Kisah Di Sebalik Kejayaan India Menjulang Piala Thomas: Mentaliti, Motivasi Dan Kepimpinan

Pasukan badminton India mencipta sejarah dengan menjuarai Piala Thomas buat pertama kali, setelah mengejutkan pasukan paling berjaya dalam Piala Thomas, dan juga juara bertahan, Indonesia dengan skor 3-0 di final di Bangkok, Thailand.

Dalam 73 edisi Piala Thomas sebelum ini, India tak pernah mara ke final walau sekali pun. Jadi, apabila mereka menjadi juara pada percubaan pertama mereka dalam final, ianya detik luar biasa.

Pasukan lelaki India tidak mempunyai banyak sejarah dalam Piala Thomas. Walaupun pada era moden mereka banyak mencipta nama secara persendirian. Tetapi secara berpasukan, India seringkali dianggap pelengkap jadual.

Tetapi kali ini kisah mereka berbeza. Kesemua pemain pasukan lelaki India akan dijulang sebagai legenda.

Dalam perlawanan perseorangan pertama, Lakshya Sen bangkit daripada ketinggalan pada set awal menentang pemain nombor lima dunia Anthony Ginting untuk memberikan pendahuluan 1-0 kepada India.

Seterusnya, gandingan Satwik Sairaj Rankireddy/Chirag Shetty bangkit daripada ketinggalan empat mata pada set kedua menentang juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan, yang kali ini bergandingan dengan Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Kevin adalah pemain nombor satu dunia, tetapi pasangannya, Marcus Fernaldi Gideon, telah diketepikan kerana menjalani pembedahan beberapa minggu lalu. Namun mereka masih dianggap beregu sangat kuat.

Kemenangan Rankireddy/Shetty meningkatkan kelebihan India ke atas Indonesia kepada 2-0.

Penentuan kemudian terletak pada bahu pemain perseorangan kedua India dan bekas pemain nombor satu dunia, Kidambi Srikanth, dan dia tidak tewas sepanjang kejohanan.

Pada satu ketika dia nampak sukar mengendalikan perasaan gemuruh. Namun ketika dia mendapat rentak, dia terus memecut laju dan memberikan kejayaan manis buat negaranya.

Piala Thomas dinamakan sempena George Alan Thomas, pemain Inggeris pada tahun 1900-an. Dialah yang mencadangkan idea kejohanan kejohanan badminton, serupa dengan Piala Dunia dalam bola sepak dan Piala Davis dalam tenis.

Sejak kejohanan bermula pada 1948, India hanya layak ke pusingan akhir sebanyak 13 kali.

Setakat ini, kejuaraan Piala Thomas hanya bertukar tangan antara lima negara ini: China, Malaysia, Indonesia, Jepun, dan Denmark.

Namun, dengan kemenangan ini, India menjadi negara keenam yang berjaya menembusi saf elit kejuaraan. Lebih menarik mereka berjaya memasuki slot senarai juara mengatasi Korea Selatan yang memiliki sejarah badminton yang jauh lebih luar biasa daripada India.

India menyertai kejohanan yang disertai 16 negara dengan pemain badminton terbaik dan berani. Menurut jurulatih mereka, pemain pemain mereka malah memberikan nama  kumpulan WhatsApp dalaman mereka: “We’ll Bring It Home”.

Ianya ternyata bukan sekadar omong kosong. Tetapi setiap kali mesej whatsapp masuk, mereka akan melihat ikrar itu di telefon pintar mereka.

Dalam kumpulan whatsapp tersebut tak pernah sekali mereka mentertawakan nama kumpulan itu. Kerana mereka menang benar benar mahu membawa pulang Piala Thomas kali ini.

Pemain India mungkin satu-satunya pasukan yang muncul dalam kejohanan itu dengan memakai jersi Yonex biasa ataupun bukan rekaan khas.

Ini kerana mereka tidak mempunyai penaja rasmi. Mungkin kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada perubahan dan mencetuskan minat penajaan kepada sukan itu. Sebaris dengan sukan kriket atau hoki selepas ini.

Pasukan ini bukan pilihan. Malah kisahnya mirip kepada kisah Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris 2015. Mereka menjadi juara kerana mereka sangat liat dan pemain memiliki mentaliti yang betul serta kurang melakukan kesilapan.

Keadaan ini membuatkan pasukan India kelihatan langsung tidak ada tekanan sepanjang kejohanan. Kecuali rasa gugup oleh Srikanth pada pusingan penentuan. Itu biasalah kan?

Sebelum perlawanan akhir, India bermain menentang negara yang mempunyai tradisi kemenangan iaitu Malaysia dan Denmark – dan mereka mampu menewaskan mereka.

India yang terkenal dengan kegilaan kriket — sukan badminton masih jauh popularitinya. Difahamkan sukan ini hanya banyak dimainkan di Hyderabad dan Bangalore.

Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Badminton telah memberikan kejayaan manis buat negara India. Menjulang negara yang memiliki penduduk paling padat di dunia itu ketika atlet mereka menjadi juara All England dan membawa pulang dua pingat Olimpik.

Mereka juga berjaya berada di kelompok teratas dalam beberapa kejohanan dunia. Namun kesemuanya dilakukan secara individu.

