Kisah Pakar Perubatan Milan Cabut Gigi Geraham Bongsu Seedorf Untuk Rawat Masalah Groin

Clarence Seedorf merupakan salah seorang pemain tengah terbaik dalam generasinya. Dia juga pemain yang sangat dinamik.

Dalam satu temuramah dengan wartawan, Kaka menganggap IQ bola sepak Seedorf sangat tinggi membuatkan dia sentiasa ada cara untuk memecahkan bahagian tengah lawan.

Tetapi masalah utama Seedorf ketika di Inter Milan adalah masalah kecederaan groin. Dia menyertai Inter dari Real Madrid pada masa itu.

Dia kemudian dijual ke AC Milan yang dianggap membeli barang rosak daripada Inter. Namun doktor di Milan menyelesaikan masalah itu dengan cara yang agak unik.

Mereka telah mencabut gigi geraham bongsu pemain itu yang dianggap menjadi punca dia selalu cedera di bahagian groin. Ini ditambah dengan corak permainannya yang lasak dan selalu dibentes lawan ketika dia menggelecek.

Pengasas Makmal Milan  Jean-Pierre Meersseman, memeriksa saiz pelvies Seedorf yang dianggap agak pendek berbanding saiz fizikalnnya. Mendedahkannya dengan risiko kecederaan.

Kemudian dia mendapati kecederaan kerap itu juga berlaku kerana masalah sakit gigi Seedorf. Sebenarnya masalah sakit gigi dan gusi memang akan mempengaruhi saraf yang lain.

Ketika Meersseman meletakkan ubat bius pada gusin di sebelah gigi geraham bongsu yang dia rasa berkaitan dengan pelvis pemain itu, dia melihat pergerakan kaki kanannya lebih besar.

Lalu dia memutuskan untuk mencabut gigi geraham bongsu pemain itu. Seedorf sendiri terpinga pinga pada masa itu, adakah benar masalah itu boleh selesai dengan cara itu dan bukannya melalui pembedahan?

Dan ya! Ianya membantu Seedorf menjadi lebih cergas dan membantu dia membina semula kariernya. Masalah groin yang kronik pada Seedorf boleh dikatakan hilang selepas itu.

Meersseman sebenarnya menggabungkan perubatan moden dan tradisional. Dia menggunakan kepakarannya dalam bidang kinesiologi dan juga bidang chiropractic tradisional.

Dia berkata: “Apa yang saya lakukan ini tidak dapat diterima kerana tiada bukti secara klinikal namun kesannya sangat memuaskan. Saya lihat ianya berjaya. Kami melakukan berjuta ujian di Milan. Dan pakar matematik serta jurutera kami membangunkan formula yang ada kadar kejayaan yang bagus dalam anggaran serta pengurusan kecederaan.”

Meersseman seringkali dipuji kerana Milan Lab banyak membantu AC Milan memanjangkan karier pemain pemain mereka. Misalnya Paolo Maldini, Alesandro Costacurta, bermain pada usia 40-an dan pemain seperti Serginho dan Cafu bermain pada usia lewat 30-an.

“Paolo Maldini dianggap akan berakhir kariernya selepas 32 tahun. Namun kami membantunya melanjutkan kariernya 9 tahun lagi. Seorang lagi Cafu, kami membantu dia mengekalkan kemuncak prestasinya dalam 3 atau 4 tahun.

Berbalik kepada Seedorf, selepas dicabut gigi geraham bongsu itu, dia berjaya melanjutkan kariernya 10 musim di peringkat tertinggi sebelum berpindah ke Botafogo di Brazil pada 2012 dan bersara pada usia 38 tahun,.