Kisah Duo Legenda Zamorano-Salas Yang Menjadi Inspirasi Chile Pada Piala Dunia 1998 Sehingga Kini

Bagi peminat bola sepak era 90-an, Chile memiliki gandingan yang luar biasa iaitu Ivan Zamorano dan Marcelo Salas.

Mereka ibarat isi dan kulit dalam pasukan kebangsan Chile, sehingga negara itu mulai digelar sebagai kuda hitam dalam kejohanan antarabangsa.

Latar

Kedua dua pemain memiliki latar belakang keluarga yang berbeza, Ivan Zamorano berasal dari keluarga sederhana. Sama seperti kisah beberapa pemain latin lain yang terpaksa membahagikan waktu bermain bola sepak dengan bekerja pada usia muda untuk membantu ekonomi keluarga.

Zamorano menyatakan bahawa ketika dia masih kecil, bola sepak bukanlah keutamaan, kerana dia hidup dalam suasana yang serba kekurangan.

Berbeza dengan Marcelo Salas yang berasal dari keluarga kaya. Ayahnya adalah seorang ahli perniagaan terkenal di kawasan Atamaca.

Zamorano berkata: “Kami bergelut dari segi kewangan. Saya akan menolong keluarga saya dengan melakukan apa sahaja pekerjaan yang pelik untuk budak seusia saya – membersihkan kereta, mencuci tingkap rumah orang, apa sahaja yang akan saya akan dapat bayaran.”

“Kami akan menggunakan wang itu untuk membeli makanan. Saya hanya mahu bermain bola sepak, tidak ada masalah lain.”

“Saya akan bermain selama mungkin di taman dan di jalanan bersama rakan-rakan saya. Di kawasan kejiranan kami masa tu ada ramai anak lelaki seusia saya dan kami akan bersaing dengan orang lain di sekitar.”

“Ayah saya akan datang mencari saya ketika gelap untuk menjemput saya pulang kerana kawasan ini tidak selalu selamat. Ayah tak pernah marah kalau saya balik lambat kerana bermain bola sepak, berbanding buat perkara lain yang tidak bagus.”

“Walaupun hidup susah, tetapi kami gembira. Kami mempunyai masa kecil yang bahagia dan keluarga saya mendorong saya untuk bermain bola sepak. Mereka tahu saya mempunyai bakat.”

Pada usia lapan tahun, Zamorano dijemput untuk bermain dalam aksi B-10 tahun untuk sebuah kelab tempatan. Pertumbuhan bakat pada usia awal dan sikap kanak kana di situ yang membara bara mendorong jurulatih tempatan Iván Sánchez – yang menghabiskan banyak masa untuk mendapatkan bakat untuk kelab di wilayah Atacama – dan sedia memberikan Zamorano yang dipanggil Bam Bam peluang.

Tujuh ratus kilometer di Temuco, sebuah bandar bersejarah, seorang kanak kanak dengan nama José Marcelo Salas Melinao bergabung dengan Zamorano dalam keadaan yang sebenarnya dianggap tidak ideal kalau dari sudut ekonomi dan politik.

Ibu bapa Salas sama sekali berbeza dengan keluarga bakal gandingannya di masa depan otu. Keluarganya agak selesa dan bapanya menghabiskan banyak masa lapang dengan anaknya.

Ketika itu ramai ibu bapa yang kaya memanjakan anak mereka untuk tidak melakukan perkara yang susah. Namun ayah Salas berbeza. Dia mahu anaknya menjadi maskulin ataupun jantan sebenar.

Lalu dia mendorong Salas bermain bola sepak dan mencari akademi bola sepak di sekitar agar Salash tidak lembik. Oleh sebab itu Salas sampai ke akhir kariernya dikenali dengan sikap lasak. Atas asuhan dan prinsip ayahnya, bahawa lelaki itu harus keras dan melawan.

Walaupun kedua dua mereka daripada latar yang berbeza, namun mereka ada impian yang sama iaitu mahu bermain untuk negara mereka di lapangan bola sepak di pentas tertinggi.

Di padang bergandingan jua

Di atas padang, Salas merupakan penyerang yang lincah, mengetuai jentera serangan. Ya, walaupun latar keluarga mereka sangat bebeza dari segi ekonomi dan sosial, namun di lapangan bola sepak, tiada perbezaan seperti itu wujud. Yang ada hanyalah semangat dan keinginan mereka berjuang demi lencana di dada. Tak kira kau anak orang kaya atau orang susah.

Ivan Zamorano pula berada di posisi sokongan beliau di tengah. Menjadi pemain yang sangat liar dan lasak memenangi duel. Zamorano lebih fizikal berbanding dengan Salas.

