Kolum Taktikal: Tujuan Utama Ten Hag Mahukan Weghorst Kerana Dia Mesin Pressing Yang Gila!

Erik Ten Hag sedang membina Manchester United agar menjadi pasukan yang bermain dengan gegenpressing.

Jadi, penandatanganan Weghorst sebenarnya ada kaitan dengan sistem counterpressing ini.

Dalam analisis yang saya bentangkan sebelum ini, ada data menunjukkan Man United adalah pasukan yang paling aktif melakukan counterpressing ataupun gegenpressing.

Apa itu counterpressing?

Ianya adalah momen di mana pemain terus menekan lawan mereka sebaik sahaja mereka kehilangan bola di kawasan lawan.

Ianya dilakukan dengan intensiti dan tekanan di high line.

Counterpressing sangat sinonim dengan Marcelo Bielsa, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp. Terdapat pelbagai variasi counterpressing, namun asasnya ia adalah aktiviti memenangi bola segera di kawasan lawan setelah kehilangannya.

VIDEO: Lihat Gegenpressing Merecik Pasukan Bielsa – Leeds United

Ianya berbeza dengan sistem klasik di mana apabila pasukan itu hilang bola mereka akan turun secara berpasukan untuk membentuk unit pertahanan di bawah atau drop deep.

Dan kini dua pengurus baharu, Mikel Arteta dan Erik Ten Hag mulai memasuki gelanggang persaingan untuk menjadikan EPL sebagai tempat pertarungan counterpressing.

Lihat rajah di bawah ini:

Manchester United yang sebelum ini dikaitkan dengan taktikal park the bus di bawah Jose Mourinho dan pendekatan pragmatik di bawah Ole Gunnar Solskjaer benar benar sudah berubah wajah.

Mereka menjadi pasukan paling sukses melakukan counterpressing dalam 90 minit. Satu satunya pasukan di atas purata 29% counterpessing berjaya mereka lakukan setiap perlawanan.

Ianya merujuk kepada kejayaan counterpressing dalam merampas bola kembali daripada lawan.

Kedua adalah Manchester City, diikuti oleh Arsenal, Chelsea dan Liverpool.

Ada 5 pasukan paling rendah kejayaan aktiviti counterpressing mereka di bawah 20 per perlawanan iaitu Bournemouth, Wolves, Nottingham Forest, Crystal Palace dan West Ham United.

Namun dari segi cetusan ancaman daripada counterpressing yang terus mencetuskan ancaman gol. Liverpool masih lagi pasukan pakar dalam perkara itu.

Mereka adalah pasukan paling tinggi ancaman ke arah gol daripada counterpressing.

Ada 3 pasukan dengan impak paling tinggi daripada counterpressing, di mana kejayaannya menghasilkan gol adalah di atas 32.5% iaitu Liverpool, Arsenal dan Brighton.

Manchester United berada di atas Manchester City dan Fulham dari segi purata ancaman kepada gol.

Ianya satu pencapaian yang harus dibanggakan ketika ini. Bukti bahawa proses pembentukan DNA taktikal di Old Trafford sedang berjalan lancar.

Relevan Man United mendapatkan Wout Weghorst

Ianya adalah perancangan jangka pendek untuk kelab ini pada musim ini. Weghorst digelar mesin pressing dari kalangan penyerang no.9.

Walaupun dia tidak begitu banyak gol ketika di Burnley, namun dari segi high pressing dia sangat aktif.

Dari kalangan pemain yang bermain di liga utama Eropah musim 2021/22 yang lalu, Weghorst berada di tangga kelima sebagai penyerang paling aktif melakukan pressing dalam 90 minit di belakang Foden dan di atas Diogo Jota.

Dia dianggap sebagai monster dalam pressing dan membantu pertahanan. Selain itu Weghorst juga sangat bagus dalam link up play.

Maka tak hairanlah kalau ada pundit membandingkan Weghorst sebagai ‘Dusan Tadic’ untuk Ten Hag di Man United. Kerana dia akan menjadi mesin pressing pasukan.

Dalam satu perlawanan EPL antara Burnley dengan Wolves, Weghorst secara tak masuk akalnya melakukan 57 pressing dalam perlawanan itu. Ianya sangat luar biasa.

Korang bayangkan apabila seorang pemain melakukan lebih 30 pressing dalam satu perlawanan pun dianggap gila. Inikan 57 pressing.

Ini adalah data dia ketika di Bundesliga:

Kerajinan ini bukannya ada pada setiap pemain. Ianya adalah satu gaya permainan yang semulajadi.

Pada 2021/22 Weghorst melakukan lebih 48 pressing untuk setiap perlawanan, jumlah yang sangat tinggi untuk seorang penyerang, terutama sekali yang beraksi dalam sistem permainan defensif.

Erik Ten Hag mahu menggunakan pemain yang benar benar bagus untuk berdepan dengan permainan fizikal yang banyak di EPL.

Di mana perkara itu diakui oleh Ten Hag sebagai sukar untuk dilakukan Martial yang lebih selesa dengan permainan secara off ball movement dan mengelak pertarungan fizikal terlalu banyak.

Dia boleh melakukan pressing untuk sehari suntuk, kata seorang peminat Man United.

Bukan mudah untuk menandatangani pemain pada Januari. Man United mengenalpasti pemain yang mereka ada peluang tinggi untuk dapat dan memiliki gaya permainan sesuai dengan Ten Hag.

Weghorst juga pilihan yang sangat murah. Dia mungkin tak akan menjadi mesin gol untuk United. Namun dari segi kepentingan taktikal, dia dijangka akan memainkan peranan pentingnya.

Baca yang lain