KLC Dan Selangor Terikat Dalam Perlawanan Hambar, Adakah Karsten Nitzel Terlalu Bereksperimen?

Ketika perlawanan memasuki minit 89.58 saat, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau melakukan larian bijak dan melepaskan bola kepada Danial Asri di sebelah kanan padang.

Penyerang berusia 21 tahun itu kemudiannya melakukan hantaran lintang menewaskan Irfan Zakaria. Ifedayo Olusegun berlari dibelakang Giancarlo Galifuoco dan bola melintas didepannya.

Namun entah bagaimana penyerang yang telah mencetak 13 gol itu tergamam melihat bola melintasinya.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1. Selangor cukup hambar sepanjang perlawanan dan gagal mencipta peluang yang cukup untuk menghasilkan gol dan menang.

Ifedayo Olusegun menjaringkan 11 gol dalam 6 perlawanan sebelum liga berehat

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan gagal menguasai barisan tengah dan banyak melakukan percubaan melambung dari luar kotak penalti.

Pada babak pertama Kuala Lumpur City meghasilkan 4 percubaan melewati palang gol Selangor dan Selangor gagal mencipta open chance sebelum jaringan pada minit ke-43 terhasil.

Jaringan penyamaan Selangor berpunca dari gerakan pemain center back, Sharul Nizam Zulpakhar masuk kedalam kotak penalti lawan dan melakukan hantaran ke Norhakim Hassan.

Norhakim kemudiannya melakukan hantaran lintang ke hujung kotak 6 ela, Danial Ting sepatutnya mudah untuk melakukan pintasan namun dia melakukan kesilapan besar dan mengelirukan penjaga gol, Kevin Mendoza.

Oliver Buff yang bertindak sebagai false 9 tiba dari belakang untuk menolak masuk selepas Ifedayo Olusegun terlepas.

Sebelum itu KLC terlebih dahulu membuka jaringan melalui sepakan percuma cantik dari Paulo Josue menewaskan Khairul Azhan Khalid di sebelah kanan gawang.

Sepakan itu dihadiahkan selepas Josue dihalang keras oleh Buff ketika dia mahu melakukan percubaan.

Bersambung pada babak ke-2, kedua-dua pasukan sekali lagi gagal mencipta sebarang peluang yang signifikan untuk mengubah keputusan sehinggalah peluang minit 89.58 muncul.

Pelan permainan Nitzel tidak jelas

Pada awal musim Selangor telah diperkuatkan dengan 3 pemain berstatus penjaring terbanyak dalam kancah saingan 2020.

Daniel Asri dipromosi ke skuad utama dengan koleksi 7 gol Liga Perdana (terbanyak) dan Selangor membawa masuk Shahrel Fikri (penjaring terbanyak tempatan-Liga Super) untuk bersama Ofedayo Olusegun (penjaring terbanyak Liga Super).

Walaupun mempunyai trio serangan yang mempunyai reputasi tinggi sebagai penjaring namun Nitzel tidak pernah menjumpai formasi dan peranan yang sesuai untuk mereka.

Bersama Perak, Shahrel diberi peranan lebih keatas untuk masuk ke dalam kotak penalti sementara Guilherme berada dibelakangnya.

Di Selangor Nitzel memberi peranan lebih kebawah atau disisi.

Kemasukan Aung Hein Htet pada tengah musim menghadkan lagi peluang Asri dan Shahrel yang masih belum teruji sepenuhnya.

Situasi tersebut memaksa Nitzel meletakkan ramai pemain di luar posisi kebiasaannya seperti Norhakim Hassan berada di midfielder center.

Lebih memburukkan keadaan Nitzel menjadikan Buff sebagai false 9, membuatkan unit serangannya mempunyai lambakkan teruk.

Pada perlawanan semalam Norhakim Hassan (bukan posisi primer), Mukhairil Ajmal dan Manuel Konrad ditugaskan menjaga kawasan tengah permainan yang juga dibantu oleh Buff.

Namun Selangor gagal menguasai kawasan itu walaupun mempunyai ramai pemain. Selangor terlalu cepat membawa masuk bola ke pocket zone yang membuatkan KLC sentiasa kompak dikawasan tersebut.

Selangor sering terperangkap diantara pemain pertahanan (Gallifuoco dan Irfan Zakaria) dan defensive midfielder (Kenny Pallraj dan Zhafri Yahya).

Apabila Selangor berada di pocket zone area, majoriti gerakannya dipatahkan dan hanya beberapa percubaan melambung yang berjaya dilakukan.

Gerakan minit 89.58 saat sedikit berbeza apabila Alif Haiqal melorongkan bola ke sisi kanan sebelum bola itu dilintangkan ke tengah berbanding paksa masuk melalui tengah.

Sekurang-kurangnya gerakan tersebut menjadi peluang terbaik untuk Selangor pada perlawanan tersebut.