Komen Rasis, Bekas Pemain Badminton Kebangsaan Minta Maaf

Bekas pemain badminton Malaysia, Bong Guang Yik, tular di media sosial kerana kritikannya terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berunsur perkauman.

Komennya ternyata jelek dan menyinggung perasaan bangsa dan agama serta melibatkan solat lima waktu sehari di kalangan orang Islam.

Menerusi aplikasi tiktok, Bong Guang Yik mengkritik pencapaian badminton Malaysia. Bong Guang Yik pada mulanya mengkritik kegagalan pemain Malaysia dalam Terbuka Malaysia 2023.

Bagaimanapun, apabila mengkritik peranan BAM dalam usaha meningkatkan prestasi, Bong Guang Yik membuat komen perkauman.

“Bagi orang Melayu yang masuk saf pengurusan [BAM]. Dah solat lima waktu, jadi tak ada niat nak jaga BAM.”

“Sistem yang lemah menyebabkan semua pemain Malaysia merosot,” kata Bong Guang Yik.

Selain itu, Bong Guang Yik yang kini menetap di China berkata, orang Melayu malas dan hanya tahu tentang makanan.

Komen Bong Guang Yik serta-merta mendapat kritikan daripada pelbagai netizen Malaysia. Netizen Malaysia mengingatkan Bong Guang Yik supaya berhati-hati dalam komennya.

Malah sebilangan netizen Malaysia menganggap komen Bong Guang Yik perlu diambil perhatian secara serius oleh pihak berkuasa.

Ramai mengecam komen tersebut termasuk mereka yang berbangsa Cina sendiri. Menganggap komen itu tidak matang dan dibuat sesedap mulut dia je.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengecam Guang Yik. Hannah menyatakan bahawa, ibadat seseorang itu tidak akan mempengaruhi prestasi mereka di atas gelanggang.

Komen tersebut juga mendapat perhatian BAM yang sudah menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA).

BAM meminta CBA mengambil tindakan kepada individu yang rasis dan dia tidak berhak berada dalam keluarga badminton dunia.

BAM Berkata: “BAM mengecam kenyataan berbaur perkauman.”

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam komen perkauman jijik yang disiarkan oleh seorang warga Malaysia yang menetap di China. Warganegara Malaysia ini yang nampaknya sedang berlatih di China menyiarkan video itu di TikTok.”

“BAM benar-benar terkejut dan akan memanjangkan isu ini termasuk menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA).”

“Komen-komen yang memecahbelahkan seperti ini tidak mendapat tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan.”

“Persatuan mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu ini.”

“Orang yang rasis seperti itu tidak boleh diupah untuk bekerja sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari oleh berjuta-juta orang dari semua kaum dan agama.”

“BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia.”

Tidak lama selepas itu Guang Yik tampil dengan permohonan maaf di atas kenyataannya.

Dia berkata, dia kesal dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasis, cuma bercakap atas kapasiti sayang kepada industri sukan negara.

Dalam video terbarunya, Guang Yik berkata: “Saya dengan ikhlas meminta maaf kepada semua. Alasan saya berkongsi pandangan saya kerana saya sangat cintakan badminton.”

“Saya cuma berpendapat bahawa pengurusan haruslah lebih cekap di setiap peringkat untuk manfaat kepada sukan.”

“Dan saya tak sepatutnya menyentuh isu berkaitan kaum dan untuk itu, saya sekali lagi meminta maaf.”