Kontroversi Piala Dunia 1978 Di Argentina: Pergolakan Politik, Pencabulan Hak Asasi, Dan Korupsi

Bola sepak kerap digunakan sebagai satu instrumen oleh orang yang berkepentingan untuk dijadikan tempat mereka berpolitik.

Ini kerana, bola sepak adalah perkara yang paling digemari di seluruh dunia dan kadang kala ia dipandang lebih dari sekadar sukan.

Di Argentina, ramai orang menganggap bola sepak itu agama.

Pada tahun 1966, Argentina telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 1978.

Menjelang kejohanan, pemilihan Argentina sebagai penganjur telah membangkitkan beberapa tentangan daripada negara-negara luar.

Argentina masih lagi bergolak dengan pemerintahan diktator. Dua tahun sebelum itu, presiden yang dipilih secara demokrasi iaitu Isabel Peron telah digulingkan oleh Jeneral Jorge Rafael Videla.

Jeneral Videla bukanlah seorang yang meminati bola sepak, tetapi dia tahu betapa besarnya pengaruh sukan ini terhadap jutaan rakyat jelata di Argentina.

Kejohanan kali ini dilihat sebagai salah satu medan propaganda kerajaan Argentina seperti mana yang pernah digunakan oleh Adolf Hitler pada Sukan Olimpik 1936.

Mereka menggunakan peluang ini untuk menyucikan pandangan umum terhadap kerajaan yang dipandang teruk dengan kekacauan politik setempat.

Menuju ke hari gemilang dalam bola sepak, Jeneral Omar Actis, pengerusi Komiti Penganjuran Piala Dunia telah dibunuh kerana mengeluarkan kenyataan yang kejohanan Piala Dunia ini bakal menelan kos yang sangat besar.

Lebih ramai orang hilang terutamanya yang ada hubungan dengan pembangkang rejim dan kebanyakannya dicampak ke laut.

Setahun sebelum kejohanan berlangsung, dianggarkan lebih 5000 rakyat Argentina telah hilang tanpa dikesan.

Stadium River Plate yang bakal menjadi gelanggang perlawanan akhir pula berlokasi hanya dalam jarak 1 batu dari kem tahanan.

Dikatakan, banduan di dalam kem tahanan boleh mendengar sorakan orang ramai di stadium.

Di kem tahanan juga, selain diseksa, banduan didengarkan dengan ulasan perlawanan dan dipaksa untuk bersorak di sebalik tirai besi.

Banyak negara telah membincangkan sama ada mereka perlu memboikot kejohanan Piala Dunia kali ini.

Belanda antara salah satu negara yang berbelah bagi dalam menyertai kempen di Argentina ketika itu.

Di akhirnya, mereka menetapkan untuk mengambil bahagian juga walaupun tanpa kelibat tonggak utama iaitu Johan Cruyff.

Johan Cruyff menarik diri dari menyertai pasukan kebangsaan ekoran kes percubaan culik yang berlaku setahun sebelum itu di Barcelona.

Bermulanya kejohanan yang penuh kontroversi.

Piala Dunia bermula dengan Jeneral Videla memberitahu para penonton bahawa kejohanan kali ini akan dimainkan dengan penuh rasa aman dan tenteram.

Argentina selaku penganjur telah diberikan kelebihan istimewa untuk bermain dalam perlawanan sebelah petang.

Dalam makna kata mudah, mereka dapat tahu keputusan lain sebelum perlawanan mereka bermula lagi.

Argentina memulakan perlawanan dengan menang 2-1 ke atas Hungary.

10 hari sebelum itu, Hungary ada melakukan perlawanan persahabatan dengan pasukan England.

Pengurus Hungary ketika itu sudah memberikan tanda-tanda tertentu, dengan menyatakan hingga udara di sana sendiri berpihak kepada Argentina, dan tidak pelik jika Argentina yang akan menjuarai kempen nanti.

Perlawanan seterusnya, misi sukar menanti Argentina di mana mereka akan bertemu Perancis yang ditunjangi Michel Platini.

Perancis perlu menang untuk terus kekal di dalam kejohanan.

Seperti biasa kontroversi berlaku, kali ini Perancis seolah-olah dinafikan keadilan buat mereka.

Mengikut beberapa sumber, pemain Perancis mendengar sendiri pengadil sekadar memberi amaran biasa apabila kekerasan dilakukan oleh kapten pasukan iaitu Daniel Passarella.

Apabila Perancis berkali-kali dinafikan hak mereka untuk penalti, berbeza pula layanan buat Argentina. Argentina menang dengan keputusan 2-1, dan gol kemenangan yamg dijaringkan adalah hasil sepakan penalti.

25 tahun kemudian, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bekas pemain bola sepak Perancis telah menelefon stesen radio dan membuat tuduhan dengan menyatakan Argentina menggunakan dadah jenis amphetamine bagi meningkatkan prestasi mereka.

Ada juga sumber menyebut tentang pemain Argentina terpaksa ditenangkan selama dua jam selepas perlawanan kerana kesan daripada bahan terlarang.

Ada laporan menyebut ketika sampel air kencing diberikan kepada autoriti, satu daripada sampel yang diberikan oleh pengurusan Argentina adalah milik seorang wanita mengandung

Argentina menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan kedua disebabkan kekalahan di tangan Itali.

