Termasuk menyediakan data analisis terperinci untuk disumbatkan informasi kepada semua pemain mereka.

Bukan itu sahaja, Vietnam sebelum ini sudah menghantar Scouting team untuk memantau perkembangan Zulhelmi De Paula dan rakan rakannya. Sentiasa mengemaskini data terkini para pemain Malaysia.

“Kami sudah menyaksikan aksi Malaysia dan kami memiliki analisis teperinci serta sudah mempersiapkan taktikal khas untuk perlawanan akan datang.”

“Kami selalu kejurulatihan sudah bersedia melakukan yang terbaik untuk membantu pemain mencapai kedudukan terbaik di peringkat kumpulan.”

Pemilihan teras (core) DNA

Park Hang Seo menjadikan 2 pasukan di Vietnam sebagai asas kepada DNA bola sepak mereka yang ada. Beliau sedar bola sepak di Vietnam memiliki keghairahan berbanding dengan struktur yang sistematik.

Hanya ada beberapa pasukan yang memiliki akademi yang baik dan sistematik iaitu Hoang Anh Gia Lai dan Hanoi FC. Ramai pemain belia dan pasukan utama Vietnam daripada 2 pasukan ini. Dalam Piala AFC B-23, ramain pemain daripada Hanoi FC dan Hoang Anh Gia Lai dipanggil.

Seterusnya Park Hang Seo mengenalpasti 2 lagi akademi yang sangat baik iaitu Vettel FC dan PVF FC. 2 akademi ini banyak enyumbangkan bakat untuk pasukan remaja. Park Hang Seo kagum dengan Vettel FC yang sebenarnya sudah mengorak langkah menjalinkan kerjasa dengan Borussia Dortmund.

Dan pada Oktober 2017, PVF FC melantik Ryan Giggs sebagai Pengarah akademi mereka.

Park Hang Seo melihat kesungguhan beberapa pihak di Vietnam untuk tidak membangunkan bola sepak berdasarkan ‘passion’ dan semangat semata-mata. Tetapi mereka mulai membangunkan sistem dan struktur yang betul. Park Hang Seo sebagai jurulatih menghargai perkembangan positif ini.

Daripada 4 kelab ini, Park Hang Seo membentuk DNA permainan Vietnam untuk difahami oleh pemain-pemain lain yang mahu bermain untuk Vietnam.

Park Hang Seo kemudian menghantar seramai mungkin pemantau bakat daripada pasukan kebangsaan untuk sentiasa memantau perkembangan para pemain terutama sekali di beberapa pusat teras ini. 4 akademi tersebut memiliki fasiliti latihan serta teknologi yang baik dalam pembangunan pemain.

Akademi PVF FC yang serba moden

Nguyen Quang Hai antara pemain yang berbisa mereka merupakan penyerang Hanoi. Beliau penyerang utama skuad B-23 yang ditransformasi kepada penyerang utama skuad senior nagaranya. Beliau menjaringkan 5 gol dalam Piala AFC B-23. Pada 2017, beliau bermain 2,087 minit secara keseluruhannya. Beliau dianggap antara pemain paling cergas (fit) di Vietnam.

Nguyeng Quang Hai juga pemenang Anugerah Bola Gangsa 2017, Pemain Muda Terbaik Vietnam 2017 dan Pemain Muda Terbaik Liga Vietnam 2017. Sebelum itu beliau memenangi Anugerah:

Best player Vietnam national league U-17 2014
Best player Vietnam national league U-19 2014
Best player Vietnam national league U-19 2016
Best player Vietnam national league U-21 2016

Ini membuktikan, akademi Hanoi FC sedang melakukan perkara yang betul dalam membentuk pemain yang berkualiti.

Para pemain muda ini kemudian digabungkan dengan para pemain senior ataupun veteran yang masih mempunyai kualiti sepert Anh Duc.

Realistik

Penekanan utama Park Hang Seo adalah tidak mahu pemain Vietnam terlalu ‘rumit’ di dalam padang, sebaliknya beliau mahukan mereka lebih realistik. Ketika mulai mengggalas jawatan jurulatih skuad B-23 dan jurulatih skuad senior, beliau mendapati masalah utama para pemain Vietnam adalah ‘duel’ berhadapan dengan lawan lebih besar dan tinggi.

Cikgu Park berkata: “Para pemain Vietnam sering merasa buntu ketika menghadapi lawan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun begitu, saya beritahu mereka bahawa kami mampu mengalahkan mereka jika bermain penuh percaya diri.”

