Ronald Koeman ditanya tentang bagaimana pandangannya terhadap Memphis Depay yang berpindah ke Liga Brazil. Ini selepas komen pedasnya ke atas Steven Bergwijn yang menyertai Arab Saudi.
Koeman melabel Bergwijn sebagai tidak ada cita cita apabila menyertai Liga Pro Saudi. Dan pemain itu secara automatik tidak akan dipanggil lagi ke skuad kebangsaan Belanda lagi.
Koeman kecewa kerana pemain itu meninggalkan liga di Eropah untuk menyertai liga yang dianggap kurang prestij dan kurang kompetitif.
Keoman mempertahankan keputusannya memanggil Gini Wijnaldum sebelum ini ke dalam skuad kebangsaan Belanda walaupun pemain itu bermain di Liga Saudi. Menurutnya situasi Gini berbeza kerana pemain itu sudah di fasa akhir kariernya.
“Anda tidak boleh membandingkan situasi Wijnaldum dengan Bergwijn. Gini ke Saudi kerana situasinya di PSG yang mendesaknya ke sana. Lagipun dia sudah berusia sedangkan Bergwijn masih muda. Menunjukkan dia tiada cita cita kesukanan,” kata Koeman.
Koeman kemudian ditanya tentang bagaimana pula dengan Memphis Depay yang menyertai liga Brazil.
Menurut Koeman, Depay bukan ke Saudi, sebaliknya ke Liga Brazil yang dianggap sangat beprestij dari segi kualiti persaingan.
Koeman berkata: “Saya tak setuju Bergwijn ke Arab Saudi. Dengan Memphis, situasinya berbeza. Kualiti Liga Brazil itu berbeza. Ya, Depay masih boleh menjadi sebahagian daripada pemain kebangsaan Belanda. Namun ia bergantung kepada tahap kecergasan dan kita akan menilai sama ada dia masih boleh mencapai tahap yang kita mahukan.”