Kylian Mbappe Terus Julang Trofi Eropah Pada Aksi Debut Bersama Real Madrid

Kylian Mbappe menjaringkan gol sulung untuk memulakan debut impian bersama Real Madrid dan menunjukkan dia memang dilahirkan untuk menjadi Galactico.

Superstar Perancis itu mengetuai barisan untuk kelab baharunya buat kali pertama malam tadi – dan sudah mempunyai trofi pertama di kabinetnya. Dengan kemenangan 2-0 ke atas Atalanta memastikan Real Madrid memenangi Piala Super UEFA keenam.

Peminat Real Madrid meneruskan keterujaan mereka menerima kehadiran bintang baharu mereka itu. Mbappe memakai jersi no.9 bersama dengan skuad juara Sepanyol dan juara Eropah itu.

Dia turut mencetak gol kedua untuk pasukannya selepas gol oleh Fede Valverde.

Melihat kepada senarai barisan kesebelasan utama mereka sudah cukup untuk membuatkan bulu roma meremang, pasukan ini ibarat pasukan Fantasi.

Mereka membariskan Mbappe, Vinicius Jr, Jude Bellingham. Real Madrid juga menurunkan Thibaut Courtois untuk berkawal di gawang mereka. Dan Madrid yang berwajah baharu itu berjaya untuk mengenepikan pemenang Liga Europa, Atalanta.

Mbappe menyatakan dia benar benar gembira: “Ia perasaan luar biasa bersama dengan kelab terbaik di dunia.”

Jude Bellingham menghamburkan pujian kepada Kylian Mbappe yang menurutnya bukan sahaja berkeupayaan tinggi dari sudut teknikal namun seorang pemain pasukan / team player.

“[Itu] sangat menyeronokkan,” kata Bellingham. “Kami mempunyai pasukan berwajah baharu malam ini dan entah bagaimana ia terus serasi. Kadang-kadang ia mengambil sedikit masa, separuh masa pertama kami masih menyesuaikan diri dan kemudian separuh masa kedua semuanya bersatu dan kami cemerlang,” tegas pemain tengah asal England itu.

Ditanya tentang sama ada Mbappe memang sudah tertulis bahawa dia adalah seorang bintang yang lahir untuk Real Madrid, Bellingham menjawab: “Dia adalah salah seorang daripada pemain itu. Dia cemerlang. Begitu tajam, kualiti teknikal yang begitu tinggi dan rakan sepasukan yang hebat juga.

“Dia tidak hanya bergantung pada kualiti yang dia ada, dia juga bekerja untuk pasukan, jadi penghargaan kepadanya dan dia berhak mendapatnya.”

Real memulakan musim LaLiga mereka pada hari Ahad menentang Real Mallorca, tetapi Bellingham memberi amaran: “Tidak setiap perlawanan akan menjadi seperti ini. Kita akan terpaksa menderita pada masa-masa tertentu. Anda perlu menikmati malam seperti malam ini tetapi, datang Ahad, terus kembali bekerja.”

Jude Bellingham menambah Mbappe pasti akan lebih teruja untuk menambah koleks kejuaraan bersama Los Blancos. Seterusnya Jude Bellingham juga menegaskan bahawa itulah cara Real Madrid berkerja, mereka adalah pasukan yang memenangi piala setiap musim.

Anda semua  boleh saksikan rangkuman aksi di sini:

Kylian Mbappe menyertai Real Madrid secara percuma setelah meninggalkan PSG. Mbappe sebelum ini pernah hampir menyertai Real Madrid lebih awal namun menangguhkan rancangan itu dan melanjutkan kontrak baharu di PSG.

Tetapi dia kemudian memutuskan untuk tidak mengaktifkan klausa lanjutan setahun khas sehingga 2025 di PSG. Dan dia mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan berpangkalan di Paris itu untuk menyertai kelab yang dia minati sejak kecil iaitu Real Madrid. Mbappe sebelum ini diperkenalkan kepada peminat Real Madrid di Santiago Bernabeu yang full house pada masa itu.

Mbappe baru sahaja kembali setelah kempen Euro dengan pasukan Perancis. Di mana Mbappe membantu negaranya mara sehingga ke final sebelum dikalahkan oleh Sepanyol. Mbappe adalah salah seorang bakat luar biasa dalam bola sepak. Dan dia adalah bakat generasi baharu selepas era Messi dan Ronaldo. Ianya akan menjadi kempen yang mengujakan peminat Real Madrid melihat bintang besar bermain untuk mereka.