Klopp Anggap Chelsea Sangat Kuat, Setara Dengan Manchester City Dan Liverpool

Jurgen Klopp menyatakan bahawa, Chelsea seharusnya diberikan perhatian lebih serius oleh media Inggeris.

Ramai yang menulis bahawa kualiti Liverpool dan Manchester City sangat jauh berbanding kelab kelab lain. Tetapi Klopp berpandangan berbeza.

Menurutnya pasukan Chelsea memiliki kualiti yang setara dengan 2 pasukan teratas musim lalu.

Cuma ramai yang dikaburi mata mereka kerana jumlah pungutan mata di dalam carta liga.

Jurang antara Chelsea dan saingan mereka yang mencabar gelaran mungkin kelihatan besar di atas kertas, tetapi hakikatnya ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

The Blues telah mengorak langkah hebat dalam merapatkan jurang antara mereka dan Liverpool, tetapi disebabkan oleh kecederaan yang sangat banyak melanda membuatkan mereka berada 18 mata di belakang The Reds.

Walaupun mempunyai separuh masa kedua musim yang sukar dilupakan, ditambah isu luar padang melibatkan sekatan yang dikenakan kerajaan UK ke atas mereka, Thomas Tuchel masih berjaya membawa pasukannya ke tiga teratas.

Mereka gagal mendapatkan yang terbaik daripada Romelu Lukaku, tetapi masih mampu membentuk serangan yang menggerunkan dengan sistem false 9.

Jurgen Klopp sendiri mengakui bahawa pasukannya bermain dengan prestasi yang baik ketika menentang Chelsea tetapi masih bergelut untuk menewaskan mereka pada masa biasa.

Seterusnya dalam dua final pertandingan piala, Liverpool terpaksa menang dengan penentuan  penalti. Lebih penting lagi, Klopp meramalkan bahawa musim baharu akan menjadi musim yang menyaksikan Chelsea akan menjadi lebih kuat.

Bercakap dengan ESPN FC, Klopp menjelaskan bahawa Chelsea sebenarnya boleh mencabar Liverpool dan Manchester City dengan kualiti mereka ada.

“Apabila kami menentang Chelsea, kami tidak memenangi satu perlawanan pun. Dan itu bukan kerana kami teruk pada hari itu. Tidak, kami benar-benar bagus dalam perlawanan itu.”

“Akhirnya, kami hanya menang dengan penentuan sepakan penalti, kami boleh memenanginya, tetapi dalam 90 minit, kami tidak mampu melakukannya. Jadi itu menunjukkan anda bahawa Chelsea sangat kuat.”

Chelsea kini berada dalam kedudukan yang unik di mana mereka sedang menjalani pembinaan semula pada masa yang sukar. Mereka mempunyai pemilik baru yang dahagakan trofi dan struktur yang membentuk pasukan untuk menang dan stabil untuk kelab.

Mereka mempunyai pengurus yang telah mengubah pasukan yang dianggap tak boleh bermain bersama ketika era Lampard menjadi pasukan juara Eropah.

Tuchel kehilangan dua pemain pertahanan terbaiknya dalam satu jendela perpindahan dan mungkin bakal kehilangan seorang lagi. Mereka segera mendapatkan Kalidou Koulibaly selepas Bayern dilihat lebih berpotensi mendapatkan De Ligt.

Itu bukti bahawa Chelsea bertindak dengan sangat cepat. Selain itu mereka juga sudah mengesahkan pembelian Raheem Sterling dari Manchester City.

Jika Tuchel berjaya menggabungkan pemain pemain baharunya dengan segera ke dalam pasukan Chelsea yang ada, dia pastinya akan membentuk pasukan yang boleh mencabar kejuaraan.

Dan sudah tentunya aspek kecergasan juga akan menjadi penting. Aspek yang menjadi masalah utama Chelsea musim lalu.