Tragedi Port Said adalah merujuk kepada tragedi berdarah yang menimpa bola sepak Mesir pada 2012 di Stadium Port Said.
Ia dipercayai menjadi titik tolak kepada kejatuhan bola sepak Mesir sebelum ini. Mereka adalah negara Afrika yang paling banyak trofi Piala AFCON ataupun yang paling berjaya.
Saban tahun mereka melahirkan bintang-bintang bola sepak yang ternama di pentas dunia. Jom ikuti kisah tragedi Port Said dan kebangkitan semula bola sepak Mesir.
Tragedi Port Said
“Ini bukan bola sepak. Ini adalah peperangan dan orang mati di depan mata kita. Adakah nyawa kita ni terlalu murah?”
Itulah luahan lagenda Mesir, Mohamed Aboutrika yang menggigil marah dengan tragedi yang berlaku di Stadium Port Said.
Pada 1 Februari 2012, di Stadium Port Said , Al-Masry menentang Al-Ahly. Perlawanan berakhir 3-1 memihak kepada Al-Masry.
Tetapi kemenangan itu tidak diraikan malah Ultras Al-Masry melancarkan serangan yang menyebabkan 74 nyawa penyokong melayang, kira-kira seribu lagi cedera selepas wisel penamat.
Satu detik hitam untuk bola sepak Mesir dan juga dunia. Penyokong Al-Masry tiba-tiba memasuki padang dan mengejar pemain-pemain Al-Ahly yang bertempiaran lari ke bilik persalinan.
Di luar sana, para penyokong Al-Ahly diserang dan kedua-dua penyokong bertempur di atas padang.
Suar-suar dan segala objek dibaling. Beberapa ultras juga mensasarkan penyokong lawan dengan bunga api dan projectiles.
Jurulatih Al-Ahly, Manuel Jose de Jesus yang membantu Al-Ahly menjulang 6 gelaran liga dan treble telah ditumbuk dan ditendang.
Banyak senjata yang digunakan oleh penyokong Al-Masry termasuk pisau dan batu. Berberapa penyokong yang ditemui mati dengan kesan tikaman atau kesan hentakan yang kuat pada kepala kerana dipukul dan dihentak.
Ada yang ditangkap dan dibuang dari tingkat atas stadium. Ianya adalah kerana sentimen politik yang kuat.
Penyokong bekas presiden Hosni Mubarak telah menjadikan bola sepak sebagai medan untuk mereka mendesak pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) berundur.
Anda boleh baca selanjutnya di sini.
Manuel Jose berkata:
“Bola sepak Mesir telah rosak kerana politik.”
“Ramai polis yang korup di sini!”
Kenapa perlu unsur politik di dalam bola sepak? Itulah persoalan yang dilontarkan oleh ramai pemain Mesir termasuk yang sedang bermain di Eropah.
Polis harus bertanggungjawab!
Kira-kira 500 petunjuk perasaan di Suez melaungkan bantahan di hadapan Ibu Pejabat Polis. Mereka mahukan pihak berkuasa mendakwa pihak polis yang cuai dalam menangani hal tersebut.
Beberapa penyokong yang terselamat mendakwa anggota keselamatan tidak menjalankan pemeriksaan badan seperti biasa di pintu masuk stadium. Penyokong hanya menunjukkan tiket dan diarahkan masuk.
Ianya seakan-akan satu komplot apabila pihak polis langsung tidak kisah akan senjata yang dibawa masuk.
Ada juga yang mendakwa, pintu pagar untuk penyokong pelawat telah di-welding.
Seolah-olah mereka memang sudah merancang mahu mengurung penyokong pelawat di dalam sana.
Polis juga hanya memerhatikan pergaduhan di antara penyokong tanpa cuba meleraikannya.
Beberapa penyokong Al-Ahly cuba melarikan diri melalui pintu stadium namun pihak polis tidak membuka pintu membuatkan mereka terkepung dan ada yang mati kerana tersepit di situ selain daripada dibelasah.
Ramai penyokong Al-Masry mengutuk insiden itu. Antaranya Mohammed Mosleh, yang berkata:
“Apa sudah jadi? Kita sepatutnya meraikan kemenangan bukannya membunuh orang!”
