La Liga Denda Real Madrid €13 Juta Kerana Tak Bagi Letak Kamera Dalam Bilik Persalinan

Bermula musim ini, La Liga akan memasang kamera di dalam bilik persalinan pasukannya. Ini sebahagian daripada perjanjian dengan badan penyiaran yang mahu peminat mendapatkan lebih akses kepada pasukan mereka.

Namun usaha itu dibantah oleh Real Madrid. Mereka menjadi pasukan pertama didenda kerana enggan bekerjasama.

Carlo Ancelotti tampil mempertahankan keputusan kelab itu. Menyatakan bahawa bilik persalinan pasukan adalah milik mereka sahaja dan pihak lain tidak harus tahu apa yang berlaku di dalamnya.

“Kamera dalam bilik persalinan? Bilik persalinan ibarat tempat suci buat saya. Kamera dalam bilik persalinan pada hari perlawanan adalah perkara yang merepek.”

Bukan sahaja Ancelotti yang terbuka membidas La Liga di atas tindakan mereka itu. Pengurus Real Mallorca, Javier Aguirre menganggap tindakan La Liga itu sebagai tidak ada ‘class’ atau murahan.

Menggelar La Liga kini seolah olah hanya setaraf bersaing dengan King League milik Gerard Pique yang santai dan memiliki akses kamera di mana sahaja.

“Kamera dalam bilik persalinan ketka perlawanan? Bukan semua perkara kita harus fikir pasal wang. Pada masa lalu, La Liga bersaing dengan Premier League.”

“Sekarang ini kita seolah olah bersaing dengan Kings League anjuran Gerard Pique.”

La Liga mendesak kesemua pasukan agar menghormati kontrak khas tersebut dan membenarkan akses kepada staf La Liga memasang kamera di dalam bilik persalinan.

Beberapa tahun lalu, Patrick Vieira pernah menyatakan bahawa, di dalam bilik persalinan ianya adalah dunia lain. Di situ tempat semua orang memaki hamun serta ada yang sampai bertumbuk.

Di situlah tempat pengurus membincangkan taktikal termasuk taktikal kotor sekalipun jika perlu.

Namun apabila sudah akses seperti ini, pastinya bilik persalinan itu sudah tak sama seperti dulu.