Membayar Peru untuk kejayaan.

Peringkat kumpulan seterusnya, Argentina bakal ditempatkan sekumpulan bersama-sama Brazil, Poland, dan Peru.

Untuk tempat di final, nasib Argentina akan ditentukan dalam perlawanan menentang Peru, di mana Argentina terlebih dahulu mengalahkan Poland 2-1 dan seri 0-0 dengan Brazil.

Argentina berdepan dengan masalah apabila Brazil berjaya menumpaskan Poland dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan awal.

Mereka perlu menang ke atas Peru dengan jurang 4 gol bagi menempah slot ke final.

Nampak seperti terlalu berat sebelah dengan susunan jadual. Brazil perlu bermain dengan cuaca panas siang hari manakala Argentina pula bermain dalam suhu yang lebih sejuk di waktu petang.

Dalam perlawanan itu, Peru bermain dengan sangat teruk. Persembahan mereka menurun dengan sangat drastik berbanding sebelum itu.

Pasukan Peru telah menewaskan Scotland dan Iran, kemudiannya mengikat Belanda seri pada peringkat kumpulan awal.

Tiba-tiba, mereka langsung menjadi sebuah pasukan yang tidak reti bermain bola sepak. Argentina mengalahkan mereka dengan jaringan 6 gol tanpa berbalas.

Ada ura-ura tentang pemain Peru telah diberikan bayaran tertentu. Jeneral Videla juga ada membuat perjanjian sulit bersama Jeneral Morales-Bermudez yang juga presiden Peru.

Antara isi perjanjian adalah menangkap pelarian Peru di Argentina, membayar $50 juta kepada pegawai tertinggi, dan membuat penghantaran bijirin ke Peru.

Semuanya untuk membolehkan Argentina menang.

Permainan minda Argentina dalam melawan Belanda.

Argentina akan bertemu Belanda di saingan akhir kejohanan Piala Dunia 1978.

Apabila lawan bertemu Argentina, sudah tentu pasti akan ada banyak masalah.

Ia bermula dengan isu pemilihan pengadil.

Perlawanan akhir sepatutnya diadili oleh Abraham Klein, seorang pengadil dari Israel tetapi pihak Argentina membantah dengan alasan hubungan rapat Belanda dan Israel, lantas mereka inginkan individu lain menjadi pengadil.

Seorang pengadil asal Itali dipilih berdasarkan hubungan rapat Argentina dan Itali.

Sebelum perlawanan akhir bermula, para pemain Belanda dibawa ke stadium dan disuruh untuk menunggu di atas padang di hadapan ribuan penyokong sebelum pemain Argentina masuk ke padang.

Belanda perlu menghadapi banyak serangan psikologi dari tuan rumah.

Rene van der Kerkhof telah memakai plaster di pergelangan untuk mengelakkan kecederaan pada perlawanan sebelumnya lagi.

Tiada aduan langsung dari mana-mana pihak sebelum itu.

Kapten Argentina, Daniel Passarella mengadu kepada pengadil tentang plaster tersebut. Perkara ini membuatkan Van der Kerkhov agak berang dan dia diarahkan untuk membuangnya.

Perlawanan yang dipenuhi aksi terjahan dan bentesan itu berakhir dengan kemenangan 3-1 berpihak kepada Argentina selepas masa tambahan.

Rumusan.

Argentina adalah juara dunia buat pertama kalinya namun kejuaraan itu tidak dipandang mulia seisi dunia.

Piala Dunia 1978 menjadi satu taktik mengaburi mata orang ramai tentang kekejaman pemerintahan rejim Jeneral Videla.

Ramai berpendapat bahawa Piala Dunia pada tahun itu tidak sepatutnya berlangsung termasuklah pemain mereka sendiri iaitu Leopoldo Luque.

Ricardo Villa pula memberitahu bahawa para pemain Argentina telah dipergunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Dianggarkan dalam 30,000 orang telah dibunuh sepanjang pemerintahan Jeneral Videla.

Piala Dunia 1978 kekal menjadi salah satu kejohanan antarabangsa yang sangat kontroversi, dengan pergolakan politik, pencabulan hak asasi, dan korupsi berlaku sepanjang kempen tersebut.

Inilah antara momen bola sepak ditunggang oleh mereka yang punya kepentingan dalam politik.

Rujukan:

Bensinger, K. (2022). When Argentina Used World Cup Soccer to Whitewash Its Dirty War. Retrieved 10 July 2022, from https://www.history.com/news/world-cup-soccer-argentina-1978-dirty-war

Dhar, P. (2022). World Cup History: Controversy in Argentina ruins Dutch dreams-Sports News , Firstpost. Retrieved 10 July 2022, from https://www.firstpost.com/sports/world-cup-history-conspiracy-in-argentina-ruins-dutch-dreams-1515995.html

Forrest, D. (2022). The political message hidden on the goalposts at the 1978 World Cup. Retrieved 10 July 2022, from https://www.theguardian.com/football/in-bed-with-maradona/2017/jul/05/1978-world-cup-argentina-political-protest-goalposts

Baca yang lain

Bayern Munich Mahu Unai Emery

Pengurus Aston Villa, Unai Emery kini berada dalam radar Bayern Munich. Bekas pengendali PSG dan pemenang beberapa trofi UEL itu menunjukkan hasil