Kisah Sadio Mane Bina Hospital, Sekolah Di Kampungnya Dengan Duitnya Sendiri

Sadio Mane merupakan salah seorang daripada 10 pemain terbaik di dunia pada ketika ini. Dalam ranking Ballon d’Or yang lalu beliau berada di tangga ketiga.

Malah pemenang Ballon d’Or, Lionel Messi merupakan peminat aksi Sadio Mane dan mengundi pemain itu sebagai pemain terbaik dunia dalam kertas undiannya.

Menurut Messi, beliau selalu menonton aksi Liverpool apabila ada kesempatan, hanya kerana mahu melihat aksi Mane yang menghiburkan.

Dalam aksi separuh akhir UCL berhadapan Barcelona, walaupun Sadio Mane tidak menjaringkan gol dalam aksi kebangkitan epik di Anfield, namun beliau bintang utama Liverpool ketika itu.

Ini selepas Mohamed Salah dan Roberto Firmino cedera. Klopp menyatakan bahawa Sadio Mane merupakan seorang pemain yang tidak pernah berputus asa.

Mane tak pernah berputus asa

Klopp menyatakan: “Apa yang membuatkannya istimewa adalah, dia tidak pernah berhenti percaya.”

“Dalam pertemuan sebelum perlawanan itu [vs Barcelona], dia benar-benar yakin kami akan dapat melakukannya.”

“Walaupun ketika itu kami kehilangan dua pemain terbaik di dunia [Salah dan Roberto Firmino].”

“Dia mendorong dan memberikan semangat kepada pemain pemain lain. Dan beliau berusaha sedaya upaya untuk meredakan tekanan yang ada pada kami semua.”

Liverpool berjaya bangkit dengan kemenanga 4-0 di Anfield dan mara ke final dengan agregate 4-3.

Liverpool kemudian menang trofi tersebut di Madrid Selepas aksi kemenangan dalam final Liga Juara Juara Eropah 2018/19 ke atas Spurs, Sadio Mane telah kembali ke kampung halamannya di Bambali.

Beliau berjalan di sekitar kampung yang dikelilingi oleh ramai peminat  belia yang bangga dan gembira.

Mane disenangi

Mane sempat mengusik seorang seorang wanita tua dan bertanya mengapa dia tidak mengangkat panggilan telefonnya?

“Kamu kenalah balas balik missed call tu, saya kan ada berikan nombor.”

Itulah sikap Mane yang disenangi di kampung halamannya. Suka bergurau dan bermesra dengan penduduk setempatnya. Beliau menjadi pujaan dan simbol kebanggaan di Bambali.

Di dalam dokumentarinya, Mane menegaskan bahawa pentingnya pendidikan sebagai kunci kepada mengubah nasib mereka di Senegal.

Beliau berkata kepada kerumunan remaja di luar sekolah baru dan memberitahu mereka “pendidikan adalah kunci”.

“Sekolah paling utama,” katanya. “Anda harus berada dalam keadaan baik sebelum anda pergi bekerja, jadi mari kita bina dahulu hospital.”

Mane kemudian menegaskan, beliau tersentuh hati melihat keadaan di kampungnya dan menjadi motivasinya untuk bekerja lebih keras demi membantu mereka.

“Apabila anda melihat wajah-wajah mereka berada di depan rumah, anda berfikir: ‘Oh, nampaknya saya perlu bekerja lebih keras untuk mereka,” kata Mané, yang juga baru menyumbang £40,000 kepada kerajaan Senegal untuk membantu melawan koronavirus .

Pendidikan sangat penting

“Mungkin jika ada sekolah yang lebih bagus ketika saya masih kecil – mungkin saya dapat belajar dengan lebih tinggi.”

“Tetapi malangnya ia tidak begitu – saya berada jauh di kampung. Semua kanak-kanak dan remaja lelaki di sana ingin bermain bola sepak dan  tak mahu pergi ke sekolah lagi.”

