Kisah Robert Enke Yang Tragis

Robert Enke meraikan kejayaan dia berpindah ke Benfica sebagai sesuatu yang bakal mengubah hidupnya buat selama lamanya. Namun siapa sangka, termasuk dia sendiri, ianya bermula tragedi demi tragedi menimpanya.

Sehinggakan pada satu tahap, mentalnya benar benar sudah tak tahan lalu dia mencabut nyawanya sendiri.

Ketika di Benfica, prestasinya mulai tidak menentu. Banyak tekanan yang dia hadapi. Dan akhirnya berpindah ke Barcelona. Dan semasa dia menelan kekalahan pada aksi pertandingan piala disingkirkan pasukan divisyen kedua.

Akhirnya Enke menyertai Fenerbahçe dan Tenerif secara pinjaman. Kelab mahu mencari kelab baharu yang mahu membelinya secara tetap.

Setiap hari dia tertekan memikirkan soal prestasi dan masa depannya. Dengan isterinya dibawanya ke mana sahaja. Namun tiada satu destinasi yang tetap.

Dan kemudian dia kembali semula ke Jerman, menyertai Hannover 96. Ketika di sana, dia merasakan hidupnya kembali pulih. Dia dan isterinya melahirkan cahaya mata bernama Lara pada 2005.

Dia mendapat rentak cemerlang bersama skuad Hannover. Segera menjadi pemain kesayangan peminat dan mendapat panggilan kebangsaan.

Hanya dua tahu dia menikmati detik bahagia bersama Lara, anak kecilnya itu kemudian meninggal dunia kerana masalah jantung. Tekanan mental mulai menyelubunginya. Akhirnya dia mengalami kemurungan yang sangat kritikal.

Namun dia tidak memperlihatkan tekanannya ketika keluarganya ditimpa tragedi. Dia banyak memendam masalahnya. Dengan sokongan isterinya, Teresa, Enke masih mampu beraksi dengan baik di atas padang.

Dia juga menjadi penjaga gol kedua Jerman di Euro 2008 di belakang Lehmann. Dia sentiasa dipuji rakan rakannya kerana seorang yang baik hati. Mendapat tahu dia telah menyingkirkan pesaingnya Timo Hildebrand untuk slot ke Euro, dia segera menelefon penjaga gol itu untuk memujuknya.

Hildebrand pula menyatakan sokongannya kepada Enke.

Satu lagi peristiwa, penjaga gol Sven Ulreich mendedahkan ketika dia berusia 19 tahun dia pernah ditelefon oleh Enke. Ini selepas dia dikecam kerana prestasi buruknya menentang Leverkusen.

Ulreich akui tergamam dan tidak percaya penjaga gol kedua Jerman menghubungi pemain remaja sepertinya untuk memberikan sokongan moral kepadanya.

Dia terus menunjukkan aksi cemerlangnya, di mana dia bersaing untuk menjadi penjaga gol no.1 Jerman untuk Piala Dunia 2010.

Isterinya kemudian cuba mengisi kekosongan mereka dengan berusaha mengambil anak angkat. Enke bersetuju.

Namun kemudian dia disingkirkan daripada skuad kebangsaan Jerman. Salah seorang staf kejurulatihan penjaga gol Jerman mendedahkan Enke disingkirkan bukan sebab prestasi atau kesilapannya di atas padang. Namun atas faktor lain.

Laporan dari Jerman menyebut dia terpaksa disisihkan kerana isu berkaitan dengan rawatan diterimanya. Laporan The Guardian menyebut ketika itu dia mendapat rawatan membuang bakteria daripada perutnya.

Dia seringkali melawat kubur anak perempuannya dan meluahkan apa sahaja masalahnya di sana. Namun siapa sangka, kunjungnya kali ini, pada 10 November 2009, dia telah memutuskan untuk mencabut nyawanya.

Polis mengesahkan ianya adalah su*c*de. Kerana ada nota yang ditinggalkan. Enke dilaporkan telah meninggalkan keretanya berdekatan dengan landasan keretapi, dan meletakkan kunci dan dompet di tempat duduk pemandu. Dia kemudian pergi ke landasan keretapi.

Pemandu keretapi ada melihat kelibat manusia di landasan namun tidak boleh melakukan apa apa untuk membrek.

Dia meninggal dunia kira kira 200 meter daripada kubur anaknya.

Kematian tragis Enke membuatkan kesedaran tentang kesihatan mental di kalangan pemain bola sepak semakin dititikberatkan. Kelab kelab profesional akhirnya memiliki bilik kaunseling sendiri untuk membantu pemain mereka.

Enke meninggalkan seorang balu dan anak angkatnya yang ketika itu masih kecil. Isterinya masih aktif sehingga ke hari ini memberikan kesedaran kesihatan mental kepada pemain  dan atlet.