“Saya harus mengubah sikap para pemain ketika menghadapi pemain yang berbadan lebih besar.”

Antara aspek pertama yang ditekankan oleh beliau adalah kembali kepada asas bola sepak. Beliau menekankan aspek seperti postur badan ketika bertahan. Memberitahu kembali ‘kitab’ asas kepada para pemain. Disiplin dalam bermain sangat penting walaupun mereka sudah bergelar bintang.

Misalnya body positioning, support play, permainan kombinasi, bertahan dan menyerang dalam unit dan banyak lagi.

Selain itu Park Hang Seo menepis stigma digunakan beberapa kelab yang berusaha mencari pemain yang berbadan besar ataupun cuba membangunkan fizikal pemain supaya menjadi besar.

Menurut Park Hang Seo, perkara itu sia sia. Kerana dalam bola sepak moden, pemain yang berpusat graviti rendah adalah lebih pantas, dan mudah beradaptasi. Paling utama adalah membangunkan skil dan teknikal pemain ini daripada terlalu menekankan aspek saiz fizikal.

Sedangkan orang Vietnam itu sendiri ada purata saiz mereka tersendiri sama seperti orang Asia yang lain. Latihan fizikal yang betul merujuk kepada cara membentuk pemain yang lasak dan mampu bersaing secara duel dan bukannya membantuk pemain yang besar.

Park Hang Seo pentingkan persediaan awal

Ketika mereka menang ke atas Iraq (seri 3-3, Vietnam menang penalti 5-3) dalam Piala AFC B-23 edisi 200 2017, mereka telah melakukan scouting yang sangat rapi ke atas lawan mereka.

Dipetik daripada laman Steemit.com: “Park Hang Seo mengejutkan semua dengan kemenangan ke atas Australia. Vietnam berjaya mengikat Syria untuk mara ke suku akhir.”

“Ini pertama kali pasukan Vietnam mara ke kalah mati menjadi 8 teratas di Asia peringkat B-23.”

Ketika persiapan menentang Syria, Cikgu Park Hang Seo telah meramalkan lawan mereka di kalah mati adalah Iraq. Walaupun ketika itu Vietnam masih belum pasti layak.”

Secara asasnya, jika mereka layak, mereka akan menentang Iraq. Jadi, buat persediaan awal terlebih dahulu. Jika gagal layak itu tak mengapa. Jika layak, mereka sudah ada persediaan awal.

Jadi dalam persiapan untuk kejohanan seperti Piala AFC B-23 dan Piala AFF 2018 – sudah pastinya analisis data lawan mereka sudah disiapkan awal sekali. Berdasarkan sikap Park Hang Seong, ianya mungkin sudah dilakukan sebaik sahaja undian kumpulan dahulu dan pemain disuapkan dengan segala maklumat yang perlu tentang lawan mereka sebelum ke pentas sesuatu pertandingan.

Pegawai beliau mendedahkan – Park Hang Seo sudah menghantar beberapa pengintip beliau untuk memerhatikan corak permainan pasukan lawan terutama sekali pasukan yang kuat.

Park Hang Seo telah menggunakan khidmat pemantau terbaik di Vietnam dalam pasukan beliau kali ini dan mereka telah mengintip. Anda pasti terkejut apabila dalam Piala AFC B-23 2017 – 2 orang yang beliau lantik itu adalah ‘bos’ beliau sendiri.

‘Head’ pasukan Vietnam, Duong Vu Lam dan Pengarah Teknikal Pasukan, Jurgen (gambar) telah pergi merakamkan latihan Iraq. Mereka telah menganalisis sedalamnya tentang kekuatan pasukan lawan. Buang ego, ini demi negara, bos turun padang pun tak apa untuk jadi ‘staf’ Park Hang Seo.

Buat apa nak simpan keparak itu hanya kerana sudah ada kerusi empuk di pejabat?

Lam dalam laporan analisis beliau menyimpulkan, pasukan Iraq lebih berusia daripada purata umur pemain Vietnam. Jadi mereka lebih matang dalam perlawanan.

Cabaran Vietnam ketika itu adalah membentuk skuad yang boleh menyerap tekanan berhadapan dengan lawan yang lebih matang dan berpengalaman.

Segala aspek tekanan psikologi di dalam padang sudah diberitahu kepada pemain. Park Hang Seo mendapati pasukan Iraq sebagai pasukan yang ‘kaya’ dengan segalanya di dalam padang.