Kedua dua pemain ini pertama kali bergandingan pada 1994. Di mana Salas yang ketika itu mewakili Universidad de Chile, dipanggil pertama kali ke kem kebangsaan.

Dalam aksi berdepan Argentina, pada perlawanan persahabatan, kedua dua pemain ini menjaringkan gol dalam thriller 6 gol. Yang berakhir dengan seri 3-3.

Sejak dari hari itu, pasangan ini menjadi perhatian pengurus mereka.

Kedua duanya digandingkan sekali lagi pada aksi berdepan Mexico pada Mac 1995. Di mana Zamorano mencipta assist kepada gol Salas.

Dan seterusnya nama mereka terus digandingkan bersama. Oleh kerana mereka tidak bermain dalam pasukan kesayangan media seperti England, Brazil dan gergasi lain seperti Itali, Argentina dan sebagainya, gandingan ini mengambil masa yang lama untuk memberitahu dunia bahawa mereka duo yang berbahaya.

Kemuncak era Zamorano-Salas

Pada 1998, gandingan Zamorano-Salas semakin menjadi tumpuan. Mereka bermain dalam aksi kelayakan Piala Dunia 1998 dan menjadi gandingan yang memusnahkan Ecuador.

Kehebatan mereka berterusan sehingga kelayakan Piala Dunia 1998. Zamorano dan Salas sekali lagi terlibat dalam gol Chile dalam memusnahkan Ecuador 4-1.

Zamorano menjaringkan 2 gol manakala Marcelo Salas menjarinngkan 1 gol dan 1 assist kepada Zamorano pada ketika itu.

Seterusnya mereka berdua konsisten menyumbangkan gol sama ada menjaringkan gol atau assist ketika bersama dengan Chile. Dan prestasi cemerlang mereka membolehkan Chile mara ke Piala Dunia Perancis 1998.

Paling gila, mereka berdua muncul sebagai penjaring terbanyak zon kelayakan Amerika Selatan dengan masing masing menjaringkan 12 dan 11 gol. Gandingan mereka mengumpul 23 gol dalam kelayakan. Sudah cukup untuk memberitahu dunia bahawa salah satu gandingan paling bahaya ketika itu ada di Chile.

Ketika Piala Dunia 1998, ianya menjadi kemuncak karier antarabangsa mereka. Di mana kedua duanya menjadi pasangan yang digeruni.

Ivan Zamorano dan Marcelo Salas kemudian membantu Chile mara ke pusingan 16 akhir selepas menamatkan saingan di tangga kedua dalam kumpulan B di belakang Itali. Chile menyingkirkan Austria dan Cameroon daripada persaingan ke kalah mati.

Pada aksi pembukaan berdepan dengan gergasi Itali, Ivan Zamorano menjaringkan 2 gol.

Itali mendahului menerusi Christian Vieiri pada minit ke-10.

Namun Zamorano membalas 2 gol pada minit ke-45 dan ke-50. Mujur Itali diberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Roberto Baggio.

Dalam aksi kedua menentang Austria, Salas meledak pula. Namun malangnya mereka terikat sekali lagi kerana jaringan lewat pasukan lawan.

Aksi ketiga berdepan Cameroon, mereka berdua tidak menjaringkan gol. Pasukan Chile seri 1-1 dengan jaguh Afrika itu.

Di pusingan kalah mati, Chile berdepan dengan Brazil yang membariskan generasi emas mereka. Cesar Sampaio ketika itu benar benar membunuh keyakinan mereka dengan dua gol pertamanya.

Ronaldo Fenomeno menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Marcelo Salas menjaringkan 1 gol untuk cuba menghidupkan impian pasukannya. Malang sekali, hanya seminit selepas gol itu, Ronaldo sekali lagi meledak.

Walaupun cerita mereka di Piala Dunia berakhir di tangan Brazil, namun mereka menjadi kebanggaan rakyat Chile.

Malangnya, pada 2002, Chile gagal mara ke Piala Dunia. Maka berakhirlah kisah gandingan legenda ini. Zamorano yang memutuskan untuk bersara pada tahun tersebut.

Salas pula terus bersama pasukan Chile untuk enam musim berikutnya, kerana dia lebih muda daripada Zamorano.

Di Chile, Zamorano-Salas menjadi gandingan yang memberikan inspirasi kepada ramai anak muda mereka. Terutama sekali generasi yang ada pada hari ini.

Zamorano menjadi salah seorang penjaring prolifik di Real Madrid. Manakala Salas memiliki rekod luar biasa di Itali.

Kedua dua mereka sentiasa menjadi rujukan jurulatih akar umbi di Chile untuk memberitahu generasi muda mereka bahawa tiada yang mustahil di dalam bola sepak.