Kisah Sedih Anel Ahmedhodzic: Selepas Dibuang Keluarga, Kini Digantung Seumur Hidup Oleh Negaranya

Pada tahun 2020, Anel Ahmedhodzic yang ketika itu berusia 21 tahun, yang merupakan antara bakat terbesar Sweden sebagai bek tengah, memilih untuk bermain untuk Bosnia dan Herzegovina. Kini FA Bosnia telah mengharamkannya seumur hidup selepas satu peristiwa yang pelik.

Empat tahun lalu, Ahmedhodzic berdepan dengan pilihan sukar sama ada bermain untuk Sweden atau Bosnia. Ahmedhodzic pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Sweden U17, U19 dan U21 dan jurulatih Sweden ketika itu, Janne Andersson memuji bakat muda itu.

Dilahirkan di Sweden kepada ibu bapa berdarah Bosnia, Ahmedhodzic layak bermain untuk kedua-dua pasukan kebangsaan. Bapanya mahu dia bermain untuk Bosnia dan ibunya mahu dia bermain untuk Sweden.

Pada musim panas 2020, pilihan pasukan kebangsaan Ahmedhodzic bertukar menjadi cerita bersiri yang diikuti rapat oleh media kedua-dua negara, mengakibatkan banyak spekulasi. Telefon Ahmedhodzic tidak pernah berhenti berdering, malah ia berdering sehingga dia memutuskan untuk menukar nombor telefon.

Ketepikan Sweden demi bangsa Bosnia dan Herzegovina

Sebelum musim luruh bermula, Anel Ahmedhodzic mengumumkan bahawa dia telah memutuskan untuk mewakili Bosnia dan Herzegovina.

Pilihan itu memulakan perdebatan tentang pemain yang telah dibesarkan dalam pasukan kebangsaan remaja Sweden dan kemudian memilih keluar dari Sweden. Rakyat Sweden mulai mengecam dia sebagai tidak mengenang budi. Kerana keluarganya hidup senang di negara tersebut tetapi dia pula memilih mewakili negara nenek moyangnya.

Pada masa yang sama, pemain pertahanan itu membuat penampilan pertamanya untuk pasukan kebangsaan baharunya.

“Apabila dia mula bermain, semua orang gembira dan berpuas hati, dia bermain dengan baik dan cepat menjadi lebih popular di Bosnia,” kata wartawan Bosnia Haris Mrkonja kepada akhbar Sweden Expressen.

Tetapi kemudian timbul perselisihan faham antara pihak. “Apa yang menjadi masalah terbesar pasukan kebangsaan ialah kadang-kadang dia tidak pergi ke Bosnia untuk berunding dengan doktor. Dia menyatakan bahawa dia cedera dan sebaliknya menghantar dokumen untuk membuktikannya,” kata Mrkonja.

Kelab lebih utama daripada negara

Kali pertama ia menjadi isu hanya dua bulan selepas dia memilih pasukan kebangsaan. Persekutuan telah menegur tingkah laku pemain itu yang dianggap “salah dan tidak bertanggungjawab” dan menuduhnya kurang patriotisme. Bagaimanapun, dua insiden seterusnya yang akan menyebabkan hubungannya dengan Bosnia dan Herzegovina terputus sepenuhnya.

Dia kemudian dituduh lebih mengutamakan kelab berbanding negara. Suka memilih atau selektif dalam tugasan kebangsaan.

Musim luruh lalu, pemain berusia 25 tahun itu menolak panggilan ke skuad kebangsaan menjelang kelayakan Kejohanan Eropah kerana kecederaan dan memilih untuk kekal bersama kelab Sheffield United. “Tiada sesiapa yang terkecuali daripada tanggungjawab untuk datang ke kem pasukan kebangsaan,” tulis persekutuan itu di laman webnya. Ramai menuduh kenyataan itu berbaur sindiran ditujukan kepada Ahmedhozic.

“Jangan percaya semua yang anda baca. Tetapi saya rasa kebanyakan orang tahu tentang masalah yang menyelubungi pasukan kebangsaan kita,” jawab Ahmedhodzic di Instagram.

Dia kemudiannya digantung daripada pasukan kebangsaan. “Menurut persekutuan, dia tidak menjawab telefon dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun,” kata Haris Mrkonja. Ini diikuti dengan insiden kontroversi di Belanda beberapa bulan lalu.

Dalam surat terbuka, Ahmedhodzic menerangkan bagaimana dia terpaksa meninggalkan sesi pasukan kebangsaan dengan kecederaan untuk memulakan pemulihan di Sheffield.

Tetapi menurut pasukan kebangsaan, dia tidak cedera pun. Di tengah-tengah semua kontroversi ini, menurut Mrkonja, bapa Anel campur tangan dan menyalahkan isteri Ahmedhodzic, Marijana kerana memberi pengaruh buruk kepada anaknya. Dia menuduh menantunya itu menjadi individu yang membawa pengaruh tidak sihat kepada anaknya.

‘Anel bukan anak saya lagi’

Dalam temu bual dengan wartawan selepas itu, bapanya berkata “Anel bukan anak saya lagi.” Ini mendorong Ahmedhodzic menghubungi Mrkonja untuk menerbitkan surat terbuka.

Dalam surat itu, Ahmedhodzic menulis bahawa dia telah bertengkar dengan bapanya dan mengutuk kebencian dalam talian yang dialaminya dan keluarganya.

“Saya fikir kami mempunyai penyokong terbaik yang sentiasa menyokong kami pemain apabila kami menang, seri atau kalah. Sentiasa bersorak dengan kuat. Tetapi malangnya, privasi saya telah diserang dengan cara yang paling teruk. Beribu-ribu mesej dengan yang paling teruk boleh dibayangkan.

“Seperti yang saya katakan, sebab terbesar saya memutuskan untuk bermain untuk Bosnia dan Herzegovina adalah kerana semangat ‘orang kita’. Sekarang saya sudah tidak mempunyai sebab untuk bermain,” tulisnya.

Beberapa hari kemudian, persekutuan bertindak balas dengan mengharamkan Ahmedhodzic seumur hidup daripada mewakili  negara itu lagi.

“Dia telah menghina seluruh negara,” kata pengurus pasukan kebangsaan Emir Spahic kepada laman web persekutuan.

“Walaupun anda cedera, mempunyai masalah keluarga atau apa sahaja, pasukan kebangsaan didahulukan dan anda perlu mengorbankan hampir segala-galanya untuk pasukan kebangsaan, kesihatan anda, potensi kerjaya anda. Begitulah pendapat penyokong di sini,” kata Mrkonja.

Jon Dahl Tomasson, yang kini melatih Sweden, membantu membangunkan Ahmedhodzic ketika menjadi jurulatih di Malmo FF, tempat Ahmedhodzic menghabiskan masa tiga tahun antara 2019-2022. Tetapi hari ini, Tomasson tidak boleh memilih Ahmedhodzic kerana dia tidak lagi boleh bermain untuk Sweden akibat sudah melakukan penampilan kompetitif bersama Bosnia.

“Saya suka budak itu,” Tomasson berkata beberapa kali. “Tetapi kita tidak boleh mengubahnya sekarang”