Kisah Di Sebalik Gambar Crespo Menatap Medal Seperti Baru Pertama Kali Dapat

Pada 17 tahun yang lalu, 18 Disember pada 2006, Hernan Crespo meraikan kejayaan menjadi juara Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea.

Di kala pemain lain sibuk menari, minum bir keraian, Crespo mengambil masa itu untuk duduk di satu sudut di bilik persalinan.

Dia menatap medal kejuaraan itu dengan penuh teliti. Seolah olah itulah medal pertama dalam hidupnya. Sedangkan sebelum itu dia sudah banyak memenangi piala.

Sebenarnya, Crespo menganggap medal yang ini sebagai paling istimewa. Ianya simbol kebangkitan Crespo selepas kekalahan dramatik di tangan Liverpool dalam final UCL 2005. Di mana tak seorang pun sangka Milan akan terlepas kejuaraan setelah mendahului 3-0 pada 45 minit pertama.

Skuad Milan ketika itu bukan calang calang. Ianya antara skuad paling lengkap dalam sejarah kelab dunia.

Perkara itu diakui sendiri Crespo beberapa tahun kemudian. Di mana kesan kekalahan di final UCL 2005 itu memberikan kesan kepada kesihatan mentalnya. Dia hampir sahaja bersara daripada bola sepak kerana sudah hilang keseronokan pada sukan itu.

Dia menganggap bola sepak itu terlalu kejam. Terutama sekali selepas dia menjaringkan 2 gol pada aksi final tersebut di Istanbul. Dan keesokan hari selepas final satu dunia bercerita tentang kegagalan AC Milan.

Media di Itali yang terkenal dengan mulut lancang mereka, banyak agensi berita di sana turut mempersenda. Mereka menganggap AC Milan simbol aib Serie A pada masa itu berdepan dengan pasukan bukan pilihan Liverpool yang rata rata bermain dengan pemain pemain muda.

Ia seperti satu dosa besar untuk Milan kalah seperti itu. Bukan sahaja Crespo, ramai lagi pemain lain yang mengalami kesan yang sama pada mental mereka. Mengambil masa lama untuk pulih. Sukar untuk menjelaskannya kerana kita bukan pemain profesional seperti mereka.

Yang kita tahu cuma cakap, ala rilekslah, kalah final takkanlah terus terganggu mental.

Carlo Ancelotti sendiri mengakui dia masih dihantui oleh kekalahan di final itu walaupun selepas kekalahan itu dua kali Ancelotti membalas dendam kepada Liverpool, pada 2007 bersama Milan dan kemudian pada 2022. Tetapi menurutnya, luka itu masih mendalam.

Crespo berkata: “Kesakitan yang dirasa terlalu teruk. Namun inilah sebabnya kita menyukai sukan bola sepak. Kerana sukan ini bukan matematik.

“Kesakitan itu menguasai diri lebih daripada rasional menerima kekalahan dalam bola sepak. Perkara yang mungkin berlaku boleh berlaku, ianya di luar kawalan kamu.

“Hari itu, dunia saya buta [pandangan gelap], saya tak ingat apa apa [ketika Liverpool meraikan penalti kemenangan].”

“Sukar saya menerimanya, kerana saya bermain salah satu permainan terbaik dalam karier saya. Namun masih belum cukup untuk bergelar juara hari itu. Detik itu benar benar menghentam seluruh ego saya.

“Pada detik itu juga saya beritahu diri sendiri, ok cukup, saya nak berhenti, saya dah tak nak bermain bola sepak lagi.

Crespo langsung tidak boleh memikirkan perkara positif daripada perlawanan itu. Yang sebenarnya banyak. Dia pemain yang sangat cemerlang, kemudian beraksi dalam salah satu final terbaik UCL. Bak kata beliau, semua itu ditenggelamkan rasa sedih kecewa dan seperti dikhianati.

Dalam kariernya, dia banyak mengalami kekalahan, namun menurutnya, walaupun kalah dia tetap bangga jika dikenang kerana prestasi cemerlang. Apatah lagi menjaringkan 2 gol pada final UCL.

“Saya sentiasa mahu berada dalam buku sejarah bola sepak. Membuat sesuatu yang orang akan ingati. Ketika di Istanbul, ianya pengakhiran paling teruk. Inilah satu satunya cara untuk menelah keperitan ini, dengan berhenti bermain.”

Crespo kemudian kembali semula ke Chelsea setelah musim pinjamannya di Milan tamat musim itu. Dan ketika di Chelsea dia dibantu oleh Jose Mourinho dan staf kejurulatihan, serta rakan rakannya untuk bangkit.

Dan musim berikutnya, bola sepak ternyata tidak selalu kejam untuk beliau. Dan dia menjadi juara EPL bersama Chelsea.