Kontrak Yamaha SRT Dan Rossi Tertangguh Kerana The Doctor Nak Angkut Semua Krew

Petronas Yamaha SRT masih tidak mencapai persetujuan dengan Rossi kerana beliau dikatakan mahu membawa semua krewnya ke SRT.

Rundingan antara Valentino Rossi dan Petronas Yamaha SRT masih belum selesai walaupun Lin Jarvis menyatakan ianya sangat hampir.

Malah Lin Jarvis sendiri menyatakan bahawa ada sedikit perkara berkaitan kontrak masih gagal dimuktamadkan dan ia melibatkan beberapa perkara termasuk penajaan.

Laman Motorsports melaporkan bahawa selain daripada tajaan, isu krew juga antara halangan dalam perbincangan itu.

Pengurus SRT Petronas Yamaha, Wilco Zeelenberg, menyatakan bahawa dia telah menyediakan tempat kosong untuk Valentino Rossi di MotoGP 2021.

Namun, mereka seboleh-bolehnya tidak ingin merombak pasukan mereka secara besar-besaran untuk memberikan tempat untuk kru Rossi dari Monster Energy Yamaha masuk secara beramai ramai.

Rossi dan Fabio Quartararo dikatakan akan bertukar tempat tahun depan, walaupun Rossi belum menandatangani kontrak. Cuma Rossi pernah memberikan bayangan beliau akan beraksi bersama SRT secara terbuka.

Dilaporkan, Rossi ingin membawa seluruh anak buahnya ke SRT, meneruskan tradisinya sebelum ini sejak membuat debut GP500 pada tahun 2000.

Sebaliknya, Quartararo juga ingin membawa seluruh krunya ke pasukan kilang.

“Kami kehilangan Fabio, dan kami menyediakan tempat kosong untuk Vale. Yamaha menandatangani Vale, dan setakat ini kami belum mendengar bahawa dia telah menandatangani kontrak.”

“Jadi, itu bergantung pada Vale dan Yamaha. Kami hanya sebahagian kecil daripada semua ini. Dia diikat oleh Yamaha secara kontrak, dan bukan Petronas, “kata Zeelenberg kepada Motorsport.

Walaupun Rossi belum menandatangani kontrak, Valentino Rossi kelihatan sudah pasti mewakili SRT pada tahun 2021.

Ada juga laporan menyatakan Rossi mungkin akan diberikan peluang untuk membawa seluruh krewnya ke SRT.

Tetapi harus menunggu keputusan Quartararo mengenai perkara yang sama.

Namun, Zeelenberg menegaskan Rossi sangat ingin membawa krewnya berbanding dengan Quartararo.

“Itulah yang mereka bincangkan. Vale mempunyai pilihan sendiri, tetapi kami juga mempunyai tanggungjawab.”

“Kami adalah pasukan yang bekerja untuk masa depan. Vale memang mempunyai masa setahun, dan dia melakukannya dengan baik pada usianya, tetapi dia bukan masa depan kita, dibandingkan dengan pelumba muda yang lain.”

“Walaupun dia legenda dan akan mewakili kami tahun depan, kami ingin menggabungkannya dengan pasukan muda kami, dan ianya adalah hak kami untuk memutuskan siapa yang akan bekerja dengan pasukan kami,” kata mantan jurulatih perlumbaan Jorge Lorenzo dan Maverick Vinales itu.

Sebelum ini Yamaha sudah memberikan lampu hijau untuk Rossi membawa krewnya dari Monster Energy, namun hanya dua orang sahaja.