Sudah tiba masanya badminton India mengorak langkah secara berpasukan jika mahu mencipta nama dalam Piala Thomas.

Pasukan badminton lelaki India yang diperkuatkan 10 pemain dilihat membuktikan kejayaan mereka tidak terlepas daripada keazaman dan strategi kolektif.

Dua daripada pemain paling senior India, HS Prannoy dan Kidambi Srikanth, merupakan dua watak penting dalam  membina pasukan kelompok pemain agar membawa mentaliti yang betul dalam kejohanan kali ini.

Membentuk mentaliti berpasukan: Ini bukan kejohanan untuk mencari juara individu kata Prannoy

Walaupun Lakshya Sen dianggap bintang utama India ketika ini. Namun dia tidak pernah merasakan dirinya sebagai super star. Dia sangat menghormati Prannoy dan Kidambi sebagai pemimpin dalam kumpulan ini.

“Saya tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan seperti ini dalam kerjaya saya sebelum ini,” kata Prannoy kepada BBC yang menganggap pasukan kali ini sebagai yang terbaik pernah disertainya.

“Minggu demi minggu, apabila anda bermain untuk dari hati, kadang-kadang sukar untuk tiba-tiba berfikir sebagai satu kumpulan atau melepaskan cita-cita peribadi.”

“Saya dan Srikanth awal-awal lagi membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan pasukan, dengan pemain lain, di mana semua orang boleh bercakap,” jelasnya.

“Ada beberapa pemain yang senyap dan dalam pasukan, ada beberapa pemain ego boleh meletup dengan cepat. Itu berlaku pada masa lalu.”

“Saya berkata kepada mereka: di sini tiada mata ranking untuk dimenangi, tiada wang hadiah, tetapi hanyalah untuk mereka yang dahagakan piala. Itulah yang semua orang mahukan, dan semangat itu mendorong kami,” kata Prannoy.

Seorang lagi individu penting dalam kebangkitan badminton India adalah Pengurus pasukan, Vimal Kumar. Ketika para pemain berlari melompat meraikan kejayaan dia kelihata agak emosi meraikannya.

Sebagai bekas jurulatih kebangsaan, Kumar secara senyap-senyap bekerja di belakang tabir untuk memangkin generasi baharu pemain.

Dia berasal dari era badminton India di mana ketika itu India ketandusan bakat. Dia selalu bermain dalam dua acara serentak. Tampil dalam perseorangan dan beregu.

Dia mengakui, ketika bergelar pemain, dia tidak nampak bayang pun Piala Thomas akan pernah mereka menangi.

“Saya memegang trofi itu di tangan saya hanya untuk memberitahu diri saya bahawa ini benar-benar berlaku pada har ini. Jika anda bertanya kepada saya, saya akan meletakkan kemenangan ini di atas setiap kejuaraan Olimpik dan Seluruh England yang telah kita menangi.”

Dia menjelaskan bahawa kejayaan India dalam olimpik dan All England telah banyak membantu membangkitkan semangat badminton India yang akhirnya mengeluarkan keyakinan yang tertinggi dalam kalangan pemain.

Berbanding negara lain, India tidak memiliki sistem pembangunan yang baik. Mereka hanya bergantung kepada individu seperti Kumar yang berkerja atas semangat patriotik dan cintanya kepada sukan itu.

“Oleh kerana kita memenanginya sebagai satu pasukan melalui usaha kolektif dan kepercayaan,” katanya.

Titik tolak kepada sesuatu lebih besar

Sepanjang dekad yang lalu, badminton wanita – iaitu Saina Nehwal dan PV Sindhu – telah berada di barisan hadapan badminton India.

Manakala badminton lelaki, walaupun kaya dengan bakat, sebahagian besarnya masih berada di bawah radar. Mereka tidak dibangunkan dari awal. Ramai bakat menyerlah dan menerima latihan formal yang lewat.

Pada perlawanan akhir Ahad, pemain wanita legenda mereka Sindhu, mengetuai pemain wanita yang lain tampil memberi sokongan. Pasukan wanita telah tewas pada suku akhir Piala Uber – dan kebanyakan mereka sudah bersiap sedia untuk pulang dari Bangkok.

Tetapi tiket kapal terbang mereka telah dijadualkan semula oleh Persatuan Badminton India supaya mereka dapat menyokong pasukan lelaki serta menentang keriuhan daripada penyokong pasukan Indonesia.

India tidak ramai penyokong. Kerana badminton bukan kriket!

“Kami mahukan sokongan mereka [pasukan wanita], kami mahu mereka kekal dan mereka melakukannya,” kata Prannoy.

“Ini adalah detik besar untuk badminton India dan bukan hanya seorang atau dua pemain. Sebagai sebuah negara, kami telah mengukir nama negara kami sebagai yang terbaik di dunia.

“Kami tidak pernah melakukan pencapaian seperti ini sebelum ini dalam badminton. Ada keindahan kerana pingat emas ini dan segala yang dilambangkannya adalah milik kita semua,” katanya.

Beliau yakin kejayaan Piala Thomas ini akan menjadi titik tolak kepada masa depan lebih baik badminton India termasuk kejayaan pasukan wanita dalam Piala Uber di masa akan datang.

Baca yang lain