Mereka juga mendapati statistik 3 perlawanan pertama, Iraq melakukan 1,116 hantaran tepat dengan kadar 64%. 10 percubaan tepat, 5 gol dihasilkan. Iraq ada 4 jenis fasa utama dalam permainan mereka.

Semua maklumat ini dan banyak lagi telah dikumpul oleh Park Hang Seo dan mereka terus melakukan ‘brainstorming’ untuk mencari formula menang ke atas Iraq.

Maklumat itu diberitahu kepada para pemain supaya mereka kenal siapa akan lawan mereka.

Park Hang Seo seorang jurulatih yang bukan sahaja memberikan arahan, malah dia akan cuba menunjukkan demonstrasi kepada pemain-pemain beliau untuk melakukan perkara yang betul dari segi teknikal dan taktikal.

Park Hang Seo memang sentiasa bersedia awal dan seorang yang sangat detail dalam banyak perkara.

Formasi dan taktikal

Secara asasnya Vietnam menggunakan 2 formasi utama di bawah Park Hang Seo, sama ada 5-4-1 ataupun 5-3-2. Formasi ini memang lebih menekankan aspek defensif dalam permainan mereka. Di dalam permainan, mereka akan membentuk 3-4-3 pada fasa penguasaan bola ataupun menyerang.

Jika mereka bermula dengan 5-3-2 mereka akan cuba membentuk 3-4-1-2 ketika fasa menyerang. Sistem serangan ini memiliki no.10 di zon 14/zon padat.

Selain daripada formasi yang berasaskan rantaian pertahanan berlima, mereka juga boleh bermain formasi seperti 4-5-1. Jadi kesemua peringkat pasukan kebangsaan Vietnam akan berpandukan sistem yang sama.

Oleh sebab itu langkah pertama Park Hang Seo adalah menjajah dahulu pemikiran skuad B-23. Kerana ianya transisi penting ke pasukan senior Vietnam yang ketika itu rosak.

Kemudian, jurulatih di peringkat bawahan seperti B-19 dan B-17 pula akan meruju kepada B-23. Biasanya jurulatih skuad remaja dengan belia, selesa berinteraksi sesama mereka.

Rumusan

Park Hang Seo merupakan individu yang telah membentuk DNA bola sepak Vietnam dengan idea beliau. Park Hang Seo merupakan jurulatih yang berpengalaman luas ini. Pernah membantu skuad B-23 Korea Selatan menang pingat gangsa dalam Sukan Asia 2002.

Beliau bukan sahaja seorang jurulatih malah seorang cikgu yang baik. Membekalkan para pemain dengan seberapa banyak informasi yang boleh. Informasi itu pula beliau terima daripada pegawai beliau dan hasil pembelajaran dan kajiannya.

Vietnam dahulu dikenali dengan pasukan yang cuba menjadi seperti Jepun dan Korea Selatan telah berubah menjadi pasukan Vietnam sendiri. Pasukan yang memiliki taktikal yang sesuai dengan mereka.

Beliau bekerja dengan pasukan B-23 yang sangat rapat dengan pasukan remaja. Daripada pasukan B-23 inilah menjadi asas beliau membentuk skuad Naga Merah yang menjuarai Piala AFF 2018, Sukan SEA 2019 dan kemudian berada di pentas akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Itulah kisah Park Hang-seo yang dahulunya disambut dengan pandangan skeptikal ketika dia baru tiba. Kerana di Vietnam ada budaya lebih percayakan orang putih jadi jurulatih berbanding seorang jurulatih Korea yang sekadar menjadi pembantu Guus Hiddink. Mereka berpendapat, lebih baik lantik je orang Vietnam.

Park Hang-seo ternyata mampu memaksimumkan potensi para pemain muda yang dimilikinya. Seterusnya, menurut Park Hang Seo lagi, sikap pemain pemain muda Vietnam pada hari ini banyak membantunya.

Semakin ramai pemain muda bersemangat mahu menjadi bintang bola sepak yang berjaya. Dan mereka percaya dengan sistem yang betul akan dapat membantu mereka.

Selepas kejayaan menjuarai Piala AFF 2018, Park Hang Seo di hadapan mikrofon berkata: “Solidariti, kebanggaan, kecerdasan dan daya juang, inilah budaya orang Vietnam [yang kita berjaya sematkan dalam pasukan bola sepak]. Semua orang berjuang sebagai sebuah satu pasukan.”

“Sebagai jurulatih saya berusaha membangunkan rasa percayakan diri dan kepercayaan di dalam pasukan.”

Semua ini tak akan mampu dicapai Park Hang Seo kalau VFF tidak memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya.