Kisah ‘King’ Nokia Naik Turun Tahta Dan Kini Tak Naik Naik Lagi

Nokia merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang ditubuhkan pada 1985.

Pada satu ketika dahulu, Nokia menjadi syarikat pengeluar telefon nombor satu ataupun terbesar di dunia.

Namun pada hari ini Nokia hanyalah dipandang sebagai syarikat telefon biasa. Malah beberapa tahun sebelum ini boleh dikatakan hilang dan lenyap daripada radar.

Sejarah awal

Nokia membeli syarikat telefonik ‘Mobira’. Pada awalnya mereka membuat telefon yang dipanggil handset yang besar gedabak ni.

Pada 1982, Nokia mengeluarkan telefon mobil / kereta yang dipanggil Nokia Mobira Senator. Beratnya adalah 10 kg je.

Dua tahun kemudian, Nokia mengeluarkan Mobira Talkman yang boleh di bawah ke mana sahaja.

Ia boleh digunakan di dalam kereta mahupun di luar kereta. Siap ada iklan pakai telefon dalam kereta lagi masa tu kau tau.

Beratnya jauh lebih ringan daripada Mobira Senator. Di mana Mobira Talkman beratnya adalah 5 kg.

Inovasi mereka tak terhenti di situ. Pada 1987, Nokia melakukan perkara yang dianggap luar biasa pada ketika itu dengan menghasilkan telefon bimbit yang pertama iaitu Nokia Mobira Cityman.

Telefon ini beratnya hanyalah 800gram. Ringan sikit daripada sebelum ini. Ianya boleh dibawa ke mana sahaja di tangan anda.

Produk ini menjadi hits teruk. Dan Nokia menempa kejayaan luar biasa menerusi produk ini. Mereka mulai menjadi gergasi pengeluaran telefon bimbit.

Cityman menjadi salah satu produk paling popular namun ramai yang hanya mampu melihat gambar sahaja.

Pada 1991, Harry Holkeri, Perdana Menteri Finland pada ketika itu, telah menjadi manusia pertama yang melakukan panggilan GSM menggunakan telefon bimbit Nokia.

1992, Nokia sekali lagi mengejukan dunia dengan produk Nokia 1011. Telefon itu sangat laris di pasaran AS dan Eropah.

Presiden Nokia, Jorma Ollila mulai meluaskan lagi skop perdagangan mereka dalam industri telefon bimbit.

Pada 1994, Nokia menghasilkan  Nokia 2100. Telefon bimbit pertama yang hadir dengan Nokia Tune ringtone. Nokia meletakkan sasaran jualan sebanyak 400,00 unit.

Namun tahu tak korang berapa jumlah unit jualan untuk Nokia 2100? 20 juta!

Nokia mulai menjadi telefon pertama yang dipakai lebih sejuta manusia. Nokia 2100 menjadi telefon bimbit yang paling laris dalam sejarah Nokia.

Menjelang 1998, Nokia mulai menjadi gergasi no.1 dalam industri telefon bimbit.

Dari 1996 ke 2001, Nokia meningkatkan jumlah pendapatan mereka kepada lima kali ganda daripada €6.5 billion kepada €31 billion.

Jalan terus

Tidak terhenti di situ, pada 1999, Nokia mengeluarkan pula Nokia 7110 yang merupakan telefon bimbit pertama yang berupaya untuk digunakan melayari laman web.

Ia mengakses internet menerusi sistem protokol WAP. Masa ni kalau silap tekan butang internet tu dan korang lupa nak tutup. Menangis nak oi. Mahal.

Ikon internet itu adalah musuh utama. Bukan macam hari ni. Apa maknanya handphone tanpa Internet kan?

Tahun berikutnya, Nokia menguatkan lagi jenama mereka dengan mengikat kontrak dengan EMI. Di mana Nokia boleh menggunakan lagu dari syarikat EMI untuk dimasukkan ke dalam ringtone.

Dan pada tahun 2000 juga mereka mengeluarkan telefon legenda Nokia 3310 yang menjadi idaman semua. Tak sah la artikel Nokia kalau tak ada 3310 ni kan. Mesti korang rasa sangat lega sekarang dan puas hati.

Boleh gantung kat leher dan boleh pakai untuk mempertahankan diri daripada serangan anjing liar dengan membalingnya dengan 3310. Jangan risau, ianya tahan lasak.

Tengok ni:

Masa ni lah korang mulai membeli buku ringtone. Lalu pada 2001, Nokia mengeluarkan telefon bimbit pertama mereka dengan adanya kamera iaitu Nokia 7650.

