Nama Mike Tyson antara yang gah di bibir peminat sukan tinju lewat 80-an dan era 90-an. Namun kegemilangan dan keagungan beliau berakhir di tangan Evander ‘The Real Deal’ Holyfield,
Pertarungan Tyson-Holyfield 1
Ianya dianggap satu pertarungan kancil dan gergasi. Tyson adalah petinju yang dianggap tidak terkalahkan ketika itu. Memiliki pengikut yang sangat ramai di seluruh dunia.
Tyson pernah ditangkap polis 38 kali pada usianya belum mencecah 14 tahun. Mengembangkan bakatnya dengan kemarahan di dalam dirinya yang dibentuk oleh suasana di lorong Brooklyn.
‘Di lorong ini kami hidup dalam undang-undang rimba. Membunuh ataupun dibunuh. Dan saya mampu hidup di sini.’
Mata tyson memandang Holyfield penuh kebencian. Di dalam fikirannya, ‘ini adalah mangsa terbaru aku.’
Tyson menjadi kegerunan sesiapa sahaja kerana kekuatan dan tenaga yang ada. Beliau memang berbakat. Ramai lawan yang lebih besar dan tinggi tumpas di tangannya.
Kelajuan tumbukan bertali arus, seakan-akan terlalu banyak tenaga terkandung di otot lengan dan tangan beliau.
Sebelum pertemuan ini, lebih dari separuh daripada pertarungan yang beliau dimenangi dengan KO pada pusingan pertama.
Evander Holyfield lebih dikenali dengan watak protagonis dalam pertandingan kali ini. Seorang pemuda yang kuat beribadat dan sentiasa berdoa di mana sahaja. Merendah diri dan tidak bercakap besar.
Menggelarkan dirinya sebagai The Real Deal. Gelaran yang membuatkan Tyson tergelak besar di atas meja makan.
Beliau adalah underdog. Bookie meletakkan Evander Holyfield pada kadar 25 nisbah 1 kerana Holyfield akan menentang manusia paling digeruni di atas planet ke-3 dalam galaksi bima sakti.
Lelaki itu adalah Iron Mike.
Pegawai pertandingan mengarahkan Evander untuk menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu kerana beliau ada masalah kesihatan.
Pemeriksaan kesihatan dilakukan sangat teliti kepada Holyfield. Ramai di luar sana meminta agar Holyfield menarik diri kerana Tyson boleh ‘membunuh’ beliau di atas ring itu dengan status kesihatan yang diragui.
Selepas beberapa siri pemeriksaan kesihatan, Holyfield disahkan sihat untuk bertarung.
Pertarungan Tyson-Holyfield 1
Hari pertarungan pun tiba!
Tyson terus melancarkan serangan aresif ke atas Holyfield. Beliau mahu Evander tersungkur seawal yang mungkin. Ramai menjangkakan Holyfield akan KO pusingan awal.
Namun ia tidak berlaku, Holyfield bertahan menghabiskan pusingan pertama dan membuatkan ramai kaki judi tewas kerana bertaruh beliau akan KO pusingan pertama.
Pada pusingan kedua, Holyfield mengejutkan Tyson dengan satu tumbukan tangan kiri tepat. Tyson kali ini sukar melakukan serangan ke atas Holyfield.
Tyson mengakhiri pusingan kedua dengan wajah hairan dengan gaya permainan Holyfield yang tiba-tiba menjadi ampuh dan sukar untuk diserang.
Pusingan ke-3, Holyfield mulai memilih gaya permainan Buster Douglas. Lelaki sasa yang pernah menewaskan Tyson pada 1990.
Cara permainan Holyfield bertumpu kepada memberikan tekanan kepada Tyson dengan clinch yang bijak.
Holyfield mengasak Tyson ke tepi gelanggang dan menggunakan ketinggian beliau untuk menyerang Tyson. Satu tumbukan deras sekali hinggap di muka Tyson. Kali ini, mata kiri Tyson bengkak.
Holyfield semakin yakin dan menjadi dominan. Ramai penonton mulai menyorak nama Holyfield. Tyson hilang fokus dan banyak bertahan selepas itu.
Pada pusingan ke-6 Tyson menerima satu hentaman kuat dari tangan Holyfield yang membuatkannya semakin hilang visi di dalam gelanggang. Tyson ditumbuk sehingga terduduk oleh Holyfield.
Pada pusingan ke-7, Tyson diserang dengan satu lagi tumbukan deras di kepala yang membuatkannya hampir rebah. Mata kirinya semakin bengkak dan pengadil perlu memastikan sama ada Tyson masih OK atau tidak.