Pengadilan
Lebih 70 defendan didakwa dalam pembunuhan 74 penyokong Al-Ahly. Sembilan daripadanya adalah pegawai polis. 21 hukuman mati telah dijatuhkan.
Di luar mahkamah berlaku pergaduhan di antara keluarga mangsa dan keluarga pesalah.
Ada juga yang menangis ketika dibacakan hukuman mati. Namun begitu, selepas rayuan, sebahagian besar defendan dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh yang berbeza-beza dari 5 hingga 15 tahun. Hanya 11 yang dijatuhkan hukuman mati.
Bola sepak Mesir bergelap
Bola sepak Mesir dihentikan untuk 2 tahun selepas peristiwa Port Said. Liga untuk musim 2011/12 dihentikan serta merta. Liga untuk tahun 2012/13 pula memang tidak dianjurkan.
Kesannya, skuad kebangsaan Mesir berhadapan dengan kesukaran. Mereka sebelum ini merupakan pasukan yang sentiasa menjadi tumpuan di kejohanan Afrika kini lumpuh.
Mereka gagal layak ke Piala AFCON 2012, 2013 dan 2015. Pada tahun 2010, mereka pernah menduduki tangga ke-9 ranking FIFA. Namun selepas itu mereka jatuh menjunam.
Mesir bangkit!
Pada Februari 2017 yang lalu, pasukan yang sememangnya terkenal dengan bola sepak ini bejaya mara ke final Piala AFCON 2017 selepas menewaskan Burkina Faso dalam penentuan sepakan penalti.
Mesir seri 1-1 dalam perlawanan ini namun menang dengan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.
Ironinya kejayaan ini selepas tragedi Port Said yang berlaku pada 1 Februari 2012. Mereka layak ke final pada 2 Februari 2017, sehari selepas ulang tahun peristiwa berdarah tragedi Port Said.
Selepas 5 tahun, mereka bangkit sekali lagi dalam pentas bola sepak dunia melalui kejohanan Piala AFCON 2017.
Mereka adalah negara yang paling berjaya dalam kejohanan ini. Menjuarainya sebanyak 7 kali. 6 Februari 2017, mereka beraksi di final sekali lagi selepas kali terakhir melakukannya pada 2010.
Penjaga gol veteran mereka El Hadary antara wira penting mereka dalam perlawanan separuh akhir. Antara bintang yang turut bermain untuk Mesir kali ini adalah Mohamed Salah dan El Mohamady.
Mesir mendahului menerusi El Neny sebelum wisel penamat separuh masa pertama. Namun mereka tewas di tangan Cameroon hasil kebangkitan separuh masa kedua.
Nkolou menyamakan kedudukan pada minit ke-58 dan Aboubakar menjaringkan gol kemenangan minit ke-87.
Mesir kecewa di final namun mereka sudah memberikan isyarat kepada dunia yang mereka sudah sedia untuk bersaing sekali lagi.
Piala Dunia Rusia 2018
Tiada apa yang lebih manis untuk Mesir daripada berita kemaraan ke Piala Dunia 2018. Essam El Hadary masih berada di dalam pasukan ini selepas menyaksikan banyak peristiwa, jatuh dan bangun bola sepak Mesir.
Penantian beliau untuk ke Piala Dunia akhirnya terlaksana selepas melakukan debut pada 1996 dengan pasukan ini.
Bertempat di Alexandria, Mesir beraksi menentang Congo. Mereka mendahului pada minit ke-62 menerusi Mohamed Salah.
Namun mereka sedikit leka dan membenarkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan, 3 minit sebelum wisel penamat.
Drama perlawanan ini berterusan apabila Mesir dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan. Dan ini detik mereka kembali semula ke Piala Dunia selepas 28 tahun.
Mo Salah scores a 94th-minute penalty to send Egypt to the World Cup for the first time since 1990. Goosebumps. 🇪🇬 pic.twitter.com/llbQ7Qf5pY
— Football Planet (@FoootballPlanet) October 8, 2017