Robert Lewandowksi sudah menjadi legenda bola sepak yang hidup. Beliau merupakan salah seorang no.9 terbaik dalam generasinya.
Namun ada satu cerita menarik tentang Lewandowski. Di mana beliau sebenarnya hampir menyertai Blackburn Rovers ketika Sam Allardyce menjadi pengurus.
Lewandowski sangat berminat untuk datang ke Ewood Park pada masa itu. Tetapi kejadian alam telah menghalangnya.
Pada 2010, Blackburn berada di kelompok pertengahan liga. Sam Allardyce mahu pasukan tersebut menjadi lebih kuat.
Blackburn ada pemain yang kreatif seperti Morten Gamst Pedersen dan David Dunn. Tetapi mereka tidak ada penyerang no.9 yang benar benar tajam.
Pada musim 2009/10, Blackburn menggunakan pemain seperti Jason Roberts, Franco Di Santo, Nikola Kalinic, dan David Hoilett sebagai penyerang utama. Mereka hanya menjaringkan 8 gol sahaja di kalangan mereka.
Maka Sam Allardyce telah mendapat laporan dari pasukan scoutingnya yang diketuai oleh Martyn Glover – tentang pemain Lech Poznan bernama Robert Lewandowski. Selepas meneliti laporan dan menyaksikan beberapa rakaman aksi pemain itu, Big Sam yakin Lewandowski akan menjadi pelengkap kepada pasukannya.
Glover melaporkan bahawa Lewandowski baru sahaja menjaringkan 21 gol daripada 34 perlawanan dalam semusim. Big Sam yakin Lewandowski akan menjadi pemain yang berbisa seperti Alan Shearer.
Glover berkata: “Kami banyak memantau Lewandowski dan kami tahu kami sedang berunding dengan penyerang hebat. Kami kemudian membawa Sam Allardyce sendiri menyaksikan dia beraksi bersama Lech Poznan.”
“Perbincangan dengan presiden kelab mereka berjalan lancar. Kami duduk berunding dengan Robert selepas satu perlawanan dan membentangkan projek kami untuk meletakkan beliau dalam pasukan.”
“Selepas itu, entah macamana ada perkara yang tidak kena berlaku. Dia masa tu dijadualkan terbang ke UK. Namun kesemua penerbangan dari Poland ke UK dibatalkan kerana letusan gunung berapi yang menyebabkan ribut debu.”
Glover kemudian menyatakan, pengerusi Blackburn pada masa itu acuh tak acuh dengan usaha membawa masuk Lewandowski kerana berpendapat jumlah diminta Lech Poznan terlalu mahal untuk seorang penyerang Poland.
Itu yang membuatkan mereka telah memberikan ruang kepada Dortmund memintas mereka.
Reminder that Blackburn were a volcanic ash cloud away from signing Robert Lewandowski back in 2010!
— Footy Accumulators (@FootyAccums) May 22, 2021
“Seterusnya Pengerusi Kelab, John Williams tidak yakin reputasi Poland dalam melahirkan penjaring prolifik dan dia mempersoalkan permintaan harga £3 juta yang kemudian naik kepada £4 juta,” kata Glover.
“Yang lebih buruk, pemain itu ada kawan yang bermain di Borussia Dortmund yang kemudian berjaya menarik perhatiannya sebelum sempat kami melakukan apa apa. Dia menyertai Dortmund dengan nilai perpindahan sama seperti yang mereka minta dari kami.”
Pada 2017, Lewandowski berkata: “Saya tak boleh terbang ke Blackburn kerana letusan gunung berapi. Saya sangat mahu ke sana, nak melihat macamana keadaan kelab itu. Kerana saya tak pasti ke mana destinasi saya selepas ini. Saya nak tengok sendiri keadaan kelab dan menentukan kelab mana terbaik untuk saya.”
“Mungkin, jika saya tiba di sana masa tu, melihat kelab mereka [Blackburn], stadium dan segalanya, rasanya Blackburn akan menjadi pilihan pertama saya.”
Namun Lewandowski ternyata menyertai kelab yang tepat. Beliau membangun dengan hebat sekali bersama dengan Borussia Dortmund terutama sekali di bawah Jurgen Klopp.