Stadium Astro melaporkan bahawa, rata-rata jurulatih dan pemerhati bola sepak negara bersetuju sekiranya Piala Malaysia perlu dikorbankan musim ini – jika penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) berterusan.
Pada ketika ini, Liga Malaysia sedang berehat kerana wabak Covid-19 yang melanda dunia, dan Malaysia tak terkecuali.
Dalam aksi terakhir sebelum berehat, perlawanan dilangsungkan di dalam stadium tanpa penyokong.
Impak covid-19
Jika keadaan terus buruk, tidak mustahil musim bola sepak di Malaysia pada musim ini akan terjejas dari segi kalendar kejohanan.
Oleh itu, piala yang dianggap beprestij dan paling legend iaitu Piala Malaysia berisiko untuk dikorbankan pada musim ini.
Namun begitu, MFL masih berharap Piala Malaysia akan kekal berada dalam kalendar bola sepak Liga Malaysia pada musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan menyatakan: “Ia langkah terakhir (batal Piala Malaysia dan langkah kritikal yang akan diambil oleh MFL).”
“Diharapkan ia tidak berlaku.”
Seterusnya, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman pula menyatakan, berdasarkan situasi semasa, perkara itu mungkin tak dapat dielakkan.
Namun beliau mencadangkan agar format Piala Malaysia itu diubah.
Beliau berkata: “Piala Malaysia merupakan saingan berprestij, semua orang menunggunya pada setiap tahun. Mungkin format diubah kepada jumlah pasukan yang menyertainya.”
“Tetapi kalau Liga-M bersambung lewat hingga Jun depan, mungkin Piala Malaysia tidak dapat dijalankan.”
Berdasarkan perancangan ketika ini, saingan liga dijadualkan bersambung semula seawal bulan depan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan berkesan.
Meskipun Piala Malaysia tidak menawarkan slot ke kejohanan di peringkat Asia, namun ianya tetap menjadi piala yang menjadi rebutan setiap pasukan di negara kita.
Antara prestij dan keutamaan
Ianya adalah piala yang tertua di rantau Asia. Edisi pertama Piala Malaysia adalah pada tahun 1920. Selangor merupakan juara terbanyak Piala Malaysia dengan 33 kejuaraan.
Sudah banyak nama legenda yang menyinar daripada kejohanan Piala Malaysia.
Namun begitu, jika situasi semasa terus kritikal, rata-rata jurulatih tempatan bersetuju agar saingan itu tidak dilangsungkan musim ini.
Ketua Jurulatih Perak iaitu Mehmet Durakovic berkata: “Bukan ideal untuk meneruskan aksi ketika ini.”
“Perak memulakan musim ini dengan baik tetapi keselamatan perlulah menjadi keutamaan kerana kita tidak tahu di manakah boleh dijangkiti.
“Kita perlu melindungi diri sendiri kerana ia boleh merebak kepada orang lain..
“Kita perlu keselamatan diri, bola sepak sudah menjadi perkara kedua.”
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, pula menyatakan, keutamaan adalah Liga Super dan Piala FA. Itu yang paling penting.
Beliau menegaskan: “Apa yang penting, saingan Piala FA dan liga perlu diteruskan.”
Sebagai tambahan, Liga Super dan Piala FA menawarkan tempat dalam kejohanan serantau iaitu kejohanan AFC.