Kisah David Villa Di Valencia Yang Menjadi Igauan Lawan

David Villa, legenda bola sepak Sepanyol dan igauan kepada mana-mana pemain pertahanan lawan. Walau ke mana pun Villa pergi, beliau sentiasa menjadi kegemaran penyokong.

Sama ada ketika di Sporting Gijon, Real Zaragoza, Valencia, Barcelona, dan Atletico Madrid, kesemuanya melihat Villa sebagai seorang pemain yang menyerahkan jiwa dan raganya untuk bola sepak. David Villa sememangnya seorang ikon.

Legenda bola sepak Sepanyol ini dikurniakan dengan kepantasan yang digunakan sebaiknya bagi menipu pergerakan dan mengelak dari kawalan pemain lawan.

Pemain yang digelar ‘El Guaje’ ini juga sangat sinonim dengan kemahirannya membelakangi pemain lawan sebelum melakukan ‘twist’ untuk menjaringkan gol yang berkelas.

David Villa mungkin dilihat lebih berjaya di Barcelona, dengan meraih beberapa kejayaan yang sangat menakjubkan seperti trofi UCL, La Liga, Copa del Rey, dan sebagainya, selain menjadi salah seorang pemain dalam trio terbaik bersama Lionel Messi dan Pedro.

Namun begitu, jika ditolak tepi jumlah trofi, karier yang membawa dirinya ke kemuncak yang sebenar adalah ketika bersama Valencia.

Perjalanan menyertai Valencia

Villa mula mengorak langkah dalam pentas bola sepak Sepanyol ketika bersama Sporting Gijon sebelum berpindah ke Real Zaragoza.

Di Real Zaragoza, beliau menjadi pemain tunjang dalam membawa pasukan memenangi Copa del Rey buat kali keenam pada tahun 2004.

Dalam perlawanan akhir menentang Real Madrid, Villa menjaringkan dua gol. Ini membuka mata kelab-kelab lain, dan Valencia pantas menandatangani Villa dengan nilai perpindahan sebanyak €12 juta.

Hari-hari di Mestalla

Di Valencia, El Guaje menjadi kesayangan peminat sejak mula dibawa masuk lagi.

Musim pertamanya sahaja, beliau berjaya meledak 25 gol, sekaligus meletakkannya sebagai ‘debutant’ terbaik dalam sejarah kelab Valencia.

Saban minggu, kemunculan David Villa dalam kesebelasan utama Valencia sentiasa memberikan satu mimpi buruk kepada penjaga gol di dalam La Liga.

El Guaje juga mencapai prestasi yang sangat membanggakan ketika digandingkan bersama Fernando Morientes. Pada musim 2006/07, gandingan ini berhasil menyumbangkan sebanyak 43 gol.

12 hantaran gol daripada David Villa juga menjadikannya sebagai pemain tertinggi yang merekodkan hantaran gol bagi musim itu.

Sepanjang 5 tahun di Valencia, Villa hanya berjaya meraih trofi Copa del Rey pada tahun 2008. Ketika ini juga gandingannya bersama Juan Mata dan David Silva sangat memberi kesan kepada Valencia.

Pengaruh David Villa ketika zamannya di Valencia sangat besar. Sebelum meningkatnya Atletico Madrid, pasukan ini sentiasa menjadi pengacau kepada duopoli Barcelona dan Real Madrid.

Secara keseluruhannya, sebanyak 128 gol berjaya diledak sepanjang 5 tahun bersama Valencia. Ketika era kemuncaknya di Valencia ini juga, hanya Samuel Eto’o yang menjaringkan lebih banyak gol daripada dirinya.

Tamat era Villa di Valencia

Menjelang kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, tidak mengejutkan apabila David Villa dipilih sebagai pemain dalam skaud utama bersama Fernando Torres.

Di akhir kejohanan, Villa menjadi penjaring terbanyak kejohanan dan menjadi kunci kepada Sepanyol muncul juara buat kali pertama dalam sejarah.

Selepas meraih detik yang cemerlang bersama Sepanyol, Villa akhirnya keluar daripada Valencia dan menyertai Barcelona pada musim 2010/11 dengan yuran perpindahan sebanyak €40 juta.

Barcelona di bawah kendalian Pep Guardiola ketika itu adalah salah sebuah skuad terbaik yang pernah disaksikan dalam bola sepak moden dan Villa merupakan salah seorang daripadanya.

Kehilangan beliau di Mestalla sangat dirasai, penyerang yang datang berganti-ganti. Namun hingga ke hari ini, Valencia masih belum ada pengganti yang boleh memikul peranan serupa yang dilakukannya sebelum itu.

Baca yang lain