Kobe Bryant disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi waktu tempatan pada usia 41 tahun menerusi nahas helikopter yang menggemparkan dunia. Impak dan pengaruh beliau dalam dunia Bola Keranjang tidak perlu diperjelaskan lagi.
Bryant juga adalah merupakan seorang peminat bola sepak ketika membesar di Italy di mana bapanya adalah seorang pemain bola keranjang professional di sana.
Beliau kerapkali dilihat keluar berpeleseran bersama nama-nama besar di dalam bola sepak, seperti Neymar dan Mario Balotelli. Bryant juga sering menghadiri sesi latihan pasukan seperti AC Milan, Barcelona, Paris Saint Germain, Tottenham Hotspurs, dan Los Angeles Galaxy.
Bagaimanapun, antara kisah menarik tentang Bryant dan pemain bola sepak adalah ketika beliau dipertemukan dengan Lionel Messi ketika Messi berusia 17 tahun oleh Ronaldinho.
“Biar saya ceritakan kepada anda, lama dahulu pasukan Barcelona pernah datang ke Los Angeles (untuk sesi latihan pra-musim).
Ronaldinho pula adalah kawan baik saya.
Ketika saya sedang berbual dengan beliau, tiba-tiba beliau berkata:
“Kobe, lihat, saya akan memperkenalkan anda kepada budak yang bakal menjadi pemain terbaik sepanjang zaman.”
“Saya berkata: Apa? Andalah yang terbaik!”
“Dan Ronaldinho membalas: Bukan, bukan, budak inilah yang akan menjadi yang terbaik.”
Kata Ronaldinho sambil menunjukkan kepada Lionel Messi.”
Seperti yang diramalkan, Messi kemudiannya berkembang dan membesar menjadi seorang pemain yang terbaik di dalam bola sepak. Beliau hampir memenangi segalanya dan merupakan antara atlet yang menerima pendapatan tertinggi di dunia menerusi gaji yang diterima dan nilai tajaan komersial.
Sama seperti Bryant yang lagendanya begitu mekar dan harum bersama pasukan LA Lakers di NBA. Ketika zamannya, Bryant juga adalah merupakan antara penerima pendapatan tertinggi disebabkan oleh aksi dan kepintarannya yang luar biasa di dalam gelanggang.
Bryant sangat disegani oleh kawan dan lawan. Beliau adalah antara atlet yang memiliki keperibadian yang tinggi dan sangat jarang terbabit dengan kontroversi.
Rest in peace, Kobe Bryant.