Kisah Romario Minta Dikeluarkan Lebih Awal Kerana ‘Flight’ Nak Berlepas

Legenda Brazil iaitu Romario, terlalu mudah dilabel sebagai salah seorang pemain terbaik dari sejarah negaranya.

Beliau adalah salah seorang pemain yang juga menjaringkan gol lebih daripada 1,000 gol, selain daripada Pele.

Romario menjadi pemain yang dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dan berbakat pada generasi beliau.

Sebelum kemunculan Ronaldo Nazario, Brazil memiliki nama Romario yang dikurniakan dengan bakat skil dan ketajaman di hadapan gol.

Impak terbesar dilakukan beliau semasa Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat. Ini apabila beliau menjadi nadi penting dan pencetus apa sahaja ancaman daripada pasukan Brazil.

Beliau menjadi tunjang dan bintang utama Brazil dalam kejuaraan Piala Dunia 1994, menewaskan Itali di Rose Bowl, Pasadena,California.

LOS ANGELES, USA – JULY 17: Romario of Brazil with the trophy after winning during the World Cup final match between Brazil and Italy on July 17, 1994 in Los Angeles, USA. (Photo by Lutz Bongarts/Bongarts/Getty Images)

Setahun sebelum beraksi di kejohanan bersejarah itu, Romario telah ditandatangani oleh Johan Cruyff untuk bermain untuk FC Barcelona.

Romario Dan Barca

Di Barcelona, beliau menikmati dua musim hebat di mana beliau memenangi trofi La Liga musim 1993/1994.

Semasa beraksi di bawah kendalian pengurus legenda dari Belanda, Romario telah berjaya meningkatkan lagi kemasyhuran beliau di mata dunia.

Romario ada satu masalah sahaja ketika di Barcelona iaitu jarak perjalanan dengan Brazil. Beliau sangat suka balik kampung terutama sekali ketika Carnaval (pesta / karnival).

Beliau juga sangat rapat dengan keluarga dan saudara maranya. Itu antara sebab beliau suka balik ke Brazil.

Selain itu, Romario merupakan seorang party boy. Tetapi Cruyff tetap percaya dengan bakat ada pada beliau akan menutup semua perkara itu.

Siapa akan lupa aksinya ketika membantu Barca menjuarai La Liga pada 93/94?

Untuk pengetahuan korang, ketika Cruyff memujuk Romario menyertai Barcelona, beliau telah berjanji untuk memberikan pemain Brazil itu rehat lebih banyak daripada pemain lain.

Romario ditandatangani dari PSV Eindhoven.

Romario tidak suka dengan perlawanan yang terlalu banyak. Namun ada caranya untuk beliau mendapatkan cuti itu. Ia dilakukan dengan pertukaran cuti dengan gol.

Apabila beliau menjaringkan lebih banyak gol, maka beliau akan mendapat lebih banyak hari cuti. Kita trade in la.

Nak Balik Karnival

Pada suatu hari, Romario telah meminta kelepasan khas untuk dia balik ke Brazil bagi menyertai Carnaval.

Dan Cruyff meminta beliau untuk menjaringkan 2 gol untuk menebus cuti lebih awal.

Bercakap kepada Diario AS, Romario berkata: “Saya masih ingat hari ini. FC Barcelona ketika itu tidak ada perlawanan dan kami semua akan mendapat empat hari cuti.”

“Namun untuk pulang ke Brazil, ianya mengambil masa sehari setengah. Jadi, saya hanya akan mendapat dua hari setengah untuk berehat kerananya.”

“Sementara itu, pemain asing (luar Sepanyol) yang lain seperti Laudrup, Stoichkov, Koeman, Hagi, dan seorang lelaki muda dari Yugoslavia (Romario bercakap tentang Vucevic) – mereka tiga atau empat jam dari rumah mereka. ”

“Jadi apa yang saya lakukan adalah bercakap dengan Cruyff dan dia bertanya kepada saya apa yang terbaik yang boleh kita lakukan?”

“Saya memberitahunya bahawa saya pun sedang memikirkan apa yang kami harus lakukan. ”

“Akhirnya, kami mencapai persetujuan. Beliau memberitahu saya bahawa. jika saya menjaringkan dua gol dalam perlawanan seterusnya, beliau akan memberikan saya cuti tambahan.”

“Dan saya menjaringkan 3 gol.”

Beliau menjaringkan 3 gol pada hari itu. Romario bermain 90 minit dan terus keluar dari padang sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

“Sebaik sahaja tamat perlawanan, saya terus bergegas ke bilik persalinan, saya paling awal masuk ke bilik persalinan dan apabila semua orang baru tiba di sana, saya sudah bersedia untuk pergi.”

“Saya perlu pergi dengan segera kerana penerbangan saya akan berlepas tidak lama lagi.”

“Ketika semua pemain lain mula masuk dan Cruyff tiba. Beliau terpaksa menjelaskan perjanjian itu kepada mereka semua. Mereka tidak menyukainya tetapi mereka semua diam dan menerima perjanjian itu. ”

Cruyff turut pernah berkongsi cerita tersebut. Di mana beliau terpaksa memberikan kelepasan khas supaya Romario cuti awal dan dikecualikan daripada 2 sesi latihan.

“Anda semua kenal dengan Romario. Dia, sekali tu, pernah datang jumpa saya, meminta kelepasan khas 2 hari kerana dia nak balik ke Brazil. Ketika itu dia nak pergi ke Karnival di Rio.”

“Saya cakap dengan dia, jika kamu skor 2 gol esok, saya akan berikan kamu rehat 2 hari ekstra itu.”

“Hari berikutnya, dia skor 2 gol hanya dalam masa 20 minit. Dan dia terus memberikan isyarat kepada saya di tepi padang, menyatakan dia minta dikeluarkan.”

“Dia berkata kepada saya: ‘Coach, penerbangan saya kurang sejam lagi nak berlepas’.”

“Saya tiada pilihan selain daripada menepati janji saya kepadanya (memberikan dia cuti).”

 

Cruyff bukanlah suka dengan cara hidup Romario yang terlalu gemarkan parti itu. Beliau pernah menasihatkan Romario untuk mengubah cara hidupnya.

Namun Cruyff menyatakan, ini jawapan Romario.

“Kau ingat kau siapa? Ayah saya? Bukan kan? Jadi diam.”

Romario janya 2 musim di Barcelona dan kemudian beliau kembali semula ke Brazil untuk menyertai Flamengo.

Baca yang lain