Pusingan ke-10 adalah malapetaka bagi Tyson. Beliau sudah tidak bermaya. 23 tumbukan dilepaskan Holyfield ke arah beliau yang kelihatan tidak bermaya. Mujurlah loceng menyelamatkan beliau daripada KO.
Hanya 37 saat pada pusingan ke-11, Tyson ditumbuk dan diasak sehingga ke tepi gelanggang. Pengadil melihat Tyson sudah seperti hilang respon dan menghentikan pertarungan.
Tyson berkata:
‘Saya terperangkap dalam keadaan sangat aneh’
Siapa sangka, malam itu Tyson hilang tali pinggang kejuaraan dan ego dalam gelanggang.
Tyson-Holyfield 2
Selepas pertarungan pertama, mereka bersemuka sekali lagi dalam pertarungan ke-2 yang digelar The Sound and The Fury. Misi Tyson adalah untuk mengembalikan maruah yang tercalar.
Namun, ketika pusingan ketiga berbaki 40 saat Tyson menggigit telinga kanan Holyfield setelah hook tangan kirinya gagal mengenai sasaran.
Telinga Holyfield terkoyak dan ada cebisan yang jatuh di atas gelanggang. Holyfield melompat kesakitan. Telinga kanannya mengeluarkan banyak darah. Pengadil Mills Lane menghentikan pertarungan.
Tyson membantah dan mencabar Holyfield untuk meneruskan pertandingan dan menolak lawannya. Dendamnya masih belum terbalas.
Telinga Holyfield diperiksa dan doktor menyatakan Holyfield boleh meneruskan pertarungan.
Lane meneruskan pertarungan selepas doktor ring, Alias Ghanen merawat dan menghentikan pendarahan telinga Holyfied. Pengadil memberikan amaran kepada Tyson untuk tidak mengulangi kesalahan seperti itu.
Selepas pertarungan disambung, Tyson terus cuba menggigit telinga kiri Holyfield pula. Pusingan ke-3 pun berakhir.
Lane berbincang dengan beberapa juri dan memutuskan untuk disqualify Mike Tyson. Holyfield diumumkan sebagai juara bertahan WBA kategori Heavyweight.
Gelaran yang dimenanginya 7 bulan yang lalu. Holyfield menuduh Mike Tyson memang sudah merancang untuk menggigitnya. Tyson tidak menggunakan pelindung gigi pada pusingan ke-3.
Holyfield memberitahu pengadil akan hal itu. Tyson memakai pelindung itu dan membuangnya balik. Holyfield berkata:
“Dia membuang pelindung gigi dan menggigit telinga saya. Itu bukan sikap yang menunjukkan keberanian. Itu adalah seorang pengecut memilih jalan keluar yang mudah.”
Tyson mengaku sengaja menggigit karena kesal dengan pengadil yang tidak memberikan Holyfield amaran ketika menanduk Tyson pada pusingan ke-2. Tyson membalas kritikan Holyfield dengan berkata:
‘Dia beberapa kali menanduk saya di pusingan kedua. Tidak ada amaran yang dikenakan ke atasnya. Holyfied bukanlah pahlawan seperti yang dia laungkan.’
Tyson kecewa dan mahu menyerang Holyfield ketika diumumkan dibatalkan dari pertandingan. Ramai polis dan petugas keselamatan meluru menenangkan keadaan.
Tyson didenda USD3 juta dan lesen tinju profesional beliau digantung sehingga 1998. 2 kekalahan Tyson di tangan Holyfield antara detik yang menandakan berakhirnya kegemilangan Iron Mike.
Selepas kekalahan ini, Tyson tewas di tangan beberapa petinju lain seperti Lennox Lewis, Danny Williams dan Kevin McBride.
Sahabat Baik
Tyson menyatakan kekesalan beliau dan memohon maaf kepada Holyfield beberapa hari selepas insiden tersebut.
Pada 2009, mereka dipertemukan dalam rancangan bual bicara Oprah Winfrey dan Tyson membuat pemohonan maaf secara terbuka di televisyen.
“Saya minta maaf. Lelaki ini (Holyfield) sungguh hebat. Saya hanya ingin menyatakan satu penghormatan bagi saya kerana mengenali kamu.”
Holyfield memaafkan Tyson meskipun telinganya terus cacat.
“Perkara terpenting dalam hidup ini adalah memaafkan, dan saya memaafkan kamu Mike.”
Ucap Holyfield sambil menjabat tangan Tyson. Tyson turut menghadiri upacara pengiktirafan Holyfield sebagai petinju terhebat sepanjang zaman dari Nevada.
Tyson dan Holyfield juga tampil iklan Footlocker pada 2013. Dalam iklan tersebut Tyson mengembalikan potongan telinga Holyfield yang hilang pada 1997.