Namun produk ini gagal mencapai sasaran. Ramai pelabur mulai bengang dengan Nokia yang menyatakan mereka terpaksa memberhentikan 1,000 pekerja mereka kerana gagal mencapai sasaran.

Nokia 7650

Macam setan kan. Sebelum ini untung berbilion, sekali rugi sikit terus nak buang pekerja.

Pada 2002, Nokia melancarkan pula Nokia 3650. Mereka turut melancarkan telefon 3G pertama iaitu Nokia 6650.

Dengan adanya 3G maka pengguna boleh mengakses internet dengan pengalaman lebih baik. Boleh memuat turun muzik, menonton TV dan sebagainya.

Pada 2004, Nokia menyatakan, walaupun mereka masih menjadi no.1 di arena telefon bimbit namun mereka mulai hilang sebahagian besar jumlah jualan kepada pesaing mereka.

Sasaran mereka adalah 40% pengguna telefon bimbit adalah pengguna Nokia. Namun pada tahun tersebut, hanya 35% yang mereka capai.

Namun Nokia tetap di hati ramai pengguna. Buktinya pada 2004, mereka menjual unit ke 1 billion telefon bimbit mereka menerusi Nokia 1110. Aku ada ni dulu wei.

Nokia terus menjadi pilihan kepada muda mudi dengan rantaian produk mereka yang sesuai dengan citarasa.

Terus menjadi raja

Mereka menempa satu lagi kegemilangan dan digelar king – pada era Symbian.

Banyak produk Symbian mereka laku keras. Nak cerita satu satu tak larat. Tapi ini antara beberapa yang power:

 

Nokia 3650 (2003)
Nokia 6600 (2003)
Nokia 7620 (2004)
Nokia N-Gage QD (2004)
Nokia 3230 (2004)
Nokia N70 (2005)
Nokia 6685 (2005)
Nokia n82 (2008)
Nokia 5300 Express Music (2006)

 

Nokia N95 (2007)
Nokia E71 (2008)
Nokia E7 (2011)

Kejatuhan bermula

Dan kejatuhan mereka bermula pada 2007. Ini selepas mereka memanggil sekitar 46 juta unit telefon yang mereka jual pada tahun itu kerana masalah bateri yang boleh memudaratkan keselamatan.

Masalah lebih besar mereka muncul apabila Apple mulai melancarkan iPhone.

Telefon pintar yang lebih kemas dan elegan.

Pada 2008, Nokia melaporkan kerugian sebanyak 30% pada suku ketiga. Jualan telefon pintar mereka merosot 1.3%. Sedangkan iPhones menokok keuntungan sebanyak 327.5%.

Nokia mengumumkan untuk memberhentikan 1,700 kakitangan kerana impak daripada kerugian. Nokia terlalu lambat untuk bertindak kepada evolusi iPhones.

Nokia terus leka beroperasi dengan Symbian. Dahulu masa zaman Symbian memang zaman kegemilangan Nokia.

Para peminat telefon pintar mulai menjadikan telefon sebagai satu trend dan gadget yang lebih daripada sekadar telefon.

Mereka mulai kagum dengan iPhones yang boleh mengakses ke peta dan gps sekalipun. Itu yang mereka mulai mahukan. Dengan ribuan aplikasi yang tersedia.

Kebangkitan Android

Masalah semakin besar apabila Google memperkenalkan sistem operasi Android. Salah satu syarikat pertama yang mengadaptasi sistem ini adalah Samsung, saingan utama Nokia pada ketika itu.

Samsung meningkat naik perlahan namun steady je. Nokia pun semakin ketinggalan. Symbian memang telah diperbaiki, tetapi tetap tidak cukup bagus.

Lalu ada beberapa pegawai Nokia mencadangkan agar mereka beralih kepada Android. Idea itu ditolak oleh Pengerusi Nokia ketika itu Jorma Ollila. Di mana beliau menyatakan Nokia tetap akan ada peminat mereka tersendiri.

Malah mereka mengambil contoh sebelum ini jualan mereka agak terpecah kepada pesaing seperti Motorola, namun Nokia tetap berjaya mengekalkan kuasa mereka sebagai pengeluar telefon bimbit dengan 25% daripada pengguna adalah Nokia.

Mereka benar benar terlalu terbuai buai dengan kejayaan dan pujian ke atas mereka. Nokia secara tak langsung tak mahu mengakui Symbian memang dah ketinggalan jauh di belakang iOS dan Android.

Nokia agak memandang rendah kepada lawan mereka itu yang menghasilkan telefon dengan skrin sentuh. Nokia juga berpendapat, berapa je orang sanggup bayar harga lebih mahal untuk sebuah telefon pintar? Mereka silap. Orang tak kisah bayar mahal. Yang penting ianya bergaya dan aplikasi di dalamnya menarik.

Nokia pernah mengakui kesilapan ini dan cuba untuk bangkit dan mengejar pesaing mereka. Namun apa yang berlaku, mereka terus rugi.

Lebih malang selepas itu muncul Samsung muncul sebagai kuasa utama pada era Android. Samsung mulai menjadi pesaing sebenar iPhones. Nokia semakin di belakang.

Satu ketika dahulu, Samsung mengelak golongan sasaran Nokia kerana mereka tahu, tak akan mampu nak melawan. Namun pada hari ini Samsung pula yang tak kisah akan kehadiran Nokia.

Di kala pesaing mereka giat mengumumkan keuntungan dan produk baharu, Nokia pula hanya ada cerita pembuangan pekerja yang terpaksa dilakukan.

Nokia kemudian memuktamadkan kerjasama dengan Microsoft pada 2011 untuk bersaing dengan Apple dan juga Samsung – Android.

Nokia menolak kerjasama dengan Android kerana mereka yakin Microsoft window phone jauh lebih bagus. Mereka sekali lagi membuat kesilapan. Malah keadaan menjadi lebih teruk. 4,000 staf mereka di seluruh dunia terpaksa diberhentikan.

Dan mereka terus di belakang Apple dan Samsung.

Pada 2012, Nokia mengalami kerugia €1.3 billion dan Microsoft mulai melancarkan usaha untuk mengambil alih penuh Nokia dengan nilai €5.44 billion.

Walaupun Microsoft dan Nokia satu kegagalan, namun peminat setia Nokia harus berterima kasih kepada Microsoft kerana mereka berusaha untuk meletakkan Nokia kembali ke landasan mereka dan terus kekal wujud sehingga ke hari ini.

Window Phone dilaporkan berjaya memberikan semula keuntungan kepada Nokia setelah sekian lama. Walaupun tak sebanyak dahulu.

Namun Window pula tidak digemari peminat. Orang lebih sukakan Android ataupun iOS.

Dan selepas beberapa tahun yang gagal, akhirnya Nokia akur dan menggunakan platform Android pada 2014, menerusi telefon pertama Android mereka iaitu Nokia X, X+ dan XL.

Namun 3 telefon ini tidak menawarkan Google Service yang biasa ada di fon Android lain seperti Gmail, Google Maps, Chrome, YouTube, Hangouts, Google+, Google Drive, dan Google Search, serta tidak menyediakan menu Google Play Store. Ia menjadi leceh. Pengguna kena pandai cari sendiri.

Ini membuatkan Nokia gagal teruk.

Nokia terjun ke alam Android

Nokia akhirnya cuba menawarkan apa yang peminat mahukan. Telefon dengan Android yang penuh. Seterusnya mereka menjalinkan kerjasama dengan beberapa pakar lain termasuk kamera.

Pada hari ini, Nokia lebih baik daripada ketika mereka dibelasah teruk di pasaran. Namun nama mereka tidak segah dahulu. Malah jauh di belakang jenama dari China yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Itulah serba sedikit tentang bagaimana raja turun dari tahta dan tidak mampu untuk ke sana lagi. Mungkin di masa akan datang?

Selain daripada ego dengan leka di zon selesa, Nokia juga membuat perkiraan yang silap tentang industri dan pesaing mereka.

Misalnya pada 1990, Nokia meramalkan pada 1999 akan ada 40 juta pengguna cellphones. Namun sebenarnya pada 1999, seramai 250 juta manusia memiliki telefon bimbit.

Mereka pernah menguasai 70% pasaran telefon bimbit di Asia pada dekad 2000-an. Namun sikap tak nak beradaptasi dengan evolusi telefon pintar membuatkan mereka jatuh teruk.

Android dan iOS mulai menguasai pasaran Asia selepas AS dan Eropah.

Sayang sekali bagi Nokia yang dulu sudah menjadi satu trend kepada manusia serta memiliki ramai peminat setia. Namun mereka seolah olah mengkhianati peminat setia mereka dengan produk yang tidak menunjukkan keseriusan mereka mahu berubah. Apa ni KING?