“Mereka hanya mahu menjadi pemain bola sepak seperti saya … Tetapi saya selalu memberitahu mereka untuk memastikan mereka perlu ada pendidikan dan pergi ke sekolah. ”

“Sudah tentu mereka boleh terus bermain bola sepak tetapi ini akan membantu anda untuk berjaya dalam apa yang anda lakukan jika anda ada kedua-duanya. ”

“Ia tidak seperti ketika saya muda dulu, kerana ia sangat sukar ketika itu. ”

Hospital untuk Bambali

Namun salah satu cerita paling menyentuh perasaan adalah, Mane menggunakan wangnya untuk membina hospital di kampungya.

Beliau pernah melihat orang yang dia sayangi meninggal dunia kerana tiada hospital, itulah ayahnya.

“Ketika itu saya berusia 7 tahun. Kamu baru nak bermain bola sepak. Dan kemudian sepupu saya mendekati saya lalu berkata: ‘Sadio, ayah kamu dah meninggal dunia’.”

“Saya membalas: ‘Ye ke ni? kamu bergurakah?”

“Sebelum ayah meninggal dunia, dia ada mengalami sakit dalam beberapa minggu.”

“Kami membawanya berubat secara tradisional. Ia membantu meredakan penyakitnya dalam 3 atau 4 bulan.”

“Tidak lama selepas itu, sakit itu datang lagi. Pada masa itu, kami tak ada ubat dari klinik kerana tiada hospital di Bambali. Mereka kena bawa ayah ke kampung sebelah untuk cuba menyelamatkannya. Namun gagal.”

Ayahnya sentiasa bangga dengan Mane

“Ketika saya masih kecil, ayah selalu menyatakan dia bangga dengan saya. Ayah seorang lelaki yang berjiwa besar.”

“Selepas dia meninggal dunia, ia memberikan kesan yang kuat kepada saya dan seluruh keluarga.”

“Saya bertekad dengan diri sendiri, saya perlu melakukan yang terbaik untuk membantu emak. Namun benda tu sangat sukar nak kamu lakukan kerana kamu masih sangat muda.”

Dua dekad kemudian, sebuah hospital berdiri megah, ditaja sepenuhnya Sadio Mane, dan akan dibuka dalam masa enam bulan lagi.

“Saya masih ingat, adik perempuan saya dilahirkan di rumah kerana tiada hospital di kampung saya. Ianya situasi yang sangat menyedihkan. Dan saya nak membina sebuah hospital bagi memberikan harapan kepada orang di sini.”

Sebelum itu, Mane telah membina sebuah sekolah di kampungnya pada tahun lalu.

Kematian ayahnya memang memberikan kesan kepada Mane.

Bambali adalah sebuah kawasan di wilayah Sedhiou. Berdasarkan Bank Dunia, kawasan tersebut hampir 70% isi rumah hidup dalam kemiskinan.

Ayahnya merupakan seorang imam. Dan mereka akan berkumpul membaca Al Quran setiap tahun untuk memperingati pemergiannya.

Mengejar impian

Mane pernah tidak mendapat restu ibunya pada awalnya, ketika beliau mahu meninggalkan pelajaran demi bola sepak.

Arwah ayahnya dahulu sangat tegas dengan isu pendidikan. Oleh sebab itu, ibunya mahu memastikan Mane terus belajar walaupun ayahnya sudah tiada.

Mane melarikan diri dari rumah dan mengejar cita-citanya pada usia 15 tahun bersama dengan rakannya Luc Djiboune.

Mujur beliau berjaya menjadi pemain profesional dan menjadi wira negaranya serta Raja Senegal di Liverpool.

Jangan berhenti berimpian

“Sukar bagi saya ketika itu, kerana tiada yang menyokong saya mengejar impian saya.”

“Namun saya tidak pernah berhenti berimpian.”

“Ia memang keputusan sangat berani lari dari kampung dan meninggalkan keluarga saya, pergi ke Dakar, dan saya tahu saya akan berjaya suatu hari nanti.”

“Namun selepas itu keluarga saya faham dan lebih serius dalam menyokong saya. Mereka akhirnya tahu bahawa saya tidak ada benda lain yang boleh saya buat. Saya tiada pilihan, dan mereka membantu saya selepas itu.”

Dokumentari Made In Senegal sedang ditayangkan di Rakuten TV secara percuma.