Pemain pertahanan tengah legenda Itali, Alessandro Nesta bercakap tentang bagaimana Messi telah membuatkannya nekad untuk bersara.
Ada sesetengah perkara, kita harus tahu di mana kita harus berhenti. Itulah yang cuba dikatakan Nesta ketika dia diberikan petunjuk oleh Messi bahawa dia harus bersara.
Nesta bukan nama asing dalam arena bola sepak. Peminat bola sepak pastinya kenal dengan salah seorang pertahanan paling kental dalam sejarah bola sepak.
Nesta memenangi hampir semua perkara semasa kerjaya yang luar biasa dalam Serie A dan merupakan sebahagian daripada skuad Itali yang menjulang Piala Dunia 2006.
Gandingan Nesta dan Maldini ketika di AC Milan antara gandingan yang menjadi penanda aras kepada gandingan bek tengah lain di Eropah pada zaman kemuncak mereka.
Malah sehingga ke hari ini, peminat bola sepak masih menjadikan mereka sebagai rujukan kepada gandingan bek tengah yang hampir sempurna kalau pun kita merasakan tiada yang sempurna di dunia. Mereka menghampiri kesempurnaan itu.
Nesta menjadi sebahagian daripada generasi emas AC Milan dan Itali pada eranya. Dia seorang pemain yang sangat tenang namun sentiasa melakukan bentesan pada masa yang tepat.
Dia dan Maldini masing masing memiliki karakter yang sangat kuat dan aura yang luar biasa.
Nesta: Saya bersara kerana Messi
Namun Nesta mendedahkan bahawa dia memutuskan untuk bersara selepas Lionel Messi menghancurkannya secara mental.
Pada ketika itulah dia tahu bahawa dia sudah tidak boleh beraksi berdepan dengan superstar lain yang lebih muda.
Boleh sahaja Nesta terus kekal bermain pada masa itu. Namun dia memikirkan bahawa sudah tiba masanya untuk dia melepaskan baton kepada pemain lain yang lebih muda.
Pemain pertahanan itu menentang Messi menjelang penghujung kariernya dan mengakui ia sukar.
Nesta berdepan dengan Messi dalam satu aksi Liga Juara Juara Eropah antara AC Milan dan Barcelona. Dia cuba sedaya upaya untuk menghalang bintang muda Argentina itu pada ketika itu.
Namun begitu, Messi terlalu lincah. Ada saja helah dia lakukan untuk menyusahkan Nesta sepanjang perlawanan.
Alessandro Nesta, here he is at 36, immaculately stopping Lionel Messi.
What a defender he was, the best.
💙🦅
— Jerry Mancini (@jmancini8) April 28, 2022
Nesta berkata: “Perkara yang membuatkan saya tertekan ialah dia telah melepaskan diri sepuluh kali dalam tempoh sepuluh minit dan saya mula bergelut pada usia 37 tahun,” katanya.
“Pada minit ke-10 saya menendang dia dan dia jatuh ke tanah kerana masa tu saya sudah keletihan.”
“Pada hari itu saya sudah dapat melihat seorang bintang [masa depan]. Dia mulai menghulurkan saya tangannya untuk menarik saya bangun. Di sanalah dia memusnahkan saya secara mental.”
“Adakah anda faham? Saya terbaring di atas tanah dan apabila selepas dua saat saya membuka mata saya melihat mukanya dengan tangannya di hadapan saya, dan dia mahu membantu saya bangun.”
“Dia secara mental telah memusnahkan saya di sana.”
Messi menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu ketika Barcelona menang 3-1 pada 2012 untuk mengesahkan kemenangan suku akhir ke atas Rossoneri.
Lionel Messi sememangnya menjadi salah seorang legenda dalam bola sepak. Kejayaan luar biasanya bersama Barcelona dan juga memenangi 7 Ballon d’Or membuatkan beliau seringkali dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.
Messi merupakan pemain yang bermain sebagai false 9 pada era Pep Guardiola. Dia menunjukkan prestasi luar biasanya setiap musim dengan jumlah gol yang tak masuk akal.
Pada musim 2021/22, Messi menyertai PSG. Sentuhan golnya agak mengecewakan pada musim pertamanya dengan PSG. Namun itu bukan bermakna Messi bukan pemain yang hebat.