Liga Super China pada satu ketika dahulu sangat luar biasa. Mereka pada satu ketika menawarkan kontrak kosong kepada pemain agar pemain itu sendiri menentukan gaji yang mereka mahukan dan klausa layanan istimewa yang mereka inginkan.
Pada 2016, ratusan penyokong tegar berkumpul di lapangan terbang Shanghai untuk menyambut kedatangan Hulk yang ketika itu masih di puncak kariernya.
Hulk menyertai Shanghai SIPG yang sudah mendapatkan pengurus Sven-Goran Eriksson. Hulk menerima gaji sekitar £46 juta dalam kontraknya yang membolehkan dia meraih £320,000 seminggu selepas cukai.
Enam bulan kemudian, Oscar pula tiba di CSL. Di mana kelab China ketika itu membayar £60 juta kepada Chelsea untuk membeli pemain itu. Dengan gaji mingguannya sekitar £400,000.
Tidak terhenti di situ, nama lebih besar selepas itu, Carlos Tevez menyertai CSL dengan gaji yang tidak masuk akal pada masa itu dengan mencecah £700,000 seminggu.
Tiga lagi nama yang menjadi buruan kelab Eropah iaitu Ezequiel Lavezzi, Alex Teixeira dan Jackson Martinez turut menyertai Liga Super China.
Kebangkitan Liga Super China sesuai dengan cita cita presiden Xi Jinping yang mahu menjadikan negara itu sebagai negara bola sepak. Pada 2011, dia mengumumkan perancangan mahu melihat skuad kebangsaan China menjadi kuasa baharu dalam bola sepak dunia.
Dan dia mahu rancangan itu bermula dari liga super China itu sendiri. Semua syarikat besar yang melabur dalam bola sepak akan diberikan pengecualian atau diskaun cukai yang khas.
Ketika itu banyak syarikat mulai memiliki kelab bola sepak mereka sendiri.
Penguru Chelsea, Antonio Conte memberikan amaran bahawa, kebangkitan bola sepak China di dalam bursa perpindahan pemain bukan sahaja ancaman kepada Chelsea namun ancaman kepada semua kelab eropah lain yang berisiko kehilangan pemain terbaik mereka kerana memilih wang.
Pengurus Arsenal masa itu, Arsene Wenger berkata: “China ada kuasa ekonomi yang mampu memindahkan liga eropah ke China.”
Banyak kelab eropah terkesan dengannya. Dan berlaku inflasi pada pasaran serta gaji pemain. Semuanya kerana impak domino dari Liga Super China.
Pada 2019, kelab dari China dilaporkan menghubungi Real Madrid untuk mendapatkan Gareth Bale – yang ketika itu menjadi pemain termahal di dunia. Jiangsu Suning menawarkan Bale gaji £1 juta seminggu untuk 3 tahun kontrak.
Ketika Bale mulai berminat dengan tawaran itu, Florentino Perez menyekat perpindahan itu. Membuatkan Bale benar benar kecewa. Kerana dia sebelum ini diminta mencari kelab baharu sebab Zidane tidak mahukan dia lagi dalam pasukan.
Perez tidak rela melihat kelab China, Jiangsu Suning mendapatkan pemain mereka.
Namun dua tahun selepas menawarkan gaji luar biasa kepada Bale, Jiangsu Suning berdepan masalah kewangan sangat kritikal. Malah satu ketika mereka terpaksa menjual bas pasukan mereka untuk membayar hutang.
Liga China mulai menuju ke kejatuhannya. Xi Jinping mulai mengutuk Liga Super China sebagai hanya membeli pemain bintang Eropah namun tidak memberikan kesan kepada pembangunan bola sepak di peringkat kebangsaan.
Ini laporan Forbes tentang kuasa beli CSL pada 2016 di mana mereka menjadi di juara tingkap perpindahan dunia masa itu.
Akhirnya kerajaan mengenakan cukai yang digelar ‘luxury tax’ untuk menghalang perpindahan pemain yang terlalu mahal serta mengawal gaji pemain yang semakin tidak terkawal.
Penaja juga mulai dilarang meletakkan nama mereka pada nama pasukan. Seterusnya, pada Disember 2020, FA China mengenakan had siling gaji untuk pemain. Pemain import tidak boleh menerima gaji lebih besar daripada £52,000 seminggu.
Semua itu telah menjadi faktor kenapa CSL mulai tidak menarik minat pemain nama besar dari Eropah lagi.
CFA campur tangan dengan aktif dalam isu Liga Super. Mereka mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa China telah ‘membakar wang’ mereka untuk mendapatkan pemain dari kelab Eropah dan memberikan gaji tak masuk akal.
Banyak kelab mulai bergelut dengan masalah kewangan. Kerana Liga Super China bukan liga yang menguntungkan seperti EPL.
Tindakan syarikat hartanah yang terlibat dalam bola sepak China sebelum ini, berbelanja sesuka hati tanpa perancangan yang jelas membuatkan mereka berdepan masalah kewangan. Dan ianya memberikan impak kepada pembangunan di negara itu sendiri.
Penaja mulai ramai menarik diri dan pendapatan liga China mulai merosot mendadak kerana tidak ada nama nama bintang besar lagi.
Carlos Tevez pernah memberitahu media Argentina bahawa, dia sebenarnya ke China bukan untuk bermain bola sepak namun sekadar bercuti dan mendapat gaji besar.
Kemudian berlaku banyak kes tunggakan gaji oleh kelab. Kelab seperti Hebei antara yang berdepan masalah kewangan serius. Hebei yang mendapatkan Lavezzi dan Gervinho serta Javier Mascherano terpaksa menutup akademi dan skuad muda mereka kerana bebanan kewangan.
Pemain ditawarkan untuk menamatkan kontrak tanpa syarat. Kelab berdepan bebanan hutang sangat tinggi. Dan mereka malah bergelut untuk membayar bil utiliti.
Seorang bekas pemain CSL menyatakan bahawa, budaya di China itu sendiri menjadi pembunuh kepada bola sepak China. Selain daripada rakyatnya yang enggan membayar tiket mahal, mereka juga terlalu kedekut membeli barangan rasmi kelab.
Tiket untuk satu perlawanan sekitar RM15 sahaja. Hanya aksi final atau kalah mati sahaja boleh dikenakan harga mahal. Tiket bermusim sekitar RM300-RM450.
Di luar stadium penjual jersi tiruan menjual jersi sekitar RM10-RM15. Membuatkan kelab tidak dapat menjana pendapatan daripada penjualan jersi.
China memang dikenali sebagai negara barangan tiruan. Industri barangan tiruan mereka sangat besar dan seolah olah dilindungi oleh ‘orang besar’.
Rasuah antara musuh utama dalam bola sepak China. Ramai pihak di sana mengambil kesempatan di atas industri yang sedang rancak pada satu masa itu.
Perkarangan stadium hanya menjadi tumpuan pada hari perlawanan. Kerana kelab tiada usaha untuk mewujudkan budaya bola sepak yang lebih baik di sana. Jadi, aktiviti ekonomi di sekitar stadium tidak meriah. Kedai kedai makanan dan minuman akan tutup pada hari bukan hari perlawanan.
Jadi, keuntungan kelab sangat sedikit pada hari perlawanan dan tidak ada pendapatan yang bagus daripada penjualan jersi atau barangan rasmi kelab.
Peminat China sendiri sudah akur bahawa, Liga Super China sudah berada di fasa kehancuran. Dan mereka sudah kembali ke zaman biasa mereka.
Fasa pandemik memburukkan lagi keadaan apabila semakin banyak kelab yang muflis dan terpaksa dibubarkan.