Kluivert: “Ampunkan Saya Maradona, Cruyff Dan Pele, Messi Adalah GOAT Sebenar”

Legenda Belanda, Patrick Kluivert mengiktiraf Lionel Messi sebagai GOAT sebenar berbanding dengan mana mana pemain termasuk Pele atau Maradona.

Ikon Argentina itu, yang bakal membuka lembaran baharu dalam karier kelabnya bersama kelab MLS Inter Miami, akhirnya mendapat peluang untuk menikmati kegemilangan Piala Dunia di Qatar 2022.

Pemenang Ballon d’Or tujuh berada dalam prestasi terbaik yang diidamkan oleh negaranya pada Piala Dunia 2022.

Ianya satu lagi piala antarabangsa ditambah Messi untuk Argentina selepas karier kelab yang sarat trofi di Barcelona dan PSG.

Messi satu ketika dahulu pernah berkata, dia sanggup menukar kesemua pialanya bersama Barca untuk 1 Piala Dunia.

Selepas dianggap tidak ada harapan lagi ketika dia kalah final 2014, dan kempen suram 2018, Messi menjadi kapten inspirasi negaranya untuk memenangi Piala Dunia 2022. Menamatkan penantian sejak 1986.

Bekas bintang Blaugrana dan Belanda, Kluivert percaya bahawa Messi kini boleh mendakwa sebagai GOAT dalam bola sepak, dengan pemain Amerika Selatan yang lincah itu melampaui apa yang telah dicapai oleh orang lain dalam permainan.

Dengan rasa hormatnya, Kluivert telah mengiktiraf Messi sebagai GOAT sebenar dalam bola sepak. Kalau ada yang tak setuju sekalipun, Messi tetap antara yang terbaik sepanjang zaman, menurut bekas penyerang Belanda itu.

Kluivert berkata: “Dengan segala rasa hormat saya memohon maaf kepada Diego Maradona, Pele dan Johan Cruyff, dan kepada semua legenda lain dalam permainan, apa yang telah dicapai Messi menjadikannya pemain terhebat yang pernah ada.”

“Dia telah memenangi Piala Dunia, Copa America dan saya tidak tahu berapa banyak trofi Liga Juara-Juara Eropah – dia telah memenangi semua trofi yang seorang pemain bola sepak ingin menang.”

“Dan ada banyak anugerah peribadi yang dimenanginya juga. Saya menganggap Messi sebagai salah seorang, jika bukan yang terhebat pernah ada.”

Messi telah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali kesemuanya bersama Barcelona, dan gelaran Liga telah diperolehi sebanyak 10 kali sepanjang berada di Barcelona. Dua lagi kejuaraan domestik telah diraih semasa berada di kelab gergasi Ligue 1 iaitu PSG.

Dan dia berjaya membantu Argentina menjuarai Copa America yang telah lama ditunggu-tunggu pada 2021. Diikuti Finalissima, yang mempertemukan juara Amerika Selatan menentang Juara Eropah.

Messi mencatatkan lebih 800 gol dalam kariernya. Dan dia masih aktif bersama negaranya. Scaloni sememangnya mahu Messi terus bersama Argentina mempertahankan Piala Dunia mereka pada temasya Piala Dunia 2026 nanti.

Messi menegaskan bahawa kini dia mahu beraksi lebih santai di Amerika Syarikat kerana dia sudah tidak perlu membuktikan apa apa lagi dalam kariernya.

Messi berkata: “Saya sudah memenangi segalanya dalam bola sepak. Tiada satu pun tertinggal. Piala Dunia adalah tertinggi.”

Messi mengakui dia dan keluarganya memang merancang untuk tinggal di Amerika Syarikat menjelang fasa akhir kariernya sebelum bersara.

Messi sebenarnya merancang untuk menamatkan karier antarabangsanya selepas Piala Dunia 2022, terutama sekali jika dia berjaya memenaginya.

Sebelum Piala Dunia 2022, Messi berkata: “Jika saya menang Piala Dunia 2022, keesokan harinya juga saya akan bersara.”

Namun Messi akhirnya sedar bahawa kejayaan dia membantu Argentina menjuarai Piala Dunia membuatkan khidmatnya semakin ditagih oleh negaranya.

Sebelum ini Messi pernah mengumumkan untuk bersara selepas dikecam teruk kerana terus gagal memberikan piala kepada Argentina berbanding Barcelona.

Namun, pengurus yang baru dilantik masa itu, Scaloni memujuknya kembali, dengan berkata, jersi no.10 tak akan diberikan kepada mana mana pemain kerana pemakainya masih ada.

Messi akhirnya keluar daripada persaraan dan membantu negaranya mencipta sejarah bersama